Sudah 10 tahun Yuko hilang, barangkali sudah bersatu dengan lautan sana. Mungkin tidak ramai lagi yang mengenang dan bersungguh mencari wanita tersebut.
Kecuali seorang, iaitu suaminya bernama Yasuo Takamatsu yang tidak boleh berhenti mencarinya sehingga nafas terakhir.
Semuanya bermula sewaktu Tsunami membadai Jepun sedekad lepas…
11 Mac 2011
Pada hari Jumaat itu, Takamatsu menghantar Yuko ke bank. Setelah itu, dia membawa ibu mertuanya ke hospital pula.
Tiba-tiba berlaku gempa bumi berskala 9 skala Richter. Gegaran itu berlangsung selama enam minit sebelum pekan Onagawa itu dilambung ombak besar Tsunami.
Takamatsu terselamat dan turut menerima mesej bahawa anaknya masih hidup di Universiti Sendai, manakala Yuko pula tidak dapat dihubungi.
Yuko Hilang
Isteri ibarat nyawa, memang patut perkataan wife dan life hampir sama. Pada mulanya, si suami mencari Yuko di bank, tempat kali terakhir dilihatnya.
Sebelum hilang dan tidak dapat dihubungi, Takamatsu ada terima satu mesej daripada Yuko berbunyi, ‘Awak okey? Saya nak balik rumah.’
Kemudian lelaki itu meneruskan pencariannya di pesisir pantai, hutan berhampiran termasuk di gunung-ganang.
Tidak cukup dengan itu, Takamatsu mahu mencari di laut pula lalu meminta kedai barangan penyelaman skuba tempatan, High Bridge untuk mengajarnya menyelam demi mencari isterinya.
Belajar Menyelam
Masayoshi Takahashi, seorang jurulatih penyelam sudi membantu Takamatsu. Sambil mencari Yuko, mereka turut membantu membersihkan sisa-sisa sampah dan objek yang dihanyutkan Tsunami. Ada ketikanya mereka jumpa mayat dalam kereta.
Selain itu, Takamatsu yang kini berusia 64 tahun juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk misi pencarian 2,500 orang lagi berstatus hilang sejak Tsunami 2011 di bawah laut.
Di samping mengajar dan menemani Takamatsu menyelam, Masayoshi juga merekod usaha Takamatsu misalnya di mana tempat dia mula cari, berapa kedalaman, arus laut dan lain-lain.
Tetapi tiada satu pun klu yang membawa kepada takdir hidup Yuko.
Pulanglah, Yuko
Lembaran kalendar semakin berganti, namun itu tetap tidak meruntuhkan kesetiaan Takamatsu bagi menjejak bayangan Yuko dan sehingga kini, kira-kira 500 kali pencarian di bawah laut dibuatnya.
Menatap mesej terakhir kiriman yang tertera ‘Awak okey? Saya nak balik rumah…’ membuatkan Takamatsu percaya yang isterinya masih mahu pulang ke rumah.
Sumber: Oddity Central, NYTimes
Jom follow Instagram Daebakingz untuk tahu lagi cerita-cerita menarik!