Setiap orang mungkin mempunyai misi dan visi tersendiri bagi menonton drama Korea. Ada yang memandangnya sebagai sumber hiburan, inspirasi dan informatif.
Drama Korea juga boleh jadi jendela kepada dunia luar bagi seseorang yang nak belajar perkara baru misalnya budaya dan kehidupan orang Korea.
Tetapi benarkah drama dicedok daripada realiti? Netizen-netizen dari Korea (Sean Kim & Cindy Jung) dan bukan Korea (Hasi Dil) ini buka cerita realiti kehidupan di sebalik drama Korea di laman Quora.
Mak Mentua Bagi Tamparan Kimchi
Sekiranya kita tergelak bila tengok beberapa adegan tidak logik dalam drama Melayu, orang Korea pun 2X5. Sesetengah drama Korea turut asyik mainkan plot yang lebih kurang sama iaitu emak mentua tidak berkenan dengan menantu.
Seorang pengguna dari Korea yang dikenali sebagai @Sean Kim berkongsi bahawa adegan seperti dalam gambar di bawah ini tidak berlaku dalam kehidupan sebenar.
“Biasanya emak mentua akan sembur dengan kata-kata pedas sekiranya tak berpuas hati, bukan terus lempar kimchi ke menatu. Disebabkan babak itu keterlaluan, orang Korea membuatnya jadi meme atau video lucu.” -Sean Kim
Begitu juga dengan babak mentua simbah segelas air ke muka menantu perempuan, pun tak akan terjadi kerana silap-silap nanti ditangkap, didakwa dan didenda atas tuduhan menyerang dan menghina.
Kisah Cinta Di Alam Kayangan
Ketiga-tiga pengguna Quora itu turut senada bahawa kebanyakan konsep percintaan dalam drama Korea ini terlalu ideal dan tidak berpijak di bumi nyata.
“Setiap gadis Korea yang menonton K-Drama, pasti berkata ‘Oh, saya pun nak boyfriend macam tu…’. Saya belum jumpa lagi K-drama yang banyak menggambarkan kehidupan cinta orang biasa Korea.” – Sean Kim
“Saya rasa drama-drama Korea dulu banyak pasal lelaki kaya jatuh cinta dengan gadis miskin, seperti plot Cinderella yang jauh daripada realiti.” – Cindy Jung
“Hero K-drama ini saya perhatikan kebanyakannya datang daripada keluarga chaebol atau elit. Realitinya, saya andaikan kelompok chaebol ini kira-kira hanya 1% sahaja daripada penduduk Korea. Golongan sebegini juga biasanya hanya bergaul dengan orang setaraf, pergi ke sekolah swasta dan dihantar belajar ke luar negara.
Dalam kehidupan sebenar, tidak mungkin mereka ada masa untuk bermain cinta dengan gadis miskin dan menyedihkan seperti yang ditunjukkan dalam banyak rom-com seperti Boys over Flowers, Secret Garden dan Cinderella and Four Knights.” – Hasi Dil
Bukan Semua Orang Korea Cantik Dan Kacak
Sean Kim dan Hasi Dil turut berpendapat rupa dan penampilan orang Korea dalam TV kelihatan hampir sempurna kerana standard kecantikan di sana yang tinggi.
“Bukan semua perempuan atau lelaki Korea itu macam anak patung Barbie atau Ken! Seperti mana-mana negara lain, ada yang biasa, ada yang kurang dari segi rupa dan ada juga yang tampan.
Tetapi ramai jaga penampilan kerana standard kecantikan Korea yang tinggi. Wanita Korea sangat obses dengan kecantikan tetapi tidak semua lelaki Korea mencari wanita bak anak patung Barbie untuk dating dan dikahwini.” – Sean Kim
“Dalam drama Korea semua orang nampak putih-putih, cantik dan kacak menawan walaupun tengah melahap semangkuk ramen. Ini untuk dipadankan dengan standard kecantikan Korea yang tidak masuk akal.
Dalam kehidupan sebenar ramai yang menderita kerana kritikan hebat sampai kena lalu bawah pisau pembedahan untuk memenuhi piawaian kecantikan ini. Malah para pelakon ini menjalani senaman tegar dan diet melampau bagi mengekalkan standard kecantikan mereka.” – Hasi Dil
Bagaimana realiti kehidupan di Korea?
Sean Kim berpandangan antara persamaan budaya Korea yang ditonjolkan dalam drama adalah sistem hierarki yang kuat.
“Sistem hierarki Korea memang kuat. Even kembar pun, walaupun cuma tua 30 saat, tetap kena memanggilnya ‘hyung/oppa’ (abang) atau ‘nuna/unnie’(kakak).
Terdapat juga hubungan sunbae-hubae yang sangat kuat dan tegas (hubungan senior-junior) dan mesti panggil ‘hyung/oppa’ dan ‘nuna/unnie’.” – Sean Kim
Manakala Hasi Dil mengatakan adegan watak keluar malam itu realistik.
“Saya dengar sistem pendidikan yang kompetitif, waktu kerja yang panjang memang berlaku di Korea. Oleh itu, memang dapat dilihat bagaimana mereka keluar makan malam di restoran dan pusat karaoke pada waktu malam dalam drama.” – Hasi Dil
Cindy Jung mencadangkan drama-drama untuk gali lagi tentang kehidupan sebenar masyarakat Korea terutamanya perihal anak muda hari ini.
“Saya rekomen anda tonton siri drama terbitan TvN seperti Another Miss Oh, Reply 1988, dan Cheese in the Trap kerana cerita-cerita ini melukis situasi anak muda Korea sekarang seperti kesukaran hidup, konflik syarikat dan masalah perhubungan.” – Cindy Jung
Kesimpulan
Akhir sekali, mereka berpendapat kemungkinan drama Korea menggambarkan hanya kira-kira 10–20% daripada kehidupan sebenar masyarakat Korea.
Namun tidak mengapa kerana jika sama 100% dengan kehidupan nyata, ia tidak menjadi rancangan drama sebaliknya dokumentari dan tiada siapa yang mahu tengok drama tentang hidup sendiri yang bangun-tidur-makan-pergi kerja. Lagipun ada yang menonton drama bagi melarikan diri sebentar daripada realiti.
Terdapat juga drama Korea yang realistik tetapi turut ditambah perencah bagi menyedapkan cerita. Meskipun kebanyakan drama Korea diakhiri dengan penamat menggembirakan yang jauh daripada realiti, ada di antaranya tetap mampu memberi inspirasi, informasi dan hiburan yang menyeronokkan untuk dinikmati.