Pelakon Korea-Amerika terkenal iaitu Don Lee atau juga dikenali sebagai Ma Dong-seok telah mencetuskan spekulasi besar-besaran mengenai penglibatannya dalam filem Salaar: Part 2 – Shouryaanga Parvam setelah dia berkongsi poster filem tersebut di Instagram Story miliknya.
Sangat dikenali melalui filem seperti Train to Busan, The Outlaws, dan Eternals, Don Lee mempunyai ramai peminat di India dan seluruh dunia, dan perkongsiannya itu mencetuskan keterujaan terhadap kemungkinan dia akan muncul dalam Salaar 2, yang diarahkan oleh Prashanth Neel.
Perkongsian ini segera menarik perhatian dalam talian, dan ramai peminat berharap Don Lee bergandingan dengan Prabhas dalam sekuel yang sangat dinanti-nantikan ini yang merupakan sekuel atau susulan kepada Salaar: Part 1 – Ceasefire, yang ditayangkan pada tahun 2023. Begitu ramai pengguna atas talian berinteraksi dengan perkongsiannya itu sehingga akaun Instagram milik Don Lee disekat sementara waktu akibat lonjakan aktiviti.
Filem Salaar: Part 2 diterbitkan oleh Vijay Kiragandur di bawah Hombale Films dan berlatarbelakangkan kota distopia fiksyen bernama Khansaar. Kisah filem ini berfokus pada hubungan kompleks antara Salaar (lakonan Prabhas) dan Vardha Raja (lakonan Prithviraj Sukumaran) yang membawa konflik emosi dan fizikal yang mencabar. Bahagian pertama filem ini berjaya meraih lebih daripada Rs 617 crore di seluruh dunia, dan dengan kejayaan itu, harapan peminat terhadap sekuelnya adalah sangat tinggi.
Walaupun masih terlalu awal untuk memastikan sama ada Don Lee akan muncul dalam Salaar 2 ataupun tidak, para peminat sangat gembira dengan kemungkinan dia akan berkongsi layar bersama Prabhas dalam filem lain pada masa akan datang.
Pertembungan antara Prabhas dan Don Lee bakal mencipta momen epik jika ia menjadi kenyataan, menambah keterujaan dan harapan peminat terhadap kedua-dua bintang aksi ini. Kita mungkin perlu menunggu pengumuman rasmi daripada pembikin filem, sama ada untuk Salaar 2 atau filem Spirit.
Jika penglibatan Don Lee dalam Salaar disahkan, ini akan menandakan titik pertemuan yang signifikan bagi dua industri perfileman besar. Filem ini dijangka akan ditayangkan secara global pada tahun 2026 nanti.