Jennie BLACKPINK akhirnya berjaya muncul untuk debut di Hollywood. Penyanyi rap kumpulan BLACKPINK itu dipilih untuk membintangi sebuah siri HBO yang bertajuk The Idol. Siri ini juga akan dibintangi oleh artis-artis terkenal dan ternama Hollywood seperti penyanyi The Weeknd, Troye Sivan, anak kepada Johnny Depp iaitu Lily Rose Depp dan ramai lagi.
Siri tersebut menceritakan tentang bintang pop di Hollywood yang terperangkap dan terjerat dengan pelbagai skandal sepanjang perjalanan karier untuk mendaki ke puncak populariti. HBO telah melepaskan sebuah klip pendek (teaser) siri ini pada 17 July 2022. Kelihatannya siri HBO terbaru ini bakal mengenengahkan tentang penyalahgunaan dadah, seks bebas dan juga ketamakan.
Siri HBO yang akan datang ini bakal menampilkan BLACKPINK Jennie yang tidak membawa watak idola wanita sepenuhnya, sayang sekali watak dan peranannya seolah-olah telah terkeluar dari landasan sepenuhnya.
Sebelum ini para peminat sangat teruja dan seronok mendengar tentang penampilan BLACKPINK Jennie dalam siri HBO The Idol yang merupakan produksi bintang pop terkenal iaitu The Weeknd.
Namun, ada desas-desus mengatakan bahawa karakter Jennie sekarang hanyalah seperti hampir tiada waktu tayang (on screen) dan wataknya seolah-olah tidak penting. Selain itu, Jennie dikhabarkan hanya mempunyai 3 hingga 4 baris dialog sahaja untuk satu episod.
Menurut sumber Rolling Stone, terdapat orang dalam produksi yang membocorkan tentang peranaan Jennie, “mereka tidak memberinya skrip yang banyak. Tugasnya adalah duduk di sana dan perlu kelihatan cantik, pada dasarnya.”
Perkara yang lebih mengejutkan adalah siri HBO ini seperti sebuah “mimpi buruk” apabila jalan cerita ini telah bertukar menjadi “liar dan menjijikkan dan tersasar dari landasan cerita kerana olahan pengarahan.
Menurut petikan artikel dari portal Rolling Stone, dinyatakan bahawa pengarah Levinson telah memotong kebanyakan adegan asal siri tersebut dan membuat siri “The Idol” menyerupai sebuah siri “porno penyeksaan seksual” yang menceritakan tentang kisah seorang jejaka yang boleh memperlakukan wanita sesuka hatinya.
The Idol yang kini diarahkan oleh Sam Levinson dan The Weeknd berkisar mengenai seorang superstar pop Jocelyn (Lily-Rose Depp) yang perlu menempuh pelbagai halangan untuk menjadi seorang bintang dan pada masa yang sama menyiasat sebuah kes misteri.
Terdapat seorang pemilik misteri sebuah kelab malam popular di LA yang secara diam-diam menjalankan aktiviti ajaran sesat. Siri HBO itu dimaklumkan telah terpesong jauh dari idea asalnya selepas pengarah asal iaitu Amy Seimetz menarik diri dari projek tersebut setelah menyelesaikan hampir 80 peratus proses penggambaran.