Filem Korea Selatan terus menunjukkan keberanian mereka dalam mengeksplorasi tema-tema gelap dan menegangkan.
Bagi para peminat genrethriller psikologikal, berikut ini adalah tiga filem Korea dengan jalan cerita yang segar yang mengangkat kisah gangguan manusia psikopat yang pastinya menggoncang jiwa dan membuatkan anda tidak senang duduk.
1. Don’t Buy the Seller (Target)
Filem Don’t Buy the Seller, yang juga dikenali dengan judul “Target”, menampilkan cerita yang mengejutkan dan menegangkan tentang bagaimana tindakan kecil boleh berakhir dengan ancaman yang serius. Mengisahkan tentang Soo Hyun, yang dilakonkan oleh Shin Hye Sun, filem ini dimulakan dengan Soo Hyun yang penat dengan rutin hariannya mencuci pakaian di kedai dobi dan memutuskan untuk membeli mesin basuh terpakai secara online.
Namun, masalah muncul apabila mesin basuh yang diterimanya dalam keadaan rosak dan tidak boleh digunakan. Soo Hyun marah selepas mengetahui bahawa penjualnya tidak dapat dihubungi. Ketika dia meninggalkan komen buruk tentang penjual tersebut, dia tidak menyedari bahawa penjual itu adalah seorang psikopat yang berbahaya dan berniat menjadikannya sebagai target barunya. Don’t Buy the Seller memberikan pandangan yang menegangkan tentang bagaimana kemarahan dan ketidakpuasan hati dapat berubah menjadi ancaman yang menakutkan.
2. Unlocked
Dalam filem “Unlocked,” penonton diajak untuk merasakan ketegangan yang timbul dari jenayah siber. Mengisahkan tentang Lee Na Mi, seorang gadis yang kehilangan telefon pintar semasa dalam perjalanan pulang, filem ini memulakan cerita dengan pemulangan telefon pintar itu oleh seseorang yang berniat baik. Namun, kedamaian hidup Lee Na Mi berubah menjadi ketakutan apabila dia menyedari bahawa telefon pintarnya telah digodam oleh seorang psikopat.
Gangguan semakin memuncak apabila Lee Na Mi menghadapi ancaman yang datang dari dunia maya yang selama ini dia anggap selamat. “Unlocked” mengeksplorasi bagaimana pelanggaran privasi melalui teknologi menghasilkan kesan yang menakutkan dan menghancurkan hidup seseorang.
3. Door Lock
Filem “Door Lock,” yang ditayangkan pada 5 Disember 2018 ini menampilkan Gong Hyo Jin sebagai Jo Kyung Min dalam sebuah kisah thriller psikologikal yang penuh ketegangan. Jo Kyung Min mengalami gangguan ketika rumahnya mula dicerobohi oleh seseorang yang tidak dikenalinya. Pada awalnya, dia hanya merasa cemas apabila barang-barang di rumahnya bergeser tanpa alasan yang jelas.
Situasi makin buruk ketika Jo Kyung Min melihat seseorang cuba masuk ke unit apartmentnya. Walau dia melaporkan kejadian ini kepada pihak keselamatan, aduannya itu tidak ditangani dengan serius kerana tidak ada bukti dan kerosakan yang cukup. Namun, tragedi terjadi apabila seseorang terbunuh di dalam unit apartmentnya semasa dia tidak berada di rumah. Akhirnya Jo Kyung Min menemui benda asing di bawah katilnya yang semakin merumitkan situasi. Gangguan semakin intens ketika psikopat sebenar menunjukkan obsesinya terhadap Jo Kyung Min.
Ketiga-tiga filem Korea ini menyajikan pelbagai aspek gangguan psikopat, dari ancaman yang datang dari pembelian online hingga pelanggaran privasi digital dan gangguan dalam rumah sendiri. Dengan naratif yang menegangkan dan penuh kejutan, filem-filem ini menawarkan pengalaman yang mendalam dan mencengkam bagi para peminat filem Korea.