Drama Jepun mempunyai keistimewaannya tersendiri- salah satunya adalah kebanyakan ceritanya tidak lebih daripada 15 episod.
Sekiranya anda mencari siri TV yang tidak menuntut banyak komitmen dan masa, J-drama mungkin sesuai jadi pilihan.
Berikut 5 drama Jepun yang dipilih berdasarkan jalan cerita menarik dan ada nilai yang tersendiri:
#1 My Daddy Is My Classmate
Taro Obika merupakan seorang penulis novel yang pernah popular dan bapa tunggal yang sangat sayangkan Sakura, satu-satunya anak perempuan yang dibesarkannya sendirian selepas kematian isteri.
Tahap sayang dan overprotective Taro terhadap Sakura ini sampai dia buat kerja gila pergi daftar kolej yang sama dengan anak perempuannya.
Bukan setakat kolej, malah jabatan, kursus, kelab, persatuan pun sama! Semata-mata nak lindung Sakura daripada para pelajar lelaki yang dianggap ‘buaya’.
Bapa berusia 40-an ini juga satu geng dengan kawan-kawan Sakura dan enjoy kehidupan kampus lebih daripada anaknya sendiri.
#2 Overprotected Kahoko
https://www.youtube.com/watch?v=Ksnt0Mpv5Cw
Dalam diam, seorang bapa runsing melihat anak gadisnya yang bernama Kahoko.
Hal ini kerana dari nak tengok video apa, pakai baju apa dan nak kerja apa semua kena tanya mama walaupun sudah menginjak dewasa.
Dia sering terfikir bila agaknya anak tunggal mereka boleh berdikari dan ada pendirian sendiri? Tetapi dia tidak berani tegur isterinya yang overprotective dan manjakan sangat anak tunggal mereka.
Sehinggalah suatu hari Kahoko mendapat tamparan realiti daripada seorang pemuda pelajar seni dan bermulut pedas bernama Hajime.
#3 Life’s Punchline
Drama ini mengangkat isu yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat termasuk global sehingga penonton boleh rasa relate dengan cerita ini.
Ia menggambarkan pergelutan hidup lima orang dewasa berusia lewat 20-an yang dibalut dengan unsur komedi.
Sejak tamat sekolah, trio sekawan iaitu Haruto Takaiwa, Shunta Asabuki dan Junpei Minowa berazam nak jadi pelawak terkenal. Bakat ada, cuma nasib tidak menyebelahi mereka.
Walaupun sudah berkecimpung selama 10 tahun dalam industri komedi, mereka masih gagal menempa nama.
Berasa gagal dalam hidup dan usia pun sudah tidak muda lagi, mereka memutuskan untuk berhenti dan bubar grup itu.
Tanpa disedari, terdapat seorang gadis yang sering mengikuti persembahan dan menyokong mereka dalam diam.
#4 Midnight Diner
Di tengah kesibukan kota Tokyo, terdapat sebuah restoran kecil yang hanya dibuka semasa orang tengah tidur. Waktu operasi: 12 AM-7AM.
Menunya simple iaitu sup miso. Restoran ni jadi tempat pelanggan melepaskan lelah dan kesunyian mereka.
Kedatangan mereka disambut oleh seorang chef berparut misteri di wajahnya. Dia dikenali sebagai Master. Order je nak makan apa termasuk makanan kegemaran, Master ni akan masak selagi pelanggan bawa sekali bahan-bahan itu.
Selain makanan, restoran ini turut menghidangkan drama manusia di sekelilingnya.
Pelanggan yang datang makan situ bertukar-tukar cerita pasal kehidupan masing-masing atau membawang dengan orang sebelah. Cerita ni sesuai untuk penonton matang dan suka kisah-kisah unik.
#5 From Today It’s My Turn!!
Mitsuhashi dan Ito merupakan pelajar baru di sekolah dengan imej baru sebagai bad boys, selalu claim diri sebagai tsuppari atau samseng. (Tak ada siapa tahu mereka ni dulu sebenarnya pelajar biasa-biasa je).
Mitsuhashi dye atau celup rambut dia dengan warna blond sampai cikgu dia tanya “Kamu ada kacukan US ke?” Manakala Ito pula berambut tajam macam duri landak.
Dua orang ini mula jadi partner lepas mengalahkan 10 budak nakal di sekolah. Berita tu tersebar luas sampai budak perempuan sekolah lain cari mereka untuk minta tolong.
Perempuan original pun mungkin boleh insecure dengan ‘kecantikan’ dua Abang Long Kawasan terutamanya Ito yang bermuka jambu ini semasa mereka pakai rambut palsu dan skirt, menyamar jadi perempuan untuk belasah sekumpulan gengster yang kacau pelajar perempuan dari sekolah lain itu.
Baca lagi: Drama Romantik Makin Sukar Tembus Selera Penonton Jepun
Baca lagi: 5 Sebab Kenapa Anda Mesti Tengok ‘Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba’
Selain 5 drama di atas, sebenarnya banyak lagi cerita Jepun yang menarik termasuk ‘Alice in Borderland’ yang pernah trending, drama politik thriller ‘The Journalist’, ‘Scams’ (pasal scammer) dan lain-lain.
Pada akhirnya best ke tak cerita ini bergantung pada cita rasa masing-masing. Sekiranya anda tahu ada lagi drama Jepun menarik, kongsikan dengan kami di ruangan komen.