Pada zaman dahulu, harimau sangat ditakuti oleh rakyat Korea. Terlalu banyak harimau di gunung-gunung sehinggakan sekumpulan pemburu dihantar bagi memanah haiwan bengis itu.
Sekiranya anda menonton siri ‘Kingdom’, watak salah seorang orang kanan Putera Mahkota itu merupakan seorang Chakho, atau pahlawan pemburu harimau elit untuk raja Dinasti Joseon.
Apa Itu Chakho?
Chakho berasal daripada perkataan ‘Chakhogapsa’, merujuk kepada sekumpulan pemburu harimau profesional ketika era Joseon (1392-1910).
Dibentuk pada tahun 1421 oleh Raja Sejong, pada mulanya ia hanya dianggotai oleh 20 orang pemburu yang berani. Kemudian jumlahnya dilaporkan meningkat kepada 440 semasa pemerintahan Raja Seongjong pada 1469-1494.
Untuk jadi anggota Chakho, wajib lulus ujiannya yang payah dan skil memanah kena power. Mereka turut berdiri di sisi raja-raja Dinasti Joseon sebagai tentera semasa berperang.
Peranan Chakho
Peranan chakho penting kerana ramai orang diserang dan dibunuh oleh harimau pada zaman itu. Memetik Korea Times, Dinasti Joseon merekodkan harimau pernah muncul sebanyak 937 kali antara tahun 1392 dan 1863, mencederakan 3,989 orang.
Menurut penulis buku ‘The Jobs in Korean History’, Kerajaan Joseon menyekat orang ramai daripada pergi ke pergunungan dan menebang pokok pain kerana melihat populasi harimau yang banyak.
“Hutan yang jarang dikunjungi orang menjadi habitat yang sempurna untuk haiwan liar berkembang biak.” kata penulis buku tersebut.
Jadi, raja Joseon memilih beberapa pemburu yang paling berani dan mahir serta melatih mereka selama bertahun-tahun untuk memburu harimau.
Walaupun harimau telah lama dianggap sebagai haiwan suci bagi rakyat Joseon, kerajaan tidak boleh membiarkan kelompok belang itu terus mengancam nyawa rakyatnya.
Ganjaran Menanti
Pemburu menerima ganjaran berdasarkan saiz harimau dan cara mereka menyerangnya. Orang pertama yang menyerang harimau akan mendapat hadiah terbesar. Manakala orang yang mencederakan harimau pula diberi bulu harimau.
“Tetapi tiada apa yang lebih bernilai daripada nyawa seseorang. Kerana pemburu ini mempertaruhkan nyawa mereka demi melindungi negara dan rakyatnya.” tulis penulis buku itu lagi.
Walau bagaimanapun, pemburu yang terdiri daripada orang awam turut meningkat apabila harga bulu harimau naik harga.
Kemunculan golongan ini bukan sahaja mengurangkan populasi harimau liar, tetapi juga kepupusan chakho. Penangkapan terakhir harimau liar di Semenanjung Korea berlaku di Gunung Daedeok, Gyeongju, Wilayah Gyeongsang Utara pada tahun 1921.