Pada 17 November, Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara selama setahun enam bulan kepada Han Seo Hee selepas bekas pelatih K-Pop kontroversi itu didakwa mahu melarikan diri.
Mahkamah berkongsi laporan tentang apa yang dikatakan oleh Han Seo Hee tentang keputusan ujian dadahnya yang positif.
“Cik Han menyatakan bahawa cawan kertasnya terjatuh di dalam tandas semasa ujian air kencingnya. Bagaimanapun, Perkhidmatan Forensik Negara mendapati tiada bukti menunjukkan sampel air kencingnya bercampur dengan sebarang kandungan dari tandas.”
“Kami menolak dakwaannya yang ujian air kencingnya bercampur dengan sampel orang lain. Hanya ada dua individu lain yang buat ujian pada masa yang sama dengan cik Han dan mereka berdua lelaki.” ujar pihak Mahkamah Daerah Suwon.
Menurut agensi berita Korea News1, Han Seo Hee menjerit dan memaki hamun hakim berikutan hukuman penjaranya.
Dilaporkan bekas pelatih K-Pop itu membentak, “F**k, seriously? Aku tak akan lari lah! Apa korang buat kat aku ni, hakim? Tak ada sebab nak masukkan aku ke dalam penjara!”
Hakim membalas dengan memberi penjelasan bahawa dia boleh membuat rayuan terhadap hukumannya sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
Namun Han terus-menerus mengutuk hakim dengan berkata, “WTF kau buat ni, hakim.” sambil diiringi keluar dari ruang mahkamah.
Selain itu, Han Seo Hee turut dilaporkan bikin kecoh di ruang menunggu di mana satu mahkamah boleh dengar suaranya dan turut membuat bising di dalam bas penjara.
Terdahulu, Han dihukum penjara tiga tahun dan empat tahun tempoh percubaan selepas mengaku ambil ganja. Tidak lama kemudian, dia disahkan positif dadah dan ditahan lagi.