Song Hye Kyo, seorang aktres ikonik Korea Selatan, kembali mencuri perhatian melalui filem terbarunya, DARK NUNS.
Filem ini, yang dijadualkan tayang pada 13 Februari 2025 di pawagam seluruh Malaysia, menawarkan pengalaman seram dengan elemen thriller, horror, dan supernatural. Kepulangan Song Hye Kyo ke layar perak setelah hampir satu dekad menyepi sememangnya menjadi momen istimewa buat para peminatnya.
Dalam DARK NUNS, Song Hye Kyo memegang watak seorang biarawati yang terpaksa menghadapi kengerian ketika berusaha menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada roh jahat. Menariknya, filem ini adalah spin-off kepada THE PRIESTS (2015), yang sebelumnya berjaya meraih kejayaan besar. Dengan lakonan mantap dan dedikasinya, filem ini menjadi satu lagi bukti bahawa Song Hye Kyo masih berada di barisan hadapan industri perfileman Korea.
Namun, sebelum kembalinya ini, Song Hye Kyo telah membintangi beberapa filem hebat yang meninggalkan kesan mendalam. Dibawah ini adalah senarai filem terbaik Song Hye Kyo yang harus anda tonton:
1. My Brilliant Life (2014)
Filem ini mengisahkan pasangan muda, Dae Soo dan Mi Ra (lakonan Gang Dong Won dan Song Hye Kyo), yang menghadapi cabaran besar apabila anak mereka, A-Reum, didiagnosis dengan penyakit Progeria. Lakonan penuh emosi Song Hye Kyo menggambarkan penderitaan dan kekuatan seorang ibu, menjadikan filem ini sangat menyentuh hati.
2. The Crossing 1 & 2
Filem epik dua bahagian ini menandakan debut Song Hye Kyo di industri filem China. Mengisahkan perjuangan individu yang cuba melarikan diri dari Shanghai ke Taiwan semasa Perang Dunia II, filem ini mengangkat tema kehilangan dan harapan. Song Hye Kyo berjaya membawa wataknya dengan penuh kesungguhan dalam kisah yang berlatarkan tragedi sejarah ini.
3. The Grandmaster (2013)
Di bawah arahan Wong Kar Wai, Song Hye Kyo berperanan sebagai Cheung Wing Sing, isteri kepada Ip Man, guru seni bela diri Wing Chun. Filem ini bukan sahaja memaparkan aksi seni bela diri yang memukau tetapi juga menunjukkan sisi kemanusiaan melalui watak-wataknya, termasuk lakonan emosional Song Hye Kyo.
4. The Legendary Courtesan Hwang Jin Yi
Dalam filem berlatarkan era Joseon abad ke-16, Song Hye Kyo memegang watak sebagai Hwang Jin Yi, seorang gisaeng yang terkenal dengan kebijaksanaan dan bakatnya. Filem ini memaparkan perjalanan hidup Hwang Jin Yi, termasuk kisah cintanya yang tragis, dan menyerlahkan keupayaan Song Hye Kyo membawakan watak dengan kedalaman emosi.
5. My Girl and I
Filem ini, adaptasi daripada novel Crying Out Love in the Centre of the World, menceritakan kisah cinta remaja antara Kim Soo Ho dan Bae Soo Eun (lakonan Cha Tae Hyun dan Song Hye Kyo). Kisah cinta mereka yang indah tetapi tragis membuatkan filem ini penuh dengan momen yang mengharukan.
6. A Reason to Live
Dalam filem ini, Song Hye Kyo melakonkan watak Da Hae, seorang pembuat filem dokumentari yang berusaha mencari makna pengampunan selepas tunangnya meninggal dunia akibat kemalangan. Kisah ini menyelami perjuangan wataknya dalam menerima kehilangan dan memberi kemaafan, menjadikan filem ini sangat menyentuh emosi.
Dengan kembali popularnya DARK NUNS, inilah masa yang sesuai untuk menikmati karya-karya hebat Song Hye Kyo yang lain. Jika anda peminat filem berkualiti dengan jalan cerita yang mendalam, pastikan anda menonton filem-filem ini! Jadi, mana satu yang akan anda tonton dahulu?