Walaupun industri perfileman global sebahagian besarnya dikuasai oleh Hollywood dan Barat, beberapa industri filem lain sedang gigih menembusi peringkat dunia.
Industri perfileman Korea adalah salah satu industri yang berjaya dikenali di mata dunia, filem-filem mereka telah dicipta dengan hebat, dan selalunya tidak dapat dijangkakan plot cerita yang ditawarkan.
Ditambah pula dengan cerita rakyat yang memberi laluan kepada filem yang melenturkan genre tradisional dan membawa penonton mereka dalam perjalanan psikologi yang meneroka sisi gelap pengalaman manusia. Sangat pelbagai!
Dengan populariti mendadak filem seperti Train to Busan (2016) dan Parasite (2019), filem thriller Korea Selatan akan kekal dan filem-filem ini tidak akan ditelan zaman dalam masa terdekat. Dengan begitu banyak filem thriller yang menakjubkan di luar sana, sukar untuk memilih filem mana yang patut ditonton.
Korea Selatan menawarkan pelbagai filem menarik yang akan membuatkan penonton tidak senang duduk. Berikut ini adalah 8 buah filem thriller terbaik dari Korea Selatan yang perlu anda tonton.
Confession (2022)
Kekasih Min-Ho (So Ji-sub) ditemui mati di sebuah hotel, dengan Min-Ho sebagai suspek utama kerana bilik itu dikunci dari dalam. Tanpa bukti pencerobohan, Min-Ho melarikan diri ke sebuah kabin terpencil untuk bertemu dengan Shin-Ae (Kim Yunjin), yang tidak pernah kalah dalam kes perbicraan. Sepanjang malam Shin-Ae mendesak Min-Ho untuk menceritakan peristiwa yang membawa kepada kematian kekasihnya itu.
Filem ini adalah filem yang mencengkam yang mempersembahkan secara terperinci bagaimana perspektif boleh berubah apabila dikemukakan dengan niat terpesong dan pembohongan.
Baca lagi: 5 Pilihan Filem Thriller dengan Tema Permainan Sorok-Sorok, Saspen dan Penuh Misteri
Lucid Dream (2017)
Lucid Dream mengikuti kisah seorang bapa yang terdesak untuk mencari anaknya yang hilang tiga tahun yang lalu. Tanpa sebarang perkembangan dalam kes itu, Dae-Ho (Go Soo) mengetahui tentang terapi baru yang membolehkan pesakit menghidupkan semula ingatan mereka melalui mimpi yang jelas. Dia bertemu rakan lamanya, So-hyun (Kang Hye-jeong), yang menyediakan khidmat terapi. Apabila dia menjumpai suspek utama, segala-galanya berubah dan makin jelas.
Sympathy for Mr. Vengeance (2002)
Fokus pada seorang pekerja kilang yang baru dipecat yang menculik anak perempuan rakan bekas majikannya dalam usaha mendapatkan wang tebusan yang diperlukan untuk membayar pemindahan buah pinggang kakaknya. Sympathy for Mr. Vengeance dibintangi oleh Song Kang-ho dan diarahkan oleh pembikin filem Korea terkenal Park Chan-wook, yang merupakan antara yang paling prolifik dan terkenal di negara tersebut.
Filem hebat ini adalah permulaan bagi trilogi Vengeance, yang turut menampilkan filem ikonik tentang balas dendam iaitu Oldboy dan Lady Vengeance. Filem ini adalah sebuah tontonan yang berbaloi dan pastinya kengerian yang dipaparkan tidak akan dilupakan oleh para penonton, terutamanya cara plot cerita filem ini menerokai kitaran balas dendam dan keganasan sebagai tindak balas kepada kejahatan.
The Cursed: Dead Man’s Prey (2021)
The Cursed: Dead Man’s Prey ialah sebuah filem thriller yang dihasilkan daripada drama tahun 2020 iaitu The Cursed. Dalam universe ini, bomoh mampu menghidupkan semula orang mati untuk membalas dendam. Filem ini bermula apabila seseorang dibunuh oleh mayat yang dihidupkan semula.
Seorang wartawan penyiasat menerima panggilan semasa dalam rancangan radio dan meminta untuk ditemu bual melalui kamera, mendakwa dia adalah pembunuh. Dia mendedahkan akan terdapat tiga lagi pembunuhan, dan ‘tentera’ mayat hidup muncul dan menyerang.
Filem, yang ditulis oleh Yeon Sang-Ho ini penuh dengan adegan yang menyeramkan, penuh aksi yang mengandungi lapisan misteri dan jenayah yang akan menarik minat para penggemar genre seram.
Midnight (2021)
Salah satu pembunuhan yang dilakukan Do-Shik (Wi Ha-joon) secara tidak sengaja diganggu oleh seorang gadis dan ibunya (Hae-yeon Kil dan Ki-jooJin). Gadis itu dan ibunya terus pergi ke balai polis, mereka tidak menyedari bahawa Do-Shik adalah pembunuh yang mula mengintai dan bermain permainan kucing-dan-tikus yang membawa maut, Do-Shik bertekad untuk menghapuskan mereka.
Do-Shik berhati-hati memanipulasi dan mengambil kesempatan atas keadaan Kyung Mi yang cacat pendengaran. Watak Kyung Mi menyerlahkan realiti yang dihadapi oleh orang ramai dalam masyarakat hari ini tentang golongan istimewa cacat pendengaran yang bergelut untuk difahami, manakala Wi Ha-Joon dari Squid Game memberikan persembahan yang sangat memukau sebagai Do-Shik si pembunuh dalam filem itu.
Helpless (2012)
Filem thriller psikologi Korea Selatan ini adalah berdasarkan novel terlaris All She Was Worth oleh penulis Jepun MiyabeMiyuki dan fokus pada seorang lelaki (Lee Sun-kyun) yang mencari tunangannya (Kim Min-hee) yang telah menghilangkan diri tanpa jejak sebelum majlis perkahwinan mereka.
Dengan selitan sedikit unsur seram yang pasti menambahkan seri filem ini malah ada yang membandingkan filem ini dengan American The Vanishing. Menampilkan suntingan yang hebat, visual yang direka dengan memukau, menarik dan persembahan luar biasa dari Kim Min pastinya membuatkan anda jatuh hati dengan filem ini.
Confession of Murder (2012)
Confession of Murder adalah filem yang menampilkan teka-teki yang membingungkan dan plot twist yang mengejutkan. Filem ini mengisahkan tentang seorang individu yang mengaku sebagai pembunuh bersiri yang bernama Lee Doo Suk dan dia kemudian menerbitkan autobiografinya melalui buku dengan judul I Am Killer yang menjadi best seller.
Detektif Choi, yang sebelum ini menyiasat kes pembunuhan yang dilakukan oleh Lee 15 tahun yang lalu, memulakan operasi untuk menangkap Lee kembali. Pengakuan Lee Doo Suk yang mengejutkan orang ramai membuatkan dia ditangkap oleh polis serta dia menghadapi kecaman dari keluarga mangsa. Filem ini akan membuatkan para penonton terkejut dengan jalan ceritanya yang tidak mudah diteka dan langsung tidak disangka.
Forgotten (2017)
Selepas diculik selama 19 hari, abang Jin Suk pulang ke rumah dengan cerita amnesianya yang sangat misteri. Masih terpukul dengan kejadian itu, ayah dan ibu Jin Suk memilih untuk mengabaikan cerita tersebut dan berusaha mempercayai anak sulung mereka. Tapi tidak untuk Jin Suk.
Watak yang dibawa oleh Kang Ha Neul itu mula menyiasat kes hilangnya si abang, membawanya pada kejadian-kejadian yang akan membuatkan bulu roma anda berdiri tegak. Rahsia keluarga yang sudah terkubur selama bertahun-tahun mula terungkap perlahan-lahan.
Filem-filem thriller yang tersenarai di atas pasti akan memacu adrenalin anda dan membuatkan anda tidak senang duduk, filem-filem thriller ini adalah tentang jenayah dengan plot twist yang berlapis-lapis dan pastinya sangat sesuai untuk mengisi waktu lapang anda semasa di rumah. Daripada semua senarai yang diberikan, filem manakah yang pernah anda tonton?