Kebelakangan ini industri hiburan Korea sedang panas dan heboh dengan kontroversi yang menyelubungi Free Zia (Song Ji Ah), seorang YouTuber kecantikan. Dia sering berkongsi tentang kehidupan mewahnya di YouTube.
Popularitinya semakin meroket naik selepas muncul dalam program realiti TV Netflix hit, ‘Single’s Inferno’. Menerusi rancangan itu juga, Free Zia merupakan antara peserta paling menonjol dan menarik perhatian ramai dengan visual glamornya yang dihiasi barangan berjenama mewah seperti Chanel.
Apabila popular, antara realitinya adalah bye-bye privasi kerana orang akan sibuk nak tahu semua benda–mula cari, gali, siasat latar belakang dan masa silam seseorang individu tersebut, malah contohnya pakai baju logo senget pun mata helang netizen boleh teropong.
Begitulah yang terjadi kepada Free Zia setelah netizen syak dia memakai barangan Chanel palsu dalam rancangan TV itu kerana mereka mendapati baju Chanel yang dipakainya agak berbeza daripada yang dipakai oleh Jennie BLACKPINK.
Lantas netizen terus menggunakan skil detektif mereka untuk menggali akaun media sosial dan YouTube Free Zia. Kemudian detektif netizen ini mengumpul bukti hampir kesemua barangan yang ditayangkan itu merupakan produk tiruan. Akhirnya tersebar maklumat tersebut ke pelbagai platform komuniti dalam talian Korea seperti Nate, Pann dan Theqoo.
Lee Jin Ho, bekas wartawan hiburan yang kini jadi YouTuber memberi penerangan mengapa netizen marah berapi dengan drama item palsu yang melingkari Free Zia.
Menerusi videonya, Jin Ho menjelaskan bahawa bukan sahaja kerana Free Zia pakai barangan palsu, tetapi juga kerana netizen berasa tertipu dengan imej kaya yang dilukis oleh gadis tersebut.
Kemudian Jin Ho menemu bual seorang pendandan atau stylist yang berkecimpung selama sedekad dalam industri hiburan. Menurutnya, biasanya orang tidak menunjuk barangan berjenama mewah di TV melainkan ditaja.
Memakai produk tiruan dilarang keras dan memang jadi isu serius jika pemakainya masuk TV. Stylist itu turut menjelaskan memang terdapat pelbagai barangan tiruan di pasaran, selalunya yang ‘kelas-S’ atau ‘kelas-A’ hampir mustahil dapat dibezakan dengan mata kasar dan perlu ditempah khas oleh pembeli.
Lee Jin Ho berpendapat barangan yang menyaluti Free Zia bukan tahap ‘kelas-S’ atau ‘kelas-A’ tetapi item yang tak masuk kelas atau dibuang sekolah terus kerana pembuatannya dikatakan lemah dan ketara palsunya.
Selepas dakwaannya memakai barangan palsu itu dikongsi dalam talian dan menjadi tular, Ji Ah secara peribadi menangani isu itu di akaun Instagram peribadinya dengan memuat naik kenyataan permohonan maaf bertulis tangan, mengakui sebahagian dakwaan itu betul dan dia menyesal.
https://www.instagram.com/p/CY08pG8lJ1h/
Saya ingin memohon maaf sekali lagi kerana melanggar ciptaan pereka dan mengabaikan hak cipta. Sebagai seseorang yang bercita-cita nak melancarkan jenama sendiri, sepatutnya saya sedar dan fikir yang perkara itu salah. Pada masa hadapan, saya akan lebih berhati-hati dan mengkaji dengan lebih teliti agar perkara ini tidak berulang.
— Song Ji Ah @ Free Zia
Walaupun sudah membuat permohonan maaf, nampaknya topik itu masih belum surut dan menjadi tumpuan media Korea.
Media Korea melaporkan kemungkinan populariti yang semakin meningkat membuatkan tekanan juga sama naik untuk membuat content baru.
Tambahan pula, jarang pereka dan pihak barangan berjenama mahu bekerjasama atau menaja dengan influencer biasa-biasa. Sukar mendapat tajaan dan tidak mampu beli sendiri mungkin menyumbang kepada punca Ji Ah berusaha keras untuk mengekalkan imejnya yang bling-bling.
Sumber: AllKpop (1), (2), Koreaboo