Home Lifestyle Amber Heard Menghidap 2 Jenis Kecelaruan Personaliti, Kata Pakar Psikologi

Amber Heard Menghidap 2 Jenis Kecelaruan Personaliti, Kata Pakar Psikologi

0

Seorang ahli psikologi menjadi saksi di mahkamah untuk perbicaraan kes saman fitnah antara selebriti Hollywood Johnny Depp dan bekas isterinya, Amber Heard. Dia memberi keterangan di mahkamah mengenai keadaan mental Amber Heard.

Shannon Curry, pakar psikologi klinikal dan forensik berkata Amber Heard menghidap dua jenis kecelaruan personaliti atau personality disorder iaitu borderline personality disorder dan histrionic personality disorder.

Kata Curry, antara ciri utama borderline personality disorder adalah ketidakstabilan seseorang itu yang boleh dilihat menerusi emosi, kelakuan dan perhubungan misalnya egois, konflik dalaman dan kemarahan yang tidak terkawal.

“Mereka boleh bertindak balas dengan ganas secara fizikal dan seringkali akan menganiaya pasangan mereka.” katanya.

Kecelaruan yang dialami oleh Heard ini didorong pula dengan rasa takut diabaikan. Jadi mereka ‘terdesak’ untuk melakukan pelbagai cara supaya tidak ditinggalkan seperti berkasar, mengugut atau mencederakan diri sendiri.

Kecelaruan seterusnya adalah histrionic personality disorder, ciri utamanya pula adalah kuat berdrama dan suka jadi perhatian. Apabila perhatian tidak memusat kepadanya, individu ini akan buat cerita yang kononnya dialah mangsa teraniaya.

“Kadang cerita-cerita itu hanya untuk membuatkan mereka kelihatan lebih menarik atau meraih perhatian dan sokongan.” katanya lagi.

Info tambahan: Apakah kecelaruan personaliti?

Memetik laporan Astro Awani, kecelaruan personaliti merupakan sejenis kecelaruan mental di mana seorang individu itu mempunyai corak pemikiran, imej diri, kefungsian dan tingkah laku yang tidak fleksibel.

Cara mereka melihat sesuatu keadaan itu berbeza dari individu normal.

Ini menyebabkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sehingga menimbulkan masalah dalam perhubungan, kehidupan sosial serta pekerjaan.

Ia lebih bersifat kekal dan tidak fleksibel sehingga menyebabkan tekanan ke atas individu tersebut.

Masalah yang sering timbul dalam tingkah laku kecelaruan personaliti biasanya melibatkan kegagalan mengawal diri sendiri dan menghadapi kesukaran untuk membina perhubungan yang rapat dengan orang lain.

Namun demikian, ada yang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai kecelaruan personaliti kerana mereka merasakan bahawa cara mereka berfikir serta bertindak adalah semula jadi bagi diri mereka.

Ini membuatkan mereka cenderung menyalahkan orang lain atas kesulitan atau cabaran yang dialami oleh diri mereka.

*Artikel ini sekadar info santai, bukan diagnosis kesihatan mental.

Sumber: [1],[2],[3]