Adakah anda sudah menonton ‘Crash Landing on You’ (CLOY)? Mungkin ada yang masih belum move on dengan drama Korea ini.
Secara ringkasnya, plot drama ini mengisahkan seorang wanita kaya dari Korea Selatan yang memasuki Korea Utara secara tidak sengaja dan bertemu tentera elit Korea Utara. Timbul pelbagai konflik apabila tentera ini berusaha menghantar wanita itu pulang ke negara asal.
Mereka tidak dapat lari daripada jatuh cinta, namun hubungan mereka juga terhalang kerana kedua-dua negara secara teknikalnya masih bermusuh walaupun perang ‘tamat’ menerusi gencatan senjata.
Apa yang menarik tentang drama berkenaan adalah paparan mengenai Korea Utara yang sangat jarang dipertontonkan menerusi media dan tidak ramai tahu tentang kehidupan sebenar rakyat negara tertutup itu.
Seorang defector dari Korea Utara yang kini menjadi antara YouTuber popular di Korea Selatan, Kang Nara berkata 60% babak dalam CLOY menyerupai kehidupan sebenar penduduk Korea Utara.
Selain itu, dia sendiri merupakan penasihat pasukan produksi CLOY untuk memberi fakta dan gambaran mengenai masyarakat Korea Utara.
“Saya bantu mereka (pihak produksi) semasa musim panas lalu. Mereka datang menemu bual saya di sebuah kafe. Drama itu digarap dengan baik, saya boleh katakan kira-kira 60% kehidupan di Korea Utara itu yang digambarkan dalam cerita itu sebenarnya tepat.” – Kang Nara
Menurut Kang Nara lagi, rekaan set kediaman penduduk Korea Utara turut dibuat dengan baik dan begitu teliti. Contohnya meja makan tiada kerusi dan keluarga perlu duduk di atas lantai untuk makan. Keadaan dalam rumah keluarga elit di Korea Utara yang ditunjukkan juga hampir tepat.
“Dengan langsir-langsirnya… Keluarga kaya di Korea Utara suka mempamerkan kekayaan mereka dengan menambahkan langsir renda pada tingkap mereka. Keadaan itu digambarkan dengan cukup baik dalam drama.
“Dan gua kimchi! Memandangkan kawasan luar bandar Korea Utara tidak mendapat bekalan elektrik, jadi mereka tiada peti sejuk. Oleh itu ada gua kimchi (sebuah bilik penapaian kimchi) untuk simpan kimchi.” – Kang Nara
Dengan nada bergurau, Kang Nara turut mengulas bahawa kapten seperti Hyun Bin hampir tidak wujud di Korea Utara. Namun pakaian seragam yang disarungkan di tubuh para tentera Korea Utara dalam drama berkenaan menaikkan lagi markah di mata YouTuber tersebut.
“Saya tak tahulah mana mereka belajar dialek Korea Utara ni, tapi memang nampak mahir sungguh.” – Kang Nara
Kang Nara turut berkongsi bahawa rambut wanita Korea Utara wajib diikat. Kalau tidak, akan dikecam.
“Seseorang itu akan dipanggil saseukke atau weirdo sekiranya berambut lepas ke bahu. Jadi semua orang kena bertocang seperti ekor kuda. Sebab itulah ada adegan menunjukkan Hyun Bin mengikat rambut Son Ye Jin. Ya, melepaskan rambut anda dianggap sebagai kapitalisme dan tidak dibenarkan.” – Kang Nara
Meskipun pasukan produksi memaparkan stail fesyen Korea Utara dengan betul, terdapat juga sedikit perkara yang tidak tepat.
Kata Kang Nara, dalam satu babak di mana watak cantik berkot labuh dan berkasut but paras lutut sebenarnya jarang berlaku di Korea Utara, malah tidak dibenarkan sama sekali.
“Fesyen ini terlalu sofistikated. Sejujurnya, tak ramai yang pakai kot labuh di Korea Utara. Kalau pakai juga, mereka dipanggil walenkki (tak tahu maksud apa, puas cari) di Korea Utara dan ditarik di tepi jalan untuk soal-siasat. Mereka mesti pakai but di bawah seluar, supaya nampak seperti kasut biasa.” – Kang Nara
Secara keseluruhannya, Kang Nara percaya CLOY merupakan salah satu K-Drama terbaik setakat ini bagi menggambarkan Korea Utara sehampir dan setepat mungkin. Tidak hairanlah mengapa siri ini begitu popular di kalangan penonton!
Sumber: Koreaboo, Harian Metro