Home Entertainment Babak Intim Dalam Drama ‘My Name’ Dibuat Tanpa Persetujuan, Agensi Jelaskan Hal...

Babak Intim Dalam Drama ‘My Name’ Dibuat Tanpa Persetujuan, Agensi Jelaskan Hal Sebenar

0

Heboh di laman sosial apabila pelakon Han So Hee menyatakan babak intim dalam drama terbarunya, My Name di siaran Netflix difahamkan tidak dipersetujui oleh aktres tersebut.

Memetik laporan mStar, dalam satu temu bual Han So Hee memberitahu babak intim bersama pelakon Ahn Bo Hyun dalam siri berkenaan hanya diketahui semasa penggambaran itu dilakukan.

“Saya tahu pasal adegan itu semasa penggambaran sedang berlangsung,”

“Pada mulanya, saya terfikir okay ke ni? Saya sangka ini mungkin nak alih perhatian keseluruhan cerita dan mungkin mengganggu Ji Woo (watak utama dalam My Name) untuk mencapai matlamatnya.

“Namun, selepas berbincang dengan penulis dan pengarah, saya anggap adegan itu untuk tunjukkan sisi manusia dalam karakter Ji Woo,” katanya dalam temu buat tersebut.

Sementara itu, syarikat pengurusan aktres tersebut iaitu 9ato Entertainment memberi penjelasan bahawa kenyataan tersebut telah menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

“Kami ingin menjelaskan salah faham berikutan komen Han So Hee dalam temu bual pada 20 October lalu yang memberi tanggapan penggambaran adegan intim siri My Name tidak dipersetujui Han So Hee.

“Komen So Hee telah mengundang salah faham kepada penonton dan kami ingin menjelaskan proses belakang tabir bagi menjernihkan situasi.

“Babak adegan itu telah dibincangkan semasa peringkat pre-production lagi dan mereka telah menjelaskan bahawa ada kemungkinan untuk merakamkan adegan di bilik untuk menunjukkan perubahan emosi Ji Woo (Han So Hee).

“Skrip masih belum lagi disiapkan kerana kami mengambil keputusan untuk meneruskan adegan tersebut bergantung kepada emosi watak semasa penggambaran.

“Kami kemudian berbincang bahawa adegan itu dapat menunjukkan sisi kemanusiaan Ji Woo dan berkait dengan emosi watak dalam babak-babak yang lain dan akhirnya dipersetujui oleh pelakon dan pihak produksi.

“Jadi ini menjelaskan komen Han So Hee membawa maksud keputusan muktamad adegan intim tersebut dilakukan semasa penggambaran selepas perbincangan yang teliti.” ujar kenyataan tersebut.

Agensi itu turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi yang menjejaskan tayangan drama berkenaan.

My Name mengisahkan seorang wanita bernama Yoo Ji Woo (Han So Hee) yang menyertai kumpulan penjenayah terancang dan diarahkan untuk menyamar sebagai anggota polis. Drama ini turut dibintangi Ahn Bo-Hyun, Lee Hak-Joo, dan Park Hee-Soon.