Walaupun Drama Korea Selalu Cemerlang, Tidak Semua Mendapat Sambutan Baik!
Drama Korea terkenal dengan penyampaian cerita yang hebat, tetapi itu tidak bermakna pasukan produksi tidak pernah berdepan kegagalan. Kritikan tajam dan kecaman kerap diterima apabila drama yang dihasilkan tidak memenuhi jangkaan penonton. Oleh itu, setiap teguran wajar dijadikan pengajaran untuk projek seterusnya.
Pada tahun 2024, terdapat beberapa drama Korea yang mendapat respons negatif daripada penonton. Ada yang menyebut drama-drama ini mengecewakan dan gagal mencapai standard.
Apakah drama-drama tersebut dan apakah sebabnya ia tidak memuaskan hati penonton? Berikut perinciannya!
1. Hierarchy
Ditayangkan pada pertengahan tahun, Hierarchy menampilkan pelakon-pelakon baru seperti Roh Jeong Eui, Lee Chae Min, Kim Jae Won, Lee Won Jung, dan Ji Hye Won. Drama ini berkisar tentang kejadian misteri di sebuah sekolah elit.
Namun, setelah ditayangkan, banyak penonton meluahkan kekecewaan kerana plot ceritanya dianggap kurang fokus pada isu utama iaitu dendam. Kisah cinta segitiga antara watak utama turut dikritik kerana mengganggu naratif utama, menjadikannya lambat dan membosankan. Tambahan pula, lakonan para pelakon mendapat kritikan kerana kelihatan kaku dan kurang emosi.
Beberapa adegan romantik juga dianggap terlalu keterlaluan untuk watak pelajar sekolah menengah. Malah, suasana sekolah yang digambarkan dengan elemen buli mencetuskan kebimbangan tentang kesannya terhadap golongan remaja. Walaupun begitu, terdapat penonton yang menyukai adegan romantik antara Kim Ri An (Kim Jae Won) dan Jung Jae Yi (Roh Jeong Eui) sehingga berharap akan ada musim kedua.
2. Cinderella At 2 AM
Selepas kejayaan Wedding Impossible, Moon Sang Min kembali dengan drama Cinderella At 2 AM. Namun, drama ini gagal menarik perhatian ramai kerana dianggap terlalu klise dan membosankan. Kisah tentang gadis miskin bertemu lelaki kaya yang cintanya terhalang oleh restu keluarga sudah terlalu sering dilihat.
Jurang usia yang ketara antara Moon Sang Min dan Shin Hyun Bin juga menjadi isu. Lakonan Shin Hyun Bin turut dikritik kerana kurang menyerlah dan tidak mencipta keserasian dengan pasangannya. Drama ini hanya memperoleh rating tertinggi 0.801% sepanjang 12 episod.
3. Queen Woo
Drama yang dibintangi oleh Ji Chang Wook ini menceritakan kisah seorang ratu yang mencari raja baru untuk mempertahankan kuasanya. Sayangnya, alur cerita drama ini tidak mencapai jangkaan penonton.
Empat episod pertama lebih menonjolkan adegan dewasa sehingga plot utama gagal dikembangkan dengan baik. Walaupun drama ini diberi rating 19+, Queen Woo tetap dianggap mengecewakan. Kritikan turut diberikan kepada Jeon Jong Seo yang terlibat dalam kontroversi buli serta lakonannya yang tidak meyakinkan sebagai watak utama.
4. Goodbye Earth
Drama Goodbye Earth telah mendapat perhatian sejak awal disebabkan oleh skandal Yoo Ah In, yang merupakan pelakon utamanya. Walaupun beberapa adegan lakonannya dipotong, pengenalan watak dan konfliknya sukar difahami oleh penonton.
Dengan alur cerita yang perlahan, drama ini dianggap membosankan kerana hanya berfokus pada kekacauan menjelang asteroid menghentam bumi. Plotnya yang tidak bersambung dengan baik serta garis masa yang tidak teratur membuatkan ramai penonton keliru.
Walaupun begitu, para pelakon tetap mendapat pujian atas usaha mereka, terutama dalam adegan-adegan yang memerlukan pengorbanan fizikal. Namun, drama ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari naratif yang bergerak pantas.
5. The Impossible Heir
Dibintangi oleh Lee Jae Wook, The Impossible Heir menerima kritikan pedas daripada penonton. Drama Korea ini berkisar tentang tiga anak muda yang berusaha mendapatkan kedudukan tertinggi dalam syarikat konglomerat.
Namun, jalan cerita yang berkisarkan perjuangan merebut impian dan pengkhianatan dianggap terlalu biasa tanpa perbezaan ketara daripada drama lain. Malah, cinta segitiga dalam drama ini menambah kebosanan kerana menghasilkan konflik yang terlalu berulang.
Hong Su Zu, pelakon utama wanita, turut mendapat kritikan kerana lakonannya yang dianggap kaku dan tidak emosional. Sebaliknya, pelakon sokongan seperti Choi Hee Jin meninggalkan kesan yang lebih kuat.
6. Blood Free
Walaupun dibintangi oleh Han Hyo Joo dan Joo Ji Hoon, Blood Free gagal menarik perhatian ramai. Drama Korea ini dinilai tidak sesuai dengan tajuknya kerana lebih fokus kepada mencari dalang di sebalik aksi terorisme.
Judul Blood Free merujuk kepada nama syarikat yang meneliti organ dan daging tiruan, tetapi tema ini hanya disentuh pada awal cerita sebelum beralih kepada kisah aksi terorisme yang kurang relevan. Banyak adegan dikritik kerana tidak logik, manakala penghujung cerita yang tergantung menyebabkan penonton kecewa.
7. Dear Hyeri
Drama Korea ini pada mulanya mendapat perhatian ramai kerana mengisahkan seorang penyiar televisyen dengan personaliti berganda. Namun, pandangan positif itu berubah apabila cerita beralih kepada cinta segitiga yang dianggap klise.
Keputusan watak Joo Eun Ho (Shin Hye Sun) untuk kembali kepada bekas kekasihnya, Jung Hyun Oh (Lee Jin Wook), mengecewakan ramai kerana watak tersebut dilihat sebagai salah satu punca permasalahan mentalnya.
Baca lagi: 4 Still Cut Perdana Cha Joo Young dalam Drama Korea Sageuk ‘The Queen Who Crowns’
8. Sweet Home 3
Musim ketiga siri Sweet Home juga gagal mencapai standard yang ditetapkan oleh musim pertamanya. Penonton mengkritik plotnya yang tidak menarik dan kurang fokus pada tema asal iaitu kerjasama penghuni apartmen melawan monster.
Banyak watak baru diperkenalkan tetapi tidak memberi impak besar kepada cerita, sementara watak utama seperti Cha Hyun Soo (Song Kang) dilihat kehilangan kedalaman emosi yang ada pada musim pertama.
Baca juga: Senarai 5 Drama Korea Genre Seram Menarik Tahun 2024
9. Marry YOU
Drama komedi romantik yang ditayangkan pada 19 November 2024 ini mendapat dibawah 2% dari awal hingga akhir penayangannya.
Joo Soo Min, pelakon utama wanita, telah mendapat kritikan kerana lakonannya yang dianggap sangat kaku dan tidak menunjukkan ekspresi wajah watak yang dibawanya.
Drama Korea Marry YOU mengisahkan kisah cinta seorang bujang dari pulau terpencil yang ingin berkahwin, Bong Chul Hee (lakonan Lee Yi Kyung) dan seorang penjawat awam Jung Ha Na (lakonan Jo Soo Min) yang memilih untuk menjadi bujang sebab tak percaya kahwin.
Pelbagai sebab telah menjadikan drama-drama Korea 2024 ini dianggap mengecewakan. Kritikan dan kekecewaan penonton seharusnya menjadi pengajaran untuk meningkatkan kualiti pada masa akan datang. Apakah pendapat anda tentang drama-drama ini?