Filem Kill Boksoon yang dibintangi oleh Jeon Do Yeon, Seol Kyung Gu, dan Esom kini boleh ditonton di Netflix yang telah ditayangkan sejak Jumaat 31 Mac 2023. Dalam filem tersebut, Jeon Do Yeon melakonkan watak seorang ibu tunggal yang juga merupakan seorang pembunuh upahan yang bernama Gil Boksoon.
Menonton filem Kill Boksoon pasti akan mengingatkan anda kepada 5 watak wanita dalam drama siri dan filem Korea berikut ini. Siapakah dan apakah persamaan mereka dengan Gil Boksoon? Jom kita lihat beberapa watak yang agak mirip dengan Jeon Do Yeon dalam filem Kill Boksoon berikut ini:
1. Lee Geum Ja – Sympathy for Lady Vengeance (2005)
Bukan hanya Kill Boksoon (2023), filem Sympathy for Lady Vengeance (2005) sudah terlebih dahulu mengangkat tema yang sama. Filem garapan pengarah Park Chan Wook ini, berkisar tentang kisah Lee Geum Ja (Lee Young Ae).
Lee Geum Ja adalah seorang ibu tunggal yang menyeksa dan membunuh gurunya iaitu Mr. Baek (Choi Min Sik) kerana telah memerangkap dirinya ke penjara. Pada waktu yang sama, Geum Ja juga berusaha untuk mencari anak perempuannya yang sudah 13 tahun dia tinggalkan.
Baca Lagi: 5 Buah Filem Arahan Lee Byung Hun, Dari Extreme Job Hingga Dream
2. Yoon Ji Woo – My Name (2021)
Peristiwa tragis juga menimpa Yoon Ji Woo (Han So Hee) dalam drama siri My Name (2021). Wataknya juga hampir sama dengan situasi yang dialami oleh Gil Boksoon. Dalam drama tersebut, watak Ji Woo juga diperangkap oleh ketuanya.
Sama seperti Gil Boksoon yang dikenali sebagai anak didik kesayangan ketuanya, begitu juga dengan Ji Woo. Bertahun-tahun lamanya dilatih untuk menjadi pembunuh upahan profesional, Ji Woo tidak pernah sedar bahawa dia telah ditipu habis-habisan.
3. Sook Hee – The Villainess (2017)
Watak Sook Hee (Kim Ok Vin) dalam filem The Villainess (2017) nampaknya seperti yang paling dekat dan sama dengan watak Gil Boksoon. Dilatih untuk menjadi pembunuh upahan yang tidak pernah kenal erti kekalahan ialah persamaan yang paling menonjol daripada kedua-dua watak ini.
Nasib mereka juga tidak jauh berbeza. Sook Hee dijanjikan kebebasan setelah kontraknya dengan ejen pembunuhan tamat. Ironinya, ketika sudah memulakan hidup baru, Sook Hee mula dihantui dua jejaka yang tidak dikenali dan mampu menghabiskan nyawanya bila-bila masa sahaja.
4. Naksu – Alchemy of Souls (2022-2023)
Walaupun berbeza dari segi genre, Boksoon dan Naksu (Go Youn Jung) dalam Alchemy of Souls (2022-2023) tetap mempunyai persamaan yang ketara. Walaupun membesar sebagai pembunuh dengan kebolehan yang sangat hebat, mereka masih boleh terancam dan dikalahkan jika tersalah langkah.
Naksu sendiri sudah dilatih untuk menjadi pembunuh bayangan sejak kecil. Bagi gurunya, Naksu tidak ubah seperti alat sahaja untuk kepentingan politik dan umpan untuk pengkhianatan negara.
5. In Ae – No Mercy (2019)
Gil Boksoon dan juga In Ae (Lee Si Young) dalam filem No Mercy (2019) sama-sama sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi seseorang. Gil Boksoon berusaha melindungi anak perempuannya, In Ae pula berjuang untuk menyelamatkan adik perempuannya.
Dalang di sebalik penculikan adiknya ternyata adalah jejaka yang pernah mengambil In Ae bekerja di organisasi lamanya. Tanpa berfikir panjang, In Ae menyeksa secara brutal orang-orang yang terlibat dalam penculikan adiknya, tiada lagi belas kasihan, dia juga sanggup membunuh mereka semua.
Mempunyai kisah yang serupa, tidak hairanlah jika para penonton mengingati 5 watak yang agak sama dengan Jeon Do Yeon dalam filem Kill Boksoon. Pembunuh upahan tersebut juga sama-sama melawan organisasi lamanya. Memang tidak senang duduk dibuatnya sewaktu menonton filem dan Kdrama yang tersenarai di atas!
Baca Juga: Jeon Do Yeon Pembunuh Upahan versi John Wick Dalam Kill Boksoon