Home Design Kisah Ryugyong, Hotel 105 Tingkat Paling Sunyi Sepi di Korea Utara

Kisah Ryugyong, Hotel 105 Tingkat Paling Sunyi Sepi di Korea Utara

0

Hotel Ryugyong di Pyongyang, Korea Utara merupakan bangunan tidak berpenghuni paling tinggi di dunia.

2 flickr
Sumber gambar: Flickr

Raksasa konkrit ini juga merupakan binaan terbesar di Korea Utara. Namun apakah kisah di sebalik bangunan pencakar langit terbengkalai sehingga digelar ‘Hotel of Doom’ ini?

Bercita-cita Tinggi

Mengikut perancangan asal, bangunan Ryugyong ini hendak didirikan supaya dapat pegang rekod dunia sebagai hotel paling tinggi.

Kim il-Sung, pemimpin Korea Utara pada era 1980-an kurang senang melihat negaranya ketinggalan di belakang jirannya, Korea Selatan yang kian marak menjadi masyarakat kapitalis moden.

5
Sumber gambar: Pixabay

Pada tahun 1986, Korea Selatan dapat projek untuk bina hotel tertinggi dunia di Singapura pada zaman itu.
Pembangunan dan ekonomi Korea Selatan yang melonjak naik membuatkan Kim tidak boleh duduk diam lalu merancang untuk buat bangunan lebih tinggi daripada yang pernah dibuat oleh Korea Selatan.

Ada sesiapa berani kata ‘tidak’ pada idea diktator itu? Mungkin tiada kerana silap-silap dibuatnya jadi bulgogi, daging cincang masak Korea.

4 flickr
Sumber gambar: Flickr

Korea Utara yang berlumba-lumba untuk bina bangunan setinggi 105 tingkat itu ibarat mahu sabotaj kenduri bekas kekasih dan nak lihat majlis perkahwinan siapa yang lebih besar selepas tidak sehaluan.

Projek pembinaan tersebut bermula pada tahun 1987 dan dijangka siap dua tahun kemudiannya. Namun mengapa impian sang sosialis itu tidak menjadi realiti?

Projek Mega Terbantut

Hotel yang sepatutnya dibuka pada tahun 1989 ini tidak jadi kenyataan kerana rentetan musibah yang berlaku seperti ketidakcekapan pengurusan, kesilapan teknik dan kualiti bahan binaan telah memaksa kerajaan menangguhkan pembinaannya beberapa kali.

Ditambah pula dengan masalah ekonomi, kebuluran yang melanda negara itu kerana kejatuhan kerajaan pusat komunis di Eropah yang tidak boleh memberi subsidi lagi kepada Korea Utara. Pelaburan asing yang diharapkan pula seperti bermimpi pada siang hari.

Akhirnya projek pembinaan Hotel Ryugyong dihentikan sementara pada tahun 1992. Ketinggian bangunan hotel ini sudah tercapai namun bahagian di dalamnya tidak pernah siap.

Terbiar Kosong

Hotel Ryugyong setinggi 105 tingkat dan kadang-kala disebut sebagai Bangunan 105. Apabila dilihat dari jauh, bangunan yang mencakar langit Pyongyang ini berbentuk seperti piramid.

1 flickr
Sumber gambar: Flickr

Mengikut beberapa sumber media, bentuknya bukan mahu dibuat seperti piramid tetapi gunung yang menjadi simbolik kemegahan negara itu.

Di puncak hotel ini, terdapat bahagian berbentuk kon lapan tingkat yang seharusnya menempatkan tujuh restoran berputar untuk dapatkan pandangan panorama.

Pelan asal hotel memerlukan 3, 000 bilik, serta banyak ruang untuk aktiviti komersial lain-lain.

Banyak tahun jugalah hotel ini terbengkalai. Beberapa kali projek pembinaan dan pembukaan hotel berbilion dolar ini cuba disambung namun selalu jumpa jalan buntu.

Sehingga kini hotel tersebut terbiar sepi walaupun menjulang megah di tengah pusat kota negara paling tertutup di dunia itu dan setia dengan gelarannya, ‘Hotel of Doom’.

3
Sumber gambar: Pxfuel

Sumber: Insider, CNN, Atlas Obscura, Geographics

Jom follow rapat FB page DaebaKing dan akaun IG Daebakingz untuk tahu lagi cerita-cerita menarik dan teropong dunia!