Dalam artikel lepas, kita kupas cara pembikinan video muzik (MV) K-pop yang ekstravaganza. Set warna-warni, berbusana blink-blink glamor dan koreografi yang lincah dalam MV sama penting seperti kemerduan lagu nyanyian mereka untuk cipta nama.
Meskipun menarik jutaan tontonan dalam talian, ada juga sebenarnya video muzik yang ditolak oleh stesen televisyen utama di Korea.
Korean Broadcasting System (KBS), Seoul Broadcasting System (SBS) dan Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) merupakan rangkaian televisyen gergasi di Korea Selatan.
Mereka terkenal dengan peraturan yang tegas, biasanya menghalang mana-mana MV yang ada lirik dan imej kontroversi daripada masuk TV. Walaupun kadangkala peminat bingung dengan rasional mereka.
Menurut Kpopstarz, standard TV KBS paling ketat, berbanding MBC atau SBS kerana posisinya sebagai agensi penyiaran awam utama di Korea. Berikut 5 lagu yang pernah diharamkan oleh stesen TV berkenaan:
1. Kill This Love – Blackpink
Pada tahun 2019, Blackpink beraksi dalam video muzik untuk single ‘Kill This Love’. Walaupun lagu ini mendunia, TV KBS tak bagi siar sebab salah seorang ahli Blackpink iaitu Rose memandu kereta tak pakai tali pinggang keledar dalam MV tersebut, hal ini melanggar Akta Lalu Lintas Jalan Raya Korea Selatan.
2. Gentleman – PSY
Setahun selepas PSY menjadi viral dengan lagu ‘Gangnam Style’ sampai jadi meme internet yang ikonik, dia keluar lagi single baru ‘Gentleman’ dengan tercatatnya rekod jumlah tontonan tertinggi di YouTube pada 2013. Tetapi tidak lepas juga masuk TV KBS kerana PSY pergi tendang kon dalam pembukaan MV tersebut yang dianggap merosakkan harta benda awam.
3. Instagram – Dean
‘Instagram’ nyanyian Dean, seorang artis indie R&B menakluk carta Korea dalam masa dua hari selepas keluarannya. Peminat turut puji penyanyi tersebut kerana mengangkat mesej hubungan belia yang tidak sihat dengan media sosial. Pun begitu, KBS mengharamkan video muziknya kerana lagunya ketara menyebut nama jenama Instagram.
4. Catallena – Orange Caramel
Lagu ‘Catallena’ nyanyian kumpulan Orange Caramel berkonsepkan disko dan diinspirasikan oleh Bollywood. Video muzik itu memaparkan trio itu menyanyi sebagai duyung sebelum jadi sushi dan dibalut dalam bungkusan plastik dengan tanda harga 4,000 won Korea Selatan (RM 14 ++) pada setiap satu. Idea lucu dan pelik itu dikatakan tidak sesuai untuk KBS kerana dikatakan meremehkan kehidupan manusia.
5. Dreaming I – F.CUZ
Beberapa jam sebelum tayangan perdana yang dijadualkan di televisyen tempatan pada tahun 2012, video muzik untuk ‘Dreaming I’ oleh kumpulan lelaki F.CUZ telah dilarang daripada disiarkan oleh KBS. Video muzik berlatarkan sebuah sekolah menengah dan kumpulan itu digambarkan sebagai bad boys di sekolah. Menurut KBS, video itu mempunyai pengaruh negatif terhadap remaja.