Nampaknya makin menarik, drama Korea “Love Next Door” telah bersiaran untuk episod ke lapan pada hari Ahad lalu iaitu pada 8 September 2024.
Namun setelah episod terbaru drama tvN itu ditayangkan, para penonton sangat kecewa dan terperanjat kerana nasib watak utama wanita iaitu Bae Seok Ryu (Jung So Min) adalah serupa dengan Hong Hae In (Kim Ji Won) dalam “Queen of Tears”.
Siapa masih ingat kisah sedih Hong Hae In yang didiagnos menghidap penyakit berbahaya?
Petikan episod ke lapan memperlihatkan Seok Ryu yang tiba-tiba mengalami sakit perut yang teruk. Selepas itu, terungkaplah bahawa wanita cantik tersebut rupa-rupanya pernah menderita penyakit kanser perut semasa dia berada di Amerika Syarikat. Dia sudah menjalani pembedahan untuk membuang 70 peratus ketumbuhan dalam perutnya.
Nampaknya nasib Seok Ryu ini membuatkan ramai penonton sedih dan kecewa kerana tiba-tiba muncul penyakit yang mengancam nyawa yang mengarah kepada persamaan dengan kisah Queen Of Tears. Dalam “Queen Of Tears”, penyakit berbahaya Hae In ditambahkan ke dalam jalan cerita untuk menambah kesan emosi kepada pasangan utama.
Selepas episod ke lapan “Love Next Door” ditayangkan, ramai penonton yang tidak berpuas hati dan menyatakan hasrat mereka untuk berhenti menonton drama tersebut.
“Menambahkan sesuatu seperti penyakit ke dalam drama komedi romantik terasa seolah-olah sangat dipaksa untuk sebuah kejutan yang menjengkelkan” tulis seorang netizen.
“Saya benar-benar membencinya, ini episod yang sangat menyakitkan hati,” tambah yang lain.
“Kanser? dalam komedi romantik? Saya suka Jung Haein dan Jung Somin, tetapi jalan cerita makin sukar untuk ditonton. Jalan cerita apa begini?”, sahut netizen yang lain.
Nampaknya bilik sembang dalam forum di negara Korea makin rancak dengan rasa tidak puas hati para penonton setia drama itu.
Sementara itu, “Love Next Door” episod ketujuh pernah mengalami penurunan rating menjadi 4 peratus. Namun, drama yang juga dibintangi oleh Kim Ji Eun ini mengalami kenaikan rating untuk episod ke lapan dengan mencatat 6.5 peratus.
“Love Next Door” masih berbaki 8 episod lagi. Adakah anda akan terus menonton?