Minggu lepas, satu dunia telah memberikan perhatian mereka kepada kes mahkamah antara pelakon terkenal Hollywood, Johnny Depp dan bekas isterinya, Amber Heard.
Selepas enam minggu ‘bertarung’ di mahkamah, akhirnya Depp memenangi kes saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post dan menerima sebanyak RM65 juta.
Meskipun mereka telah bercerai pada 2017, drama antara mereka tidak pernah berakhir. Heard memberitahu media bahawa bekas suaminya itu seorang ‘kaki pukul’, sementara Depp pula mendakwa bekas isterinya itu berlaku curang.
Selain mereka, beberapa perceraian selebriti juga berakhir dalam keadaan tegang dan penuh drama. Berikut Gala menyenaraikan nama-nama artis terkenal yang pernah melalui hal sama.
Kelly Clarkson dan Brandon Blackstock
Penyanyi Kelly Clarkson memfailkan perceraian ke atas suaminya, Brandon Blackstock pada Jun 2020 atas alasan tiada persefahaman.
Bagaimanapun, pada Julai 2021, mereka masih belum mendapat persetujuan secara rasmi dan penyanyi itu diarahkan oleh mahkamah untuk membayar wang saraan bulanan sebanyak AS$200,000 (RM878,650) kepada Brandon.
Brad Pitt dan Angelina Jolie
Perang mahkamah antara bintang terkenal Brad Pitt dan Angelina Jolie tidak pernah berakhir sejak aktres itu memfailkan perceraian pada September 2016 atas alasan tiada persefahaman.
Selain daripada kes perebutan hak penjagaan anak, Pitt juga dituduh mendera salah seorang anak angkat mereka iaitu Maddox.
Malah, Jolie turut mendakwa bintang filem Troy itu tidak membayar wang sara bulanan yang mencukupi buat anak-anaknya.
Bagaimanapun, peguam Pitt telah mendedahkan bahawa Pitt telah membayar AS$8 juta (RM35 juta) untuk rumah baharu Jolie bersama anak-anaknya selain membayar pelbagai bil berjumlah AS$1.3 juta (RM5.7 juta).
Sehingga kini, perebutan hak penjagaan anak mereka belum berakhir kerana menurut Pitt, Jolie tidak akan melepaskan anak-anaknya sehingga mereka berusia 18 tahun.
Artikel Berkaitan: 15 Fakta Menarik Kes Johnny Depp VS Amber Heard, Yang Terakhir Tu Paling Win!
Artikel Berkaitan: Kate Moss Hadiri “Gig” Johnny Depp di Royal Albert Hall?
Kristin Cavallari dan Jay Cutler
Pada April 2020, bintang realiti dan usahawan terkenal, Kristin Cavallari dan suaminya, bekas pemain Liga American Football (NFL), Jay Cutler mengumumkan perancangan berpisah menerusi Instagram.
Penceraian mereka bertukar tegang apabila di dalam fail permohonan penceraiannya, Kristin menuduh bekas suaminya dengan dakwaan perlakuan tidak senonoh.
Tidak selesai di situ, Kristin turut mendakwa bekas suaminya itu menghalangnya membeli kediaman baharu sebagai cara menghukumnya.
Semuanya gara-gara wanita itu dikatakan tidak bersetuju dengan terma hak penjagaan tiga orang anak mereka.
Tom Cruise dan Katie Holmes
Seterusnya ialah pasangan terkenal Tom Cruise dan Katie Holmes. Mereka dilaporkan bercerai kerana Holmes tidak bersetuju anak mereka, Suri dibesarkan dengan anutan Scientology.
Bintang drama Dawson’s Creek itu dibesarkan dalam agama Katolik, namun mengubah agamanya selepas berkahwin dengan Tom Cruise pada 2005.
Pasangan itu berkahwin pada 2006 dan bercerai enam tahun selepas itu. Meskipun begitu, sehingga kini aktres itu tidak pernah mendedahkan punca sebenar perpisahannya bersama bekas suami.
Sumber: [1]