Bella Hadid, antara nama yang paling dicari dalam dunia fesyen, berkata dia kesal kerana tidak berpeluang membesar dalam “budaya Islam” bersama bapanya Mohamed yang berasal dari Palestin, semasa wawancaranya dengan Majalah GQ.
Hadid menyatakan bahawa keluarganya “berpecah” apabila ibunya, Yolanda, membawanya ke California selepas bercerai dengan bapanya, sekaligus, memisahkannya daripada keluarga Palestin yang tinggal di D.C.
Model berusia 26 tahun itu berkata, “Saya ingin bersama bapa saya setiap hari dan hidup dalam budaya Islam, tetapi pilihan itu tidak diberikan kepada saya.”
Dia juga menyatakan bahawa dia terdedah kepada masalah perkauman dan dia pernah dibuli kerana dia sering menjadi satu-satunya gadis Arab di dalam kelasnya, sambil menyatakan bahawa situasi itu membuatkan dia berasa “sedih dan sunyi.”
Supermodel itu kini bersiap sedia untuk membuat penampilan sulung lakonannya dalam drama “Ramy” yang mengisahkan tentang seorang Muslim Amerika yang memulakan perjalanan rohani dalam “kejiranan New Jersey yang terbahagi kerana politik.”
Menurut Daily Mail, Hadid juga berkata bahawa persahabatannya dengan bintang drama ‘Ramy’, Youssef telah membantu dia berasa lebih selesa dalam mencari kepercayaannya.
Bella Hadid merupakan anak kedua kepada pemaju hartanah Palestin Mohamed Hadid dan model Belanda Yolanda Hadid, yang kemudian berpisah pada tahun 2000 selepas tujuh tahun berkahwin. Bella Hadid mempunyai kakak, yang juga seorang model iaitu Gigi Hadid, dan seorang adik lelaki yang bernama Anwar Hadid.
Sumber: [1]