Choi Sooyoung akan membuat comeback (kemunculan semula) melalui drama siri terbaru.
Khabarnya teman wanita Jung Kyung Ho ini akan kembali menyapa para peminat melalui drama siri terbarunya yang akan ditayangkan pada 17 Julai 2023 yang akan datang.
Sambil menunggu drama terbarunya ditayangkan, anda boleh menonton drama siri lakonan Choi Sooyoung yang lain.
Berikut ini adalah lima drama siri Korea yang dibintangi oleh Choi Sooyoung yang wajib anda tonton. Jom sama-sama kita lihat:
1. Man in the Kitchen (2017)
Man in the Kitchen adalah drama Korea Selatan yang disiarkan di MBC pada 2 September 2017. Drama ini menceritakan kisah Lee Roo Ri (Choi Sooyoung) yang cuba mendapatkan pekerjaan di syarikat besar. Kerana tidak berjaya mendapat pekerjaaan, dia akhirnya menyerah kalah. Dia juga tidak mempunyai hubungan baik dengan ayahnya.
Akhirnya Lee Roo Ri memutuskan untuk pergi ke luar negara dan melarikan diri. Di sana, dia bertemu dengan Jung Tae Yang (On Joo Wan) yang mempunyai moto hidup iaitu hidup hanya sekali. Jung Tae Yang selalu mengembara ke seluruh dunia dan mengutamakan kebahagiaannya. Setelah bertemu dengan Jung Tae Yang, Lee Roo Ri menemui erti sebenar dalam hidupnya.
2. Tell Me What You Saw (2020)
Tell Me What You Saw pertama kali ditayangkan di OCN pada 1 Februari 2020. Drama ini mengikuti kisah Oh Hyun Jae (Jang Hyuk) seorang profiler pintar yang memecahkan banyak kes sukar menggunakan kemampuan profilnya yang memang hebat. Suatu hari, tunangnya mati dalam letupan yang dicipta oleh seorang pembunuh bersiri dan membuatnya tinggal sendirian selepas itu.
Lima tahun kemudian, pembunuhan baru terjadi kembali dengan cara yang sama dengan pembunuh berantai tersebut. Sewaktu menyiasat kes ini, ketua pasukan bertemu dengan seorang detektif dari kampung, Cha Soo Young (Choi Sooyoung) yang mempunyai ingatan fotografi. Ketua pasukan memperkenalkan Soo Young kepada Hyun Jae agar mereka bekerja sama untuk mengejar pembunuh bersiri tersebut.
3. If You Wish Upon Me (2022)
Tayang di KBS2 dan Viu pada 10 Ogos 2022, Choi Soo-young bergandingan dengan Ji Chang Wook dalam drama siri If You Wish Upon Me. Membawa genre drama romantik, If You Wish Upon Me mengisahkan tentang kehidupan Yoon Gyeo Rye (Ji Chang Wook) yang sangat pelik. Dia tinggal di rumah kebajikan sejak kecil dan meringkuk dalam penjara sewaktu remaja. Dia perlu berjuang untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.
Kerana sebuah insiden, dia menjadi sukarelawan di salah sebuah hospital penjagaan pesakit kronik. Dia bekerja di bawah pimpinan pasukan sukarelawan Kang Tae Sik (Sung Dong Il). Selain itu, Yoon Gyeo Rye juga bekerja bersama jururawat Seo Yeon Joon (Choi Sooyoung). Selama berada di hospital berkenaan, mereka sama-sama berjuang untuk memenuhi keinginan pesakit yang menderita penyakit kronik.
4. Fanletter Please (2022)
Fanletter Please ditayangkan di MBC pada 18 November 2022. Drama siri ini menceritakan tentang Han Kang Hee (Choi Sooyoung) seorang pelakon wanita yang sedang laris di pasaran. Di tengah-tengah gemerlapan kariernya yang sedang naik, Kang Hee perlu menghadapi krisis terbesar dalam hidupnya. Sewaktu dia membintangi satu drama, Kang Hee terlibat masalah yang mengakibatkan imejnya menjadi buruk di mata netizen.
Dia menerima komen buruk di berbagai media dan membuatnya takut membaca surat-surat dari para peminatnya. Di tengah-tengah kekacauan tersebut, dia bertemu dengan cinta pertamanya semasa sekolah bernama Bang Jung Seok (Yoon Park). Sayangnya, sewaktu mereka bertemu, ternyata Jung Seok telah berstatus sebagai bapa tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan.
5. Not Others (2023)
Not Others adalah drama siri terbaru yang dibintangi oleh Choi Sooyoung, yang akan ditayangkan pada 17 Julai 2023. Drama siri yang diadaptasi dari web komik berjudul Namnam karya Jung Young Rong ini menceritakan tentang Eun Mi (Jeon Hye Jin) yang perlu menjadi ibu tunggal sewaktu dia masih menjadi pelajar sekolah menengah. Dia akhirnya membesarkan anak perempuannya yang diberi nama Jin Hee (Choi Sooyoung) seorang diri.
Waktu ini, Eun Mi berusia 40-an dan tinggal bersama Jin Hee yang berusia 29 tahun. Walaupun akan menjengah usia 30 an, Jin Hee masih tinggal bersama ibunya di rumah yang sama. Kedua-duanya sering berhadapan dengan perbezaan pendapat dan perdebatan yang membawa kepada pertengkaran dengan berbagai sebab. Walaupun begitu, hubungan ibu dan anak ini sangat kuat dan tidak dapat dipisahkan.
Untuk mengisi waktu lapang sambil menunggu drama Not Others tayang, anda boleh menonton drama siri yang disenaraikan di atas. Pastinya semua drama Choi Sooyoung akan menarik perhatian peminat dan mempunyai jalan cerita yang pelbagai. Selamat menonton ya!