Home Netflix Siri “Adolescence”, Kisah Remaja Gusar yang Gegar Dunia, Pecah Rekod Tontonan Netflix

“Adolescence”, Kisah Remaja Gusar yang Gegar Dunia, Pecah Rekod Tontonan Netflix

0

Siri baru terbitan Netflix, Adolescence, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih 66.3 juta tontonan hanya dalam tempoh 11 hari sejak ditayangkan pada 13 Mac 2025. Pencapaian luar biasa ini menjadikan Adolescence sebagai siri terhad paling banyak ditonton dalam dua minggu pertama tayangan dalam sejarah Netflix.

Menurut laporan Variety pada Selasa (25 Mac 2025), siri asal United Kingdom itu memperoleh sebanyak 24.3 juta tontonan dalam empat hari pertama tayangan, sebelum mencatat tambahan 42 juta tontonan antara 17 hingga 23 Mac.

Apa yang lebih mengagumkan, rekod ini bukan sahaja mengatasi jangkaan, malah menewaskan beberapa judul baharu Netflix yang lain. Di tangga kedua ialah The Residence lakonan Uzo Aduba dengan 6.4 juta tontonan. Running Point di tempat ketiga dengan 3.5 juta tontonan, diikuti rancangan gusti Raw: 2025 (3.1 juta), dan Zero Day (3 juta) yang berada di kedudukan keempat bagi siri TV berbahasa Inggeris.

Di tempat keenam ialah siri animasi Wolf King dengan 2.9 juta tontonan dalam masa empat hari, manakala rancangan temu janji Temptation Island mencatat 2.7 juta tontonan dalam masa seminggu.

 

Adolescence Juarai Carta Tontonan di United Kingdom

9545f066 378e 4bfc b66d b050004bca25

Selain mendominasi carta global, Adolescence turut mencatat pencapaian luar biasa di negara asalnya. Berdasarkan data daripada BARB (Broadcasters’ Audience Research Board), Adolescence muncul sebagai siri terhad pertama keluaran platform penstriman yang berjaya menduduki tempat teratas dalam carta mingguan televisyen UK.

Siri ini mengatasi rating beberapa siri terkenal lain seperti The Apprentice dan Death in Paradise. Episod pertamanya ditonton oleh 6.45 juta penonton pada minggu tayangan, menjadikannya tayangan penstriman paling tinggi untuk satu minggu di UK – melepasi rekod yang pernah dipegang oleh Fool Me Once (6.3 juta tontonan).

Episod kedua pula berada di tempat kedua dengan 5.94 juta tontonan, episod ketiga di tempat kelima (5.14 juta), dan episod akhir mencatatkan 4.65 juta tontonan.

Kejayaan ini didorong oleh jumlah langganan Netflix yang tinggi di UK, dianggarkan sekitar 17 juta isi rumah masih aktif menonton Netflix melalui televisyen.

 

Kisah Gelap Seorang Remaja Bernama Jamie Miller

Adolescence

Adolescence mengisahkan sebuah kes jenayah yang berlaku di sebuah bandar kecil di England, di mana seorang remaja berusia 13 tahun, Jamie Miller (lakonan Owen Cooper), ditahan polis atas tuduhan membunuh rakan sekolahnya, Katie Leonard.

Siri ini membawa penonton menyelami proses undang-undang yang rumit dari kaca mata seorang remaja, termasuk penahanan, soal siasat, hak guaman dan penglibatan penjaga. Watak Jamie bukan sahaja menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa, tetapi turut menerima tekanan emosi daripada ibu bapa, rakan-rakan sekolah dan pihak yang menyiasat kesnya.

 

Barisan Pelakon Hebat dan Debut Mengesankan Owen Cooper

28c62dd4 0ab3 4732 b81f 3a753b813d08

Adolescence juga menandakan kemunculan pertama Owen Cooper dalam dunia lakonan, satu penampilan debut yang menerima pujian ramai. Beliau turut digandingkan dengan barisan pelakon ternama Britain seperti Stephen Graham, Ashley Walters, Erin Doherty, Faye Marsay, dan Christine Tremarco.

Stephen Graham bukan sekadar berlakon, tetapi juga bertindak sebagai pencipta dan penulis bersama Jack Thorne. Philip Barantini pula mengambil tempat sebagai pengarah siri ini, mengukuhkan lagi kredibiliti dan mutu penceritaannya.

Kisah Menyentuh Jiwa

35a98a25 b050 4ad1 acaa 7f21e0b3f2c7

Dengan kisah yang gelap dan menyayat hati, lakonan penuh emosi, serta tema yang dekat dengan isu remaja masa kini, Adolescence bukan sekadar drama jenayah biasa. Ia adalah gambaran jujur tentang tekanan, trauma dan ketidakadilan yang mungkin dihadapi oleh remaja dalam sistem sosial hari ini.

Adolescence kini boleh ditonton di Netflix dengan hanya empat episod, cukup pendek untuk maraton, namun cukup kuat untuk meninggalkan kesan mendalam.

Baca lagi: Empat Kdrama Baharu di Netflix April 2025, Menawarkan Cerita Yang Unik dan Berbeza
Baca juga: Cadangan Filem Menarik Di Netflix Pada April 2025, Pelbagai Negara dan Pelbagai Genre