Home News Bayi Selamat Lahir ketika Ibu Dalam Keadaan Begini

Bayi Selamat Lahir ketika Ibu Dalam Keadaan Begini

0

KOTA BHARU – Kelahiran seorang bayi mengejutkan pegawai perubatan apabila dia bukan sahaja lahir dari ibu yang koma malah mampu bertahan dengan rawatan tumor ketika masih dalam kandungan.

Bayi pra matang yang diberi nama Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia 41 hari, lahir menerusi proses pembedahan, berjaya mengharungi rawatan bersama ibunya, Kamareeah Arwae, 36, yang menghidap ketumbuhan di kepala.

Suami Kamareeah, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata, dia reda selepas pegawai perubatan tidak memberi harapan tinggi kerana imbasan x-ray boleh menjejaskan kandungan malah menyebabkan keguguran.

Menurutnya, rawatan terpaksa dibuat terhadap isterinya yang berada dalam koma selepas dia mengalami kekejangan dan sawan disebabkan tumor yang semakin membesar, sejak Disember lalu.

“Ketika kandungannya mencecah dua bulan, doktor nasihat saya sabar kerana janin mungkin tidak dapat bertahan.

“Isteri terpaksa melalui banyak proses imbasan dan doktor menerangkan mengenai risiko proses itu terhadap janin,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu hari ini.

Selain itu Fairol Haziri berkata, isterinya terpaksa menjalani pembedahan membuang tumor sebesar bola ping pong yang mana ketika itu kandungannya memasuki usia empat bulan atau trimester kedua.

Mengenangkan keadaan isteri sangat lemah Fairol Haziri berkata, dia reda dengan sebarang kemungkinan kerana beranggapan nyawa Kamareeah lebih penting.

Selepas menjalani dua pembedahan termasuk membuang tempurung kepala, dia berkata, isteri dibenarkan pulang malah kandungannya masih kuat dan tidak menunjukkan tanda-tanda negatif.

Capture 2

“Selepas kandungannya mencecah 33 minggu, bayi kami membesar dengan normal dan pembentukkan sifat yang sempurna.

“Sekali gus ia menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan pegawai perubatan dan mereka mengambil keputusan supaya kelahiran anak kami dibuat melalui pembedahan,” katanya.

Fairol Haziri berkata, mengenangkan pembedahan dibuat sebelum waktu matang, Farah Hanis menghadapi sedikit komplikasi dan terpaksa ditahan di wad selama tiga minggu.

Sehingga hari ini Fairol Haziri berkata, anak keduanya itu tidak dapat menikmati susu dari ibu kandungnya dan hanya memperoleh khasiat susu ibu daripada seorang ibu tumpang.

Capture 1

Fairol Haziri yang kini tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 berkata, semua keperluan itu digunakan untuk keperluan Kamareeah.

Namun katanya, ia masih tidak mencukupi bagi membeli susu khas dan lampin pakai buang isterinya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Fairol Haziri menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0300141000081183.

Sumber : Sinar Harian