Drama siri Korea, atau yang lebih dikenali dengan singkatan ‘Kdrama’, telah mendapat kedudukan istimewa dalam senarai tontonan yang diminati oleh ramai orang di berbagai-bagai ceruk dunia, termasuk Malaysia. Selain menampilkan cerita yang menggugah emosi, drama siri Korea juga boleh memberi inspirasi serta memberikan dorongan semangat kepada para penonton.
Beberapa buah Kdrama mempunyai potensi untuk mengubah perspektif anda terhadap berbagai-bagai aspek kehidupan, seperti aspek cinta, kerjaya, keluarga, dan juga dalam mengenal diri sendiri. Jika waktu ini anda sedang mencari Kdrama yang dapat memberikan pengajaran berharga tentang perjalanan hidup, berikut ini adalah beberapa buah Kdrama yang sesuai untuk anda tonton:
1. It’s Okay That’s Love (2014)
It’s Okay That’s Love adalah kisah yang mengikuti perjalanan Jang Jae-yeol, seorang penulis novel misteri dan DJ yang mengalami gangguan obsesif-kompulsif akibat pengalaman trauma di masa lalu.
Waktu dia bertemu dengan Ji Hae-soo, seorang pakar psikiatri yang mempunyai masalah kepercayaan dan ketakutan soal hubungan yang intim, awalnya mereka berdua banyak selisih faham. Namun, seiring berjalannya waktu, kedua-duanya jatuh cinta dan berusaha untuk menyembuhkan luka emosi yang mereka bawa.
Melalui drama ini, pesanan yang ingin disampaikan adalah pentingnya menjaga kesihatan mental dan bagaimanakah cara supaya boleh menghadapi serta mengatasi masalah psikologi yang mungkin dihadapi. Selain itu, drama ini juga menggambarkan bahawa cinta memiliki kekuatan penyembuhan yang luar biasa terhadap luka hati yang paling dalam.
2. Run On (2020)
Dalam Kdrama Run On, Ki Sun-gyeom, yang merupakan bekas pelari pecut negara terpaksa menghentikan kerjayanya akibat masalah undang-undang, kemudian dia memilih untuk bekerja sebagai ejen sukan. Oh Mi-joo adalah seorang penulis sari kata filem yang merasa bahagia ketika namanya tercantum di akhir kredit filem yang melibatkannya.
Takdir membawa kedua-dua insan ini bertemu secara tidak sengaja.
Drama ini dapat mendorong anda untuk mengejar impian dan tujuan hidup dengan cara yang bersesuaian dengan sikap dan keperibadian anda, tanpa perlu mengikut standard atau tekanan dari orang lain. Selain itu, Run On juga menampilkan pelbagai karakter yang unik dan berbeza, namun mereka saling melengkapi dan memberikan sokongan antara satu sama lain.
3. Itaewon Class (2020)
Cerita dalam Itaewon Class mengikuti kisah Park Sae-ro-yi, seorang pelajar sekolah menengah yang menghadapi kesan dan akibat selepas memukul seorang rakan sekelas yang merupakan anak kepada CEO perniagaan restoran besar. Kerana insiden ini, dia diusir dari sekolah dan ayahnya hilang pekerjaannya.
Sayangnya, ayahnya kemudian meninggal dunia dalam sebuah kemalangan yang melibatkan anak CEO tersebut. Akibatnya, Sae-ro-yi bersumpah untuk membalas dendam dengan membuka sebuah bar di Itaewon bersama kawan-kawannya dan bersaing dengan restoran tersebut.
Siri ini dapat memberikan motivasi untuk tetap kuat dan berjuang melawan tentangan dan rintangan dalam hidup, tanpa menyerah kalah. Selain itu, Itaewon Class juga membawa nilai-nilai seperti keadilan dan persahabatan.
4. My Liberation Notes (2022)
My Liberation Notes mengisahkan tentang tiga saudara iaitu Yeom Chang-hee, Yeom Mi-jung, dan Yeom Ki-jung, yang telah merasa bosan dengan kehidupan mereka sebagai orang dewasa.
Oleh sebab itu, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke sebuah desa kecil di pinggir kota dengan tujuan untuk menjalani hidup mengikut keinginan mereka tanpa beban yang menyusahkan. Di desa tersebut, mereka berkenalan dengan Mr. Gu, seorang lelaki misteri yang sering kelihatan mabuk dan menyendiri.
Drama ini memberikan wawasan tentang bagaimanakah cara untuk menemui jati diri dan mengejar apa yang membuatkan kita bahagia dalam hidup. Selain itu, My Liberation Notes juga menjelajah konsep kebebasan dan kebahagiaan yang memiliki makna yang berbeza bagi setiap individu.
5. Summer Strike (2022)
Kdrama siri Summer Strike menceritakan tentang Lee Yeo-reum (Kim Seol-hyun), seorang wanita berusia yang 28 tahun yang memutuskan untuk berhenti dari pekerjaannya dan pindah ke desa persisir pantai yang dikenali sebagai Angok. Dia mahu menjalani hidup tanpa melakukan apa-apa yang bermakna. Sewaktu berada di desa tersebut, Yeo-reum bertemu dengan Ahn Dae-beom, seorang pustakawan yang juga mempunyai kemahiran dalam matematik.
Siri ini dapat memberikan pengajaran tentang pentingnya untuk berehat dan menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi. Drama siri ini juga menunjukkan bahawa kadang-kadang anda perlu berhenti dan berehat dari rutin seharian yang sibuk dan menikmati perkara-perkara sederhana dalam kehidupan.
Dengan menampilkan cerita yang mendalam dan emosional, drama Korea bukan hanya menghiburkan, tetapi juga memberikan pengajaran berharga tentang kehidupan.
Jangan lupa untuk menonton drama-drama tersebut kerana pasti akan mengubah cara pandangan anda terhadap kehidupan dan memberikan inspirasi baru dalam perjalanan hidup. Moga bermanfaat!