Biasanya, genre romantik dipenuhi dengan kasih sayang dan hubungan yang manis. Namun, apabila elemen seram dimasukkan, ia mencipta satu gabungan yang unik dan mengganggu. Percintaan yang sepatutnya indah berubah menjadi penuh tragedi, misteri, dan kadangkala menakutkan.
Dari bercinta dengan hantu, pasangan yang sanggup membunuh demi cinta, hingga hubungan pelik dengan zombie, anime-anime ini menawarkan kisah yang di luar jangkaan. Berikut adalah senarai anime romantik seram yang akan membuatkan anda jatuh cinta, dan ketakutan pada masa yang sama!
1. School Days (2007) – Cinta Segitiga yang Berakhir dengan Tragedi
School Days mengisahkan Makoto Itou, seorang pelajar sekolah menengah yang terperangkap dalam cinta segitiga antara dua gadis. Walaupun nampak seperti kisah percintaan biasa, anime seram romantik ini membawa elemen psikologi yang semakin kelam.
Makoto mempunyai sifat manipulatif yang menyebabkan hubungan mereka bertukar menjadi mimpi ngeri. Apa yang bermula sebagai kisah cinta sekolah berubah menjadi tragedi yang mengejutkan. Plot twist yang mengerikan dalam anime ini telah menjadikannya salah satu cerita romansa seram paling dikenang dalam sejarah anime!
2. Happy Sugar Life (2018) – Obsesif, Manis, dan Menyeramkan
Di permukaan, Happy Sugar Life kelihatan seperti cerita percintaan yang comel. Namun, di sebaliknya tersembunyi sesuatu yang mengganggu.
Satou Matsuzaka, seorang pelajar sekolah menengah yang kelihatan sempurna, jatuh cinta dengan seorang gadis kecil bernama Shio. Namun, cinta Satou bukan cinta biasa, dia begitu terobsesi sehingga sanggup menculik Shio dan memulakan kehidupan baru bersamanya dalam sebuah apartmen.
Tanpa perlu hantu atau suasana seram, kegilaan Satou sudah cukup untuk membuatkan penonton tidak selesa. Dia rela melakukan apa saja, termasuk mencederakan orang lain, asalkan cintanya terhadap Shio kekal terjaga.
3. Future Diary (2011) – Cinta dan Kegilaan dalam Permainan Hidup dan Mati
Anime ini mengisahkan Yuki, seorang remaja yang terlibat dalam permainan survival di mana dia perlu bertahan hidup untuk menjadi tuhan seterusnya. Mujurlah, dia mempunyai Yuno Gasai di sisinya, seorang gadis yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindunginya.
Namun, di sinilah keanehan bermula. Yuno ialah contoh klasik seorang yandere, gadis yang terlampau obsesif sehingga sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba mengganggu orang yang dicintainya. Hubungan mereka penuh dengan ketegangan, kasih sayang yang ekstrem, dan momen-momen yang membuatkan penonton tidak tahu sama ada mahu bersimpati atau merasa takut.
Jika anda mahukan kisah cinta yang penuh darah dan psikologi yang mencengkam, Future Diary ialah pilihan yang sempurna!
4. Dusk Maiden of Amnesia (2012) – Cinta antara Manusia dan Hantu
Teiichi, seorang pelajar sekolah menengah, bertemu dengan Yuko, seorang roh yang kehilangan ingatan mengenai kematiannya. Bersama-sama, mereka cuba menyelesaikan misteri kematian Yuko dan rahsia yang tersembunyi di sekolah mereka.
Walaupun unsur seram dalam anime ini tidak terlalu menonjol, percintaan antara seorang manusia dan roh tetap merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Namun, Dusk Maiden of Amnesia berjaya menyampaikan kisah cinta mereka dengan penuh emosi, menjadikan penonton tersentuh dan pada masa yang sama merasakan ketegangan di sebalik misteri yang mereka cuba bongkar.
5. Sankarea: Undying Love (2012) – Kekasih Seorang Zombie
Furuya, seorang peminat tegar zombie, menghabiskan masanya dengan menonton filem dan mengumpul barangan bertemakan mayat hidup. Namun, obsesinya semakin pelik apabila dia berusaha membangkitkan kucingnya yang telah mati menggunakan manuskrip purba.
Di saat yang sama, dia bertemu dengan Rea, seorang gadis yang sudah bosan dengan kehidupannya dan mahu dilahirkan semula. Tanpa disangka, Rea benar-benar menjadi zombie dan hubungan mereka pun bermula.
Bercinta dengan roh mungkin pelik, tetapi bercinta dengan mayat hidup adalah sesuatu yang lebih luar biasa! Sankarea: Undying Love menawarkan kisah romantik yang unik, menyeramkan, dan penuh dilema kerana hubungan mereka berdepan cabaran yang menentang hukum alam.
Bila Cinta Bertemu Kegilaan dan Ketakutan
Cinta dan seram mungkin kelihatan seperti dua genre yang mustahil untuk digabungkan, tetapi anime-anime di atas membuktikan sebaliknya. Dengan kisah percintaan yang tidak masuk akal, elemen ketegangan yang mencengkam, dan karakter yang sering berada di antara cinta dan kegilaan, anime romansa seram menawarkan pengalaman menonton yang berbeza daripada biasa.
Jika anda mahukan sesuatu yang lebih gelap daripada kisah romantik biasa tetapi masih penuh emosi, anime dalam senarai ini wajib ditonton. Bersedialah untuk jatuh cinta dan berasa seram dalam masa yang sama!
Baca lagi: 10 Anime Berlatarkan Hutan yang Menawan, Dari Fantasi hingga Pengembaraan Mendebarkan
Baca juga: Cadangan Anime Lucu Tentang Pembunuh Upahan yang Sangat Mengujakan, Tema Gelap dalam Gaya Santai dan Kelakar