Mac 2025 bakal menyaksikan deretan filem seram dari Indonesia terbaru yang akan menemui peminat di pawagam negara kita.
Filem-filem ini dijangkakan menjanjikan ketegangan, kejutan, dan misteri yang pasti akan membuat penonton tidak senang duduk!
Bagi mereka yang sedang berpuasa, filem-filem seram dari negara jiran kita ini boleh menjadi hiburan seram untuk mengisi masa sebelum berbuka bersama keluarga, rakan-rakan, atau pasangan. Selain itu, terdapat juga beberapa filem seram yang dijadualkan tayang sempena Aidilfitri, menjadikannya pilihan menarik untuk ditonton bersama keluarga.
Tanpa berlengah, berikut adalah 8 filem seram Indonesia terbaru Mac 2025 yang menarik untuk dimasukkan dalam senarai tontonan anda berserta tarikh tayangannya:
1. Desa Mati (6 Mac 2025)
Sekumpulan lima mahasiswa bercuti ke sebuah sendang terkenal untuk berseronok, tetapi perjalanan mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila tersesat di sebuah desa misteri. Mereka mula menerima gangguan yang tidak henti-henti dan perlu mencari jalan keluar sebelum nyawa mereka menjadi taruhan.
Pelakon: Samuel Rizal, Mastur, Kiesha Alvaro, Frislly Herlind, Adlia Fitri, Ehan Brenda, Shakira Sheldrick.
Tayangan di Malaysia: 13 Mac 2025
2. Setan Botak di Jambatan Ancol (6 Mac 2025)
Filem arahan Anggy Umbara ini mengisahkan Nirmala, seorang gadis indigo yang sering kehilangan rakan-rakannya secara misteri setiap tahun. Dia memulakan penyiasatan untuk membongkar rahsia di sebalik kejadian tersebut dan menemui sesuatu yang lebih menyeramkan daripada yang disangkakan.
Pelakon: Ozy Syahputra, Indah Permatasari, Jameelah Saleem.
Tayangan di Malaysia: 13 Mac 2025
3. Jabang Mayit (6 Mac 2025)
Seorang wanita bernama Hujan kehilangan bayinya secara misteri. Dalam usaha mencarinya, dia bertemu dengan Bayu, yang memperkenalkannya kepada seorang dukun. Dukun tersebut mendedahkan bahawa bayinya telah dilarikan oleh hantu jabang mayit. Hujan dan Bayu perlu bertarung dengan kuasa jahat untuk menyelamatkan bayi itu sebelum terlambat.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
4. Misteri Rumah Darah (6 Mac 2025)
Shafeera, seorang hos rancangan seram, menemui sebuah kaset lama bertajuk “Rumah Darah” yang tidak pernah ditayangkan. Namun, sejak dia menontonnya, pelbagai gangguan ghaib mula menghantui hidupnya, mendedahkannya kepada bahaya yang lebih besar daripada sekadar rakaman video lama.
Pelakon: Wavi Zihan, Tyan Anugrah, Emil Kusumo, Diky Chandra.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
5. Arwah Sinden (13 Mac 2025)
Empat rakan arkitek ditugaskan mengubah suai sebuah rumah lama, tetapi gangguan makhluk ghaib mula menghantui mereka. Rupanya, roh yang mengganggu mereka dihantar oleh mandor rumah tersebut, menyimpan dendam dan rahsia gelap yang akhirnya mula terungkap.
Pelakon: Rendy Septino, Ismi Melinda, Ade Kurnia, Tyara Vanesha, Yama Carlos, Sylvia Fully, Alexa Wu, Adinda Vega, Annisa Hasim, Kev Andrean.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
6. Singsot: Siulan Kematian (3 Mac 2025)
Mengangkat kisah kepercayaan tempatan tentang larangan bersiul ketika Maghrib, filem ini mengisahkan Ipung, yang mengabaikan pantang larang tersebut dan akhirnya menerima gangguan makhluk halus. Kini, dia harus memilih antara mati atau mencari cara untuk membebaskan diri dari sumpahan mengerikan itu.
Pelakon: Landung Simatupang, Jamaluddin Latif, Siti Fauziah.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
7. Pabrik Gula (Tayangan Aidilfitri)
Diadaptasi daripada kisah seram yang viral di media sosial X, filem ini mengisahkan tujuh rakan yang bekerja sebagai buruh sementara di sebuah kilang gula. Namun, selepas salah seorang daripada mereka, Endah, mengikuti sosok misteri, mereka mula mengalami gangguan aneh yang mengancam nyawa.
Pelakon: Erika Carlina, Arbani Yasiz, Ersya Aurelia.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
8. Qodrat 2 (Tayangan Aidilfitri)
Sambungan kepada filem seram popular Qodrat, kali ini Qodrat meneruskan pencariannya untuk menyelamatkan isterinya, Azizah, yang mengalami tekanan jiwa akibat kejadian-kejadian tragis. Berkerja di sebuah kilang pemintalan, Azizah menjadi mangsa buli selepas kematian misteri yang berlaku di tempat kerjanya. Qodrat harus bertindak sebelum isterinya menjadi korban seterusnya.
Pelakon: Vino G Bastian, Acha Septriasa.
Tayangan di Malaysia: Akan datang
Tontonan Seram Mac Ini – Mana Satu Pilihan Anda?
Mac 2025 menawarkan pelbagai filem seram yang menarik, sesuai untuk penggemar genre seram yang mahukan pengalaman menonton yang mendebarkan. Sama ada untuk mengisi masa sebelum berbuka atau hiburan seram semasa Aidilfitri, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan filem-filem seram ini di pawagam!