Ditulis dan diarahkan oleh Anvita Dutt, Bulbbul adalah salah satu karya cemerlang yang disiarkan di Netflix. Filem India ini adalah thriller mistik dengan kisah dongeng gelap di sebahagian ceritanya.
Berlatarbelakangkan pada tahun 1881 di Bengal, India, Bulbbul yang membawa tema thriller mistik ini telah membawa satu kelainan dalam industri perfileman Bollywood yang pastinya ia berada di dalam kelas dan keunikannya tersendiri. Ibarat menonton sebuah kisah dongeng dengan jalan cerita serta skor muzik yang cukup menarik, ditambah pula dengan kesan sinematografi yang sangat indah.
Walaupun membawa genre thriller mistik, ia tidak terlalu memfokuskan entiti misteri yang wujud dalam filem ini. Filem ini membawakan kita pengalaman hitam yang menimpa Bulbbul dimana penonton dapat diperlihatkan isu penderaan dan perlakuan keras terhadap seorang wanita.
Filem ini juga mengangkat tema kegembiraan, kepayahan, kekecewaan, kesedihan, pengkhianatan, kemarahan dan dendam dari seorang anak gadis kecil molek hinggalah tumbuh dewasa.
Dari kecil lagi Bulbbul (Tripti Dimri) telah dinikahkan dengan seorang lelaki yang agak berumur Indranil (Rahul Bose) dari sebuah keluarga bangsawan yang masyhur dan kaya. Indranil memiliki abang kembar yang ada masalah mental bernama Mahendra yang telah pun mempunyai isteri, Binodini (Paoli Dam). Dia juga mempunyai seorang anak saudara sebaya isteri ciliknya iaitu Satya (Avinash).
Bulbbul yang ketika itu masih terlalu mentah untuk mengenal dunia dan alam berumahtangga, tidak sedar yang dia sebenarnya telah dinikahkan kepada Indranil yang umurnya sebaya bapanya. Anak kecil ini yang menyangka dirinya dijodohkan dengan Satya sejak itu mereka menjadi teman yang sangat rapat bagai tidak dapat dipisahkan lagi.
Sehinggalah Bulbbul dan Satya meningkat dewasa, tumbuh menjadi seorang wanita dan isteri yang sangat cantik serta berbudi pekerti. Dengan kecantikannya dan keramahan yang dimilikinya, telah membuahkan bibit-bibit cemburu suaminya kerana ternyata isterinya itu lebih rapat dengan Satya.
Satya kemudian dihantar untuk menyambung pengajian di luar negara, dan ini menyebabkan Bulbbul tersangat sedih dan kecewa kerana baginya Satya adalah teman sehidup semati walaupun tiada sesiapa yang mengetahui isi hatinya. Sejak itu, kehidupan Bulbbul dipenuhi dengan penderitaan yang tidak dijangkau oleh akal fikiran manusia.
5 tahun pun berlalu, Satya pun kembali ke rumah agam keluarganya. Satya agak kebingungan kerana bapa saudaranya tidak lagi berada di sisi Bulbbul, Mahendra juga telah lama meninggal dunia dan isterinya telah menjadi seorang biarawati dan tinggal di sebuah kuil berdekatan.
Satya kemudian dihebohkan oleh beberapa penduduk kampung bahawa sejak pemergiannya, pelbagai kejadian mengerikan dan aneh telah berlaku.
Sepanjang cerita, kita dapat melihat orang kampung begitu takut dengan “CHUDAIL”, makhluk mitos yang juga merupakan wanita syaitan dengan pergelangan kaki hingga tapak kakinya terbalik.
Chudail ini diketahui membunuh orang kampung, khususnya kaum lelaki sahaja. Mendengarkan hal itu, Satya mula menyiasat misteri disebalik kewujudan Chudail yang mengancam kaum lelaki di kampungnya itu.
Apakah yang telah menyebabkan lelaki-lelaki di kampung tersebut mati satu persatu? Apakah kaitannya dengan wanita syaitan Chudail itu? Dapatkah akhirnya Satya merungkai misteri tersebut?
Kedengaran kisahnya sangat menarik dan mencengkam emosi kan? Namun harus diingatkan, plot filem ini berlangsung agak perlahan. Yang pasti, peminat genre ini akan dapat menghayati kisah misteri, penuh kesyahduan, menyayat hati dan penuh dengan emosi yang akan membuatkan kita merasa kasihan dan simpati terhadap nasibnya.
Sangat menggembirakan untuk melihat kehebatan filem ini digabungkan dalam genre cerita rakyat, zaman moden dan thriller mistik untuk membawa mesej. Persembahan dari setiap watak yang dipaparkan dalam filem ini juga sangat hebat.
Jika anda tertarik dengan kisah Bulbbul seperti diatas, pastikan anda tidak terlepas dari menonton filem menarik ini di platform penstriman NETFLIX.