Brendan Fraser merupakan Pelakon Lelaki Terbaik Oscar 2023 ternyata mempunyai kisah hidup yang tragis sepanjang bergelar anak seni: Jadi Mangsa Serangan Seksual dan Pernah Disenarai Hitam di Hollywood
Brendan Fraser kini sedang menjadi topik hangat di pelbagai laman web dan juga media sosial. Pelakon hebat ini baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Oscar 2023.
Matanya penuh dengan genangan air mata saat dirinya berdiri di atas pentas megah pada malam penganugerahan Oscar tahun ini. Dia tidak dapat menahan rasa bangga atas pencapaian besar yang dicapainya melalui wataknya dalam filem “The Whale” garapan pengarah terkenal Darren Aronofsky.
Perasaan sebak tidak menghalangnya untuk menyampaikan ucapan di hadapan para hadirin yang sebahagian besarnya adalah selebriti ternama. Para hadirin memberikan penghargaan kepadanya dengan memberikan standing ovation–dengan cara bertepuk tangan sambil berdiri.
Ternyata perjalanannya bagi meraih pencapaian tersebut tidaklah mudah kerana dia mempunyai kisah hidup yang cukup tragis dan menyedihkan. Jom kita susuri kisah hidup Brendan Fraser yang tidak banyak diketahui ramai, dan kisah ini dikutip daripada pelbagai sumber.
Baca Lagi: 7 Anugerah Oscar Milik Everything Everywhere All at Once
Karier Terancam
Dipetik daripada portal The Things, Brendan Fraser memang merupakan seorang bintang Hollywood yang sangat terkenal pada era 90-an hingga awal tahun 2000. Dia tunjukkan karisma dan kemampuan lakonan dalam pelbagai filem seperti The Mummy, Blast From the Past, Encino Man, dan juga Gods and Monsters.
Malang tidak berbau buatnya apabila kegemilangannya tidak bertahan lama, kariernya dalam filem kian terancam. Pada saat kejatuhannya, Brendan hanya tampil dalam beberapa filem yang gagal bersaing di pasaran.
Bukan itu sahaja, wataknya dalam filem sekuel George of The Jungle dan The Mummy digantikan dengan pelakon lain. Pada tahun 2013, Brendan Fraser pernah bintangi filem Gimme Shelter sebelum hilang buat seketika dari dunia Hollywood.
Menjadi Mangsa Serangan Seksual oleh Orang Kuat Hollywood
Ramai peminat tertanya-tanya tentang alasan disebalik kehilangan Brendan Fraser dari Hollywood. Beberapa tahun selepas menyepikan diri, akhirnya perkara sebenar terbongkar bahawa pelakon tersebut mengalami trauma akibat serangan seksual yang dilakukan oleh Phillip Berk iaitu Ketua Hollywood Foreign Press Association (HFPA).
Sewaktu pelakon yang kini berusia 54 tahun ini cuba untuk menceritakan tentang kejadian malang yang menimpanya kepada publik dan media, dia terus mendapat ancaman. Brendan Fraser tidak mampu melawan kuasa dan pengaruh yang dimiliki oleh Phillip Berk, Brendan Fraser akhirnya telah disenarai hitam daripada Hollywood.
Tetap Semangat Berkarya
Seringkali diperkatakan bahawa kesedihan yang paling mendalam adalah perasaan kehilangan orang yang paling disayangi. Begitulah yang dirasakan oleh Brendan Fraser sewaktu berlaku krisi penceraian antara dirinya dan isterinya. Pada tahun 2009 mereka berdua rasmi bercerai dan berpisah. Bukan hanya kehilangan isteri, dia juga menanggung derita akibat kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada saat hidupnya sedang musnah dan kariernya hampir hancur.
Brendan Fraser menempuhi sebuah kehidupan yang penuh liku, tetapi semua perkara yang terjadi dalam hidupnya telah menguatkan Brendan Fraser dan dia tetap berdiri tegak dan berusaha memberikan yang terbaik untuk menghibur masyarakat melalui lakonannya.
Kejayaan dan kemenangan Brendan Fraser sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam acara Oscar tahun ini menjadi sangat bererti buat pelakon serba boleh itu. Semoga selepas ini Brendan Fraser mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem-filem yang lebih bagus dan sekaligus dapat menghiburkan para peminat filem dari seluruh dunia.
Baca Juga: Deepika Padukone Tampil Memukau di Oscar 2023