Home Artis Korea 4 Drama Korea Lakonan Jisoo BLACKPINK – Kembali dengan “Newtopia”

4 Drama Korea Lakonan Jisoo BLACKPINK – Kembali dengan “Newtopia”

0

Bakat lakonan Kim Ji Soo atau lebih dikenali sebagai Jisoo BLACKPINK semakin mendapat perhatian.

Kali ini, beliau kembali ke skrin bersama pelakon berbakat Park Jeong Min dalam drama terbaru Newtopia. Dalam drama ini, mereka berlakon sebagai pasangan kekasih yang sedang berdepan dengan hubungan yang goyah. Namun, keadaan bertambah rumit apabila wabak zombi tiba-tiba merebak di Kota Seoul, memaksa mereka untuk bertarung demi kelangsungan hidup.

Sebelum Newtopia, Jisoo telah menunjukkan bakat lakonannya dalam beberapa drama dan filem Korea, sama ada dalam peranan kecil mahupun sebagai watak utama. Jom lihat empat drama Korea yang pernah dibintangi oleh Jisoo BLACKPINK!

 


1. The Producers (2015)

Jisoo

Sebelum debut sebagai ahli BLACKPINK, Jisoo terlebih dahulu muncul dalam drama The Producers sebagai pelakon jemputan. Dalam drama ini, beliau melakonkan watak seorang selebriti yang menyertai rancangan 2 Days & 1 Night, bersama beberapa idola K-pop lain.

The Producers mengisahkan kehidupan individu yang bekerja dalam industri hiburan. Drama ini menampilkan suka duka kehidupan selebriti serta cabaran yang dihadapi oleh kru produksi di sebalik tabir.

Dibintangi oleh Cha Tae Hyun, Gong Hyo Jin, Kim Soo Hyun, dan IU, drama ini memberi gambaran mendalam tentang kehidupan dalam industri hiburan, termasuk tekanan kerja dan percintaan yang rumit.

 


2. Arthdal Chronicles (2019)

IMG 1899

Berlatar belakangkan zaman purba, Arthdal Chronicles mengisahkan perebutan kuasa di Arthdal, sebuah kerajaan fiksyen yang menyerupai era prasejarah. Setiap puak dalam kerajaan ini mempunyai kepercayaan serta cara hidup yang berbeza.

Drama ini mengikuti kisah Eun Seom (Song Joong Ki), seorang lelaki yang lahir daripada gabungan dua keturunan, suku Neanthal berdarah biru dan suku Saram berdarah merah. Kelahirannya menghasilkan satu suku baru yang dikenali sebagai Igutu, yang mempunyai darah berwarna ungu dan keupayaan luar biasa.

Menariknya, Song Joong Ki memegang dua watak dalam drama ini, iaitu sebagai Eun Seom dan Sa Ya, yang merupakan kembar seiras. Dalam Arthdal Chronicles, Jisoo tampil sebagai watak kameo bernama Saenarae, seorang wanita yang mempunyai hubungan istimewa dengan Sa Ya. Namun, kisah mereka berakhir dengan tragis.

 


3. Snowdrop (2021–2022)

ed6bd30e ec51 4323 b5ef 080cb1db198f

Drama Snowdrop menandakan debut Jisoo sebagai watak utama. Dalam drama ini, beliau melakonkan watak Eun Young Ro, seorang mahasiswi jurusan Kesusasteraan Inggeris pada tahun 1987, ketika Korea Selatan sedang bergolak dengan isu politik.

Eun Young Ro merupakan anak kepada seorang pengarah berpengaruh dalam Agensi Keselamatan Negara (ANSP). Hidupnya berubah apabila dia bertemu dengan seorang pelajar pascasiswazah bernama Im Soo Ho (Jung Hae In), yang secara rahsia berlindung di asramanya. Namun, tanpa disedari, Soo Ho sebenarnya seorang perisik Korea Utara yang akhirnya menawan asrama tersebut bersama kumpulannya.

Kisah percintaan mereka penuh ketegangan dan emosi, menjadikannya salah satu drama paling menyayat hati. Kimia lakonan antara Jisoo dan Jung Hae In begitu kuat sehingga ramai peminat sukar untuk melupakan pasangan ini, malah ada yang berharap hubungan mereka berlanjutan di dunia nyata.

 


4. Newtopia (2025)

IMG 1870

Drama terbaharu Jisoo, Newtopia, telah ditayangkan pada 7 Februari 2025. Drama ini mengisahkan Lee Jae Yoon (Park Jeong Min), seorang askar yang sedang menjalani latihan wajib tentera. Disebabkan rasa tidak yakin terhadap masa depannya, Jae Yoon membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya, Kang Young Joo (Jisoo BLACKPINK).

Kang Young Joo dikenali dengan kecantikannya sehingga digelar “Dewi Jabatan Kejuruteraan.” Beliau baru sahaja diterima bekerja sebagai kakitangan baharu di sebuah syarikat. Perpisahan mereka menyebabkan Young Joo mengalami tekanan perasaan, lalu dia berusaha untuk memujuk Jae Yoon dengan mengunjunginya di rumah.

Namun, tanpa disangka, wabak zombi tiba-tiba merebak akibat virus misteri. Dalam sekelip mata, mereka terperangkap dalam situasi yang mencemaskan dan perlu berjuang untuk terus hidup di tengah-tengah serangan zombi yang mengganas.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai ahli BLACKPINK, Jisoo tetap membuktikan keupayaannya dalam bidang lakonan. Keempat-empat drama ini menunjukkan kepelbagaian bakatnya dalam membawa watak berbeza, menjadikannya pelakon yang semakin mendapat perhatian.

Jadi, daripada semua drama lakonan Jisoo BLACKPINK ini, yang manakah sudah anda tonton?

Baca lagi: Keunikan Drama “Newtopia”, Menggabungkan Pelbagai Genre Yang Mengujakan
Baca juga: Kisah Majikan Wanita & Cinta Tak Terduga, 10 Drama Korea Elemen Sama Seperti Love Scout