Gemar menyanyi dan menghiburkan orang, tuah menyebelahi Bob Yunus, pemuda dari Sarawak ini apabila video nyanyiannya tular di TikTok dan meraih jumlah perkongsian dan tontonan yang tinggi.
Bob dipuji ramai kerana mempunyai suara serak-serak basah persis Cakra Khan apabila dia menyanyikan semula lagu-lagu popular dari Malaysia dan Indonesia.
Terbaru, videonya yang cover lagu bertajuk ‘Cinta’ telah menggamit perhatian penyanyi asalnya yang juga seorang legenda iaitu Melly Goeslaw.
Bahkan Bob atau nama sebenarnya Mohammad Haziq Yunus menerima mesej peribadi daripada Chakra dan Melly yang berminat untuk bekerjasama dengannya kerana bakat luar biasanya.
Memetik laporan Harian Metro, pemuda kelahiran Kota Samarahan, Sarawak itu mengakui sangat terharu dan terkejut apalagi tawaran terbabit datang daripada artis bukan calang-calang.
“Kalau ikutkan, nyanyian saya sudah beberapa kali tular di TikTok dan media sosial lain. Tapi semestinya paling terkejut apabila Chakra dan Melly menghubungi saya secara peribadi selepas itu.
“Chakra menyatakan niatnya agar dapat beraksi satu pentas dengan saya suatu hari nanti. Manakala, Melly pula berbesar hati mahu saya rakamkan semula lagu Cinta nyanyiannya.
“Semestinya, saya sangat terharu kerana bakat nyanyian saya dipandang tinggi sampai ke tahap itu. Saya paling bersyukur apabila peminat di Indonesia juga memberikan sokongan luar biasa,” katanya.
Menurut Bob, tidak pernah terlintas langsung di fikirannya dia akan tular sampai ke tahap itu. Ini kerana, dia menyanyi di TikTok dengan niat sekadar menghibur orang ramai terutama pada musim pandemik ini.
Terbaharu, Bob juga berpeluang bersua dengan Melly menerusi panggilan video Zoom bagi membincangkan tawaran merakamkan semula lagu Cinta. Menurutnya jika tiada aral, dia akan berbuat demikian apabila keadaan sudah mengizinkan.
“Melly memang nak saya rakamkan lagu itu. Kemungkinan besar, saya akan ke Kuala Lumpur dulu sebelum dapat berkunjung ke Indonesia bagi merealisasikan projek itu.
“Apa pun, sekarang ia masih dalam perbincangan kerana keadaan pandemik belum mengizinkan. Saya harap ini akan menjadi permulaan yang baik untuk saya meneruskan kerjaya nyanyian,” katanya.
@bobyunus69
Terdahulu, Bob menjadi tular selepas video nyanyiannya menerusi lagu Cinta memukau ramai terutama warga Indonesia. Video terbabit mendapat tontonan lebih 6.1 juta di TikTok dan akaunnya kini diikuti lebih 300,000 orang.
Melly sendiri turut berkongsi video tularnya itu di Instagram dan mengakui sangat kagum dengan bakat dimiliki Bob.
“Sewaktu saya mula menyanyi di TikTok, saya cuma sekadar mengisi masa lapang kerana nyanyian memang hobi saya. Malah, saya juga harap nyanyian saya akan dapat menghiburkan semua dalam masa sukar ini.
“Tidak sangka, sambutannya begitu hebat dan awal tahun ini, jumlah pengikut saya tiba-tiba mendadak naik dari 95 orang kepada lebih 6,000. Semakin hari, semakin meningkat naik pula,” katanya.
Semoga bakat nyanyian anak muda ini dapat lagi digilap supaya dapat merancakkan lagi industri muzik di negara kita.
Sumber: Harian Metro, Remaja