Di dalam industri perfileman Korea kini telah terdapat lebih dari seribu filem dari pelbagai genre untuk ditonton. Antaranya ialah psikologi, penyiasatan, kepercayaan mistik, misteri, komedi, thriler, dan lain-lain.
Apabila bercakap mengenai filem aksi thriller dan bertemakan seram mistik, sudah pasti Korea salah satu negara yang berjaya menghasilkan filem-filem penuh dengan misteri, suspen, unik dan banyak kelainan yang pasti membuatkan para penonton merasa terpegun.
Berikut ialah 10 filem pilihan terbaik berkonsepkan thriler dan seram mistik yang anda boleh tonton melalui saluran aplikasi Viu Malaysia:-
1. THE DIVINE FURY (2019)
Dalam filem ini Park Seo-joon merupakan seorang Atlet MFC yang terkenal, namun sejak ayah dia meninggal dunia, dia tidak percaya kepada tuhannya lagi. Bagi dia, Tuhan adalah tidak adil kerana disaat dia memerlukan Tuhannya, Tuhannya mengabaikan doanya dan membiarkan ayahnya mati.
Pada satu malam itu, tangan Seo-joon terluka tanpa sebab dan takdir telah menemukan dia dengan Father Ann seorang paderi dari Vactican yang berkebolehan untuk mengusir syaitan/iblis. Sejak itu, bermulalah hubungan ala-ala “father and son”, Seo-joon juga banyak menolong Father Ann dengan kerja-kerja menghalau dan membunuh syaitan.
Sehinggalah satu hari, muncul seorang penjahat yang dilakonkan oleh Woo Do-hwan dan tangan Seo-joon yang terluka itu pun sebenarnya bukan sebarang luka. Terdapat kisah disebalik luka ditangan yang dimiliki oleh Seo-joon.
2. HWAYI: A MONSTER BOY (2013)
Ketika kecil Hwa-yi (Jin-goo) telah diculik oleh 5 penjenayah yang paling dikehendaki polis kerana kekejaman dan kelicikan mereka.
Hwayi kemudian dibesarkan sehingga meningkat remaja dan segala kelebihan serta kebolehan kelima-lima bapa penjenayah ini dididik dan diwariskan kepada Hwayi. Namun sikap Hwayi yang agak pemalu dan sentiasa dibayangi perasaan was-was membuatkan Hwayi kurang menonjol.
Sehinggalah satu hari, gang ini telah diupah untuk membunuh sepasang suami isteri kerana enggan berpindah dari kawasan perumahan yang ingin dirobohkan. Dan ini kali pertama Hwayi diajak menyertai misi jenayah mereka dan ini juga kali pertama Hwayi dipaksa untuk membunuh seseorang!
Klimaks filem ini bermula apabila Hwayi mendapat tahu yang pasangan suami-isteri itu rupa-rupanya adalah ibubapa kandung yang dipisahkan darinya sejak 14 tahun lalu!
Disaat inilah Hwayi mengatur strateginya sendiri untuk membalas dendam terhadap kelima-lima mereka. Dengan menggunakan kebolehan dan kelicikan yang yang diturunkan kepadanya, satu persatu penjenayah tersebut jatuh ke perangkap Hwayi.
3. THE SUSPECT (2013)
Anda peminat Gong Yoo? Suka jalan cerita yang penuh aksi seperti filem “Taken” atau “The Bourne”, maka filem THE SUSPECT ini wajib berada dalam senarai tontonan anda.
Mengisahkan Ji Dong-Chul (Gong Yoo) adalah agent khas yang menjadi pengintip kepada Korea Utara, dia telah ditugaskan untuk menjalankan misi rahsia ke Korea Selatan.
Namun dia telah diabaikan oleh kerajaannya setelah berlaku konflik di negara tersebut. Sejak itu dia menjadi pelarian kemudian mendapat tahu bahawa isteri dan anaknya telah mati setelah dijual sebagai hamba ke negara China.
Mengetahui berita menyedihkan itu membuatkan Dong-chul berang dan nekad. Maka bermulalah ‘EKSPEDISI’ Dong-chul untuk misi pembalasan dendam terhadap mereka yang telah menganiayai keluarganya.
4. SINKHOLE
Filem dimulai dengan sebuah keluarga yang baru beli dan pindah di apartment tersebut setelah 10 tahun bekerja. Suatu hari keluarga ini mengundang kawan-kawannya meraihkan rumah baru mereka dan berpesta.
Kebetulan pula hari tersebut sedang hujan lebat, hujan yang tidak henti-henti. Tanpa mereka ketahui, akibat lembapan tanah dari air hujan deras yang berterusan telah menyebabkan pembentukan lubang pembuangan dengan ukuran yang sangat besar di bawah Aparment tersebut dan tiba² telah menyebabkan apartment yang keluarga itu duduk dan jiran-jiran lainnya runtuh dan jatuh dalam sekelip mata sahaja ke dalam lubang sedalam 500 meter ke bawah.
Adakah mereka akan dapat menyelamatkan diri dan mencari jalan keluar dari lubang tersebut sebelum air hujan yang tidak henti² membanjiri lubang tersebut?
5. THE WITCH PART 1: THE SUBVERSION (2018)
10 tahun lalu, Ja-yoon telah melarikan dari sebuah organisasi dan para saintis gila yang berniat jahat menggunakan dia untuk kepentingan mereka sendiri. Satu eksperimen rahsia telah dilakukan ke atas kanak-kanak lain yang juga mempunyai kemampuan seperti Ja-yoon.
Namun kerana satu insiden, organisasi ini membuat keputusan untuk menghapuskan dan membunuh kanak-kanak itu dengan KEJAM termasuklah Ja-yoon.
Dalam masa 10 tahun itu, Ja-yoon telah dibesarkan dan disayangi oleh sepasang suami isteri yang menemukannya dahulu. Dan dalam masa 10 tahun ini juga, Ja-yoon tidak menyimpan memori dan mengingati asal usulnya dahulu, dia dapat menjalani kehidupannya seperti anak-anak gadis lain.
Suatu hari organisasi jahat tersebut berjaya mengesan keberadaaan Ja-yoon dan Ja-yoon ditangkap semula dibawa kembali ke makmal sains mereka dan merancang untuk mengembalikan Ja-yoon dibawah kawalan mereka!
Ja-yoon (Kim Da-mi) merupakan seorang gadis luar biasa yang memiliki kemampuan KUASA TELEKINETIK, dia dianggap sebagai ancaman yang paling digeruni oleh musuh-musuhnya.
Bagaimanakah kisah selanjutnya setelah itu dan apa yang bakal terjadi kepada Ja-yoon?
6. THE WITCH PART 2: THE OTHER ONE (2022)
Filem ini merupakan sekuel kepada The Witch Part 1: The Subversion (2018). Plot “The Witch Part 2” masih mengekalkan konsep yang sama seperti filem pertamanya yang mengfokuskan tentang anak-anak yang diekploitasi dan dijadikan bahan uji kaji secara genetik melalui satu program sulit yang dikenali sebagai WITCH PROGRAM bagi menghasilkan “SUPER HUMAN” yang mampu menjadi senjata yang mematikan.
Bukan itu sahaja, mereka juga berkemampuan memiliki kekuatan yang tiada tandingan, kelajuan yang tidak terkejar, kuasa telekinetik dan tidak mudah dibunuh.
Untuk sekuel ini, salah satu subjek yang berjaya dalam uji kaji genetik tersebut adalah Cynthia (Shin si-ah) yang mana keupayaan kuasa yang dimilikinya berbeza dengan subjek-subjek lain.
Namun kerana satu insiden letupan di makmal uji kaji tersebut, Cynthia(Shin Si-ah) terselamat dan melarikan diri dan kini dia menjadi buruan oleh orang-orang upahan yang juga mempunyai keupayaan yang dimiliki oleh seorang WITCH.
Akhirnya Cynthia diselamatkan oleh Kyung-hee (Park Eun-bin) dan diajak tinggal dirumahnya. Apa yang Kyung-hee tidak tahu adalah, nyawanya dan adiknya kini dalam bahaya dan turut menjadi sasaran pembunuh upahan WITCH kerana melindungi Cynthia.
Bagaimanakah kesudahan kisah The Witch Part 2: The Other One ini? The Witch juga bakal akan ada Part 3!
7. THE MERCILESS (2017)
Sebuah kisah persahabatan dan pengkhianatan dan semuanya bermula dengan 2 watak penting dalam filem ini.
Jae-ho (Sol Kyung-gu) mafia/gengster NO.2 paling digeruni dan berpengaruh di Busan Korea yang membina empayar jenayahnya sendiri, membuat peraturannya sendiri ketika berada di dalam tahanan penjara.
Hyun-soo (Siwan) seorang pegawai polis yang melakukan misi penyamaran dengan menjadi tahanan di penjara yang sama dengan tujuan untuk mendekati Jae-ho, mendapatkan kepercayaan Jae-ho agar diserap masuk ke dalam geng/organisasi Jae-ho dan seterusnya membanteras dan melumpuhkan empayar jenayah yang dibinanya bersama ahli geng lain.
Tatkala tiada seorang pun mampu mendongak memandang Jae-ho, namun berbeza dengan Hyun-so yang tidak langsung menunjukkan rasa takutnya kepada Jae-ho. Keberanian Hyun-so telah menarik perhatian Jae-ho sehingga akhirnya mereka berdua menjadi “Bromance” bagai isi dan kuku yang hampir tidak dapat dipisahkan dan dikalahkan walaupun telah keluar dari penjara.
Namun satu insiden telah menimpa ibu Hyun-so dan membuatkan Hyun-so berpaling tadah sebagai seorang pengintip kerana hanya Jae-ho sahaja yang mengambil berat tentang dirinya disaat-saat dia dalam keadaan terdesak dan depresi.
Sehinggalah satu masa, Hyun-so mendapat tahu punca dan dalang disebalik kematian ibunya. Hyun-so mula merasa ragu, dia mula berperang dengan emosi, akal dan batinnya!
Siapakah yang patut dia percayai sebenarnya? Kepercayaan Hyun-so terhadap integriti orang atasannya telah lama rapuh sejak dia berada dalam penjara dan dia juga mula merasa was-was jika Jae-ho benar-benar berada dipihaknya atau sebaliknya!
8. THE TOWER (2012)
Tragedi bermula dengan helikopter yang digunakan untuk menabur salji mengalami kerosakan kemudian melanggar bangunan tersebut di tingkat 64 sehingga menyebabkan kebakaran. Kebetulan water sprinkler pula rosak.
Fokus dalam filem ini adalah tentang insiden kebakaran di menara tertinggi di Seoul, Korea Selatan 108 tingkat bernama Tower Sky ketika pemilik Tower mengadakan parti Krismas untuk residen-residen yang mendiami Tower tersebut.
Bagaimana water sprinkler itu tidak berfungsi, aksi-aksi penyelamatan yang dilakukan, bagaimana seseorang harus berkorban dan saling membantu agar dapat keluar dari bencana tersebut. Bersama-sama berjuang untuk menyelamatkan nyawa semua orang. Semua ini anda dapat saksikan disepanjang alur filem ini. Penuh debaran dan saat-saat emosional.
9. ASHFALL (2019)
Sebuah filem thriller bertemakan BENCANA ALAM yang sangat berbaloi untuk ditonton! Persembahan dari segi CGI dan sinematografinya juga sangat HEBAT!
Gempa bumi yang sangat dahsyat berukuran 8 skala richter telah melanda bumi Korea apabila Gunung berapi di Baekdu tiba-tiba meletup dan mengeluarkan lavanya mengakibatkan seluruh warga Korea lari menyelamatkan diri kerana bumi mereka mula berpecah dan bangunan satu persatu mula runtuh dan hancur menyembah bumi.
Profesor Robert Kang (lakonan Ma Dong-seok), pakar geografi dipanggil oleh Setiausaha Kabinet Korea Selatan, Jeon Yoo-Kyung (lakonan Jeon Hye-Jin) untuk menjelaskan keadaan semasa dan mencari solusi untuk menyelamatkan bumi Korea. Untuk menghentikan letupan terbesar dari berlaku, mereka memerlukan 600 ton bahan letupan yang berupa sebiji bom nuklear utk memusnahkan gunung berapi tersebut.
Sekumpulan pasukan Elite Pemusnah Bom yang diketuai oleh Kapten Jo In-chang (lakonan Ha Jung-woo) telah ditugaskan satu misi rahsia mendapatkan kepala peledak nuklear di Korea Utara. Untuk menjayakan misi tersebut, Kapten Jo perlu mencari dan membebaskan Ri Joon Pyeong (lakonan Lee Byung Hun) yang berada di penjara Korea Utara kerana Joon Pyeong satu-satunya manusia yang tahu lokasi kepala peledak nuklear tersebut.
Namun perjumpaan mereka bukanlah semudah yang dijangkakan. Joon Pyeong juga bukan calang-calang orangnya.
Dapatkah akhirnya nanti Kapten Jo dan pasukannya menghentikan letupan gunung berapi Baekdu?
10. GUIMOON THE LIGHTLESS DOOR (2021)
Dalam filem ini, aktiviti paranormal yang mengerikan tersebut berfokus di sebuah bangunan yang terbiar iaitu Psychic Research Institute di daerah bernama Guisari dimana terdapatnya pintu yang menghubungkan dunia kehidupan dan kematian telah muncul.
Bangunan itu ditutup setelah berlakunya pembunuhan besar-besaran pada tahun 1990 dan ramai orang yang pernah masuk ke situ untuk membuat dokumentari juga hilang dan tidak ditemukan lagi.
Do Jin (lakonan Kim Kang-woo), yang mewarisi kebolehan menghalau hantu dan juga anak kepada dukun yang mati dibunuh ketika sedang membuat ritual mengusir hantu diluar bangunan tersebut bertekad akan membalas dendam dan merungkai misteri kematian ibunya.
Di babak lain, 3 penuntut universiti telah memasuki bangunan tersebut membuat dokumentari untuk pertandingan yang dianjurkan pihak universiti mereka. Do Jin juga telah berada di dalam bangunan tersebut ketika itu.
Namun sesuatu yang misteri, menggila, amarah dan menyeramkan telah menemukan mereka di dalam situasi yang tidak dapat dijelaskan oleh akal sihat mereka.
Baca Lagi: Fakta Menarik Dan Wajah Sebenar Madam Lim Taxi Driver
Baca Juga: Lee Je Hoon Kian Memukau