Anime ini nampak sama tapi tak serupa dengan kartun. Kerana kisahnya lebih rumit, deep dan dianggap seni berat di Jepun.
Umum mengetahui anime dan manga memang ‘makanan’ negara matahari terbit itu. Di sana, terdapat kira-kira 130 buah sekolah khas untuk lakonan suara anime.
Malah menurut portal Newslanded, penghasilan kertas digunakan untuk cetak manga lebih banyak berbanding tisu tandas. Manga juga ada di mana-mana.
Sekiranya kita termenung tengok harga komik manga di Kinokuniya KLCC, di Jepun pembacanya selamba tinggalkan manga itu atas meja seperti surat khabar untuk orang lain pula baca.
Berikut 7 trivia menarik tentang anime yang anda mesti tahu:
- Kimi No Na Wa (Your Name)– Filem Anime Yang Mendapat Kutipan Tertinggi
Karya Makoto Shinkai ini meraih kejayaan komersial dengan kutipan lebih daripada $ 355 juta di seluruh dunia.
Jalan ceritanya yang unik iaitu tentang pertukaran tubuh antara dua remaja dan pelanggaran komet di bumi berjaya menambat hati penonton, malah laman web imdb yang biasanya susah nak bagi markah lepas 7/10 pun memberi skor 8.4 kepada filem animasi ini.
- Spirited Away– Filem Animasi Pertama Menang Academy Awards
Anugerah kategori ‘Best Animated Feature’ dalam Academy Awards selalunya disandang oleh filem-filem Disney dan Pixar.
Tetapi tidak pada tahun 2003 apabila filem anime Spirited Away yang diangkat sebagai pemenang untuk anugerah tersebut pada Academy Awards ke-75.
Namun, Hayao Miyazaki, pengarah filem berkenaan tidak menghadiri majlis tersebut kerana penentangannya terhadap perang Iraq.
- Akira– 50 Warna Baru Dibuat Untuk Akira
Filem anime Akira merupakan pencapaian terbesar dari sudut teknikal bagi industri anime Jepun.
Sebahagian besar adegan filem itu dibuat pada waktu malam, yang kebiasaannya dielak oleh para animator pada waktu itu kerana adegan-adegan tersebut memerlukan penggunaan warna yang sangat tinggi.
Namun pihak produksi Akira melanggar semua norma tersebut dan menggunakan sejumlah 327 warna yang mengagumkan dalam filem itu, di mana 50 daripadanya dibuat secara eksklusif untuk filem dan keperluan adegannya.
- Space Brothers– Suara dari ISS
Di ruang angkasa, mungkin tiada siapa dapat dengar anda bersuara. Tetapi dalam anime boleh.
Untuk episod ke-31 siri anime Space Brothers, angkasawan sebenar Jepun, Akihiko Hoshide buat cameo dan benar-benar menyumbang suaranya untuk anime tersebut dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Ini menjadikan Hoshide sebagai artis suara anime pertama di angkasa.
- Attack on Titan– Watak Titans berdasarkan Pemabuk
Bagaimana Hajime Isayama mewujudkan makhluk raksasa menakutkan seperti Titans untuk siri manga Attack on Titans?
Dalam sebuah temu bual dengan program TV Jepun, Nihon TV’s Zip!, Isayama mendedahkan bahawa beberapa monster dalam anime tersebut sebenarnya berdasarkan pelanggan mabuk yang ditemuinya di sebuah kafe internet.
Justeru itu, pemabuk yang tak jelas butir-butir katanya memberi idea kepada Isayama untuk membuat siri mengenai makhluk paling terkenal tetapi menakutkan di dunia iaitu manusia.
- Code Geass– Pizza Ada Di Mana-Mana
Sekiranya anda tertanya-tanya mengapa watak dalam anime itu kuat makan pizza, ini kerana ia ditaja oleh Pizza Hut di Jepun. Malah Cheese-kun iaitu maskot Jepun untuk Pizza Hut sesekali turut muncul di skrin.
Penaja lain untuk Code Geass yang sering muncul dalam anime itu ialah BIGLOBE, penyedia perkhidmatan internet Jepun.
- Death Note– Diharamkan Di China
Sekiranya kandungan anime didapati mengandungi unsur-unsur keganasan, China tidak teragak-agak untuk sekat.
Negara itu pernah mengharamkan siri anime popular seperti Highschool of the Dead, Attack on Titan dan Psycho-Pass tanpa ampun.
Namun, untuk Death Note, siri Shonen Jump yang popular ini dilarang bukan sebab ada kekerasan, tetapi kerana ia menjadikan pelajar untuk buat buku nota sama macam Death Note dan tulis nama-nama guru yang mereka tak suka di dalam buku tersebut.
Sumber: Ranker, Newslanded, Buzzfeed