Drama Buried Hearts telah mula bersiaran secara rasmi pada 21 Februari lalu.
Dua episod pertamanya berjaya mencatatkan rating yang memuaskan, iaitu 6.1% untuk episod pertama dan 8.1% untuk episod kedua. Antara pelakon utama dalam drama ini termasuklah Park Hyung Sik, Heo Joon Ho, Lee Hae Young, dan Hong Hwa Yeon.
Dalam sidang media sempena tayangan perdana, para pelakon utama berkongsi pelbagai kisah menarik di sebalik tabir tentang watak serta pengalaman mereka dalam drama ini. Nak tahu lebih lanjut? Jom kita terokai butirannya!
1. Watak Berbeza Yang Belum Pernah Ditampilkan Oleh Park Hyung Sik
Dalam drama ini, Park Hyung Sik membuat kemunculan semula dengan membawakan watak Seo Dong Ju, ketua pasukan kerjasama luar di ibu pejabat Daesan Group. Dia digelar sebagai Daesan Man, seorang yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi syarikat.
Namun, realitinya, dia adalah seorang lelaki yang penuh cita-cita serta memiliki rancangan rahsia untuk menguasai keseluruhan Daesan Group apabila tiba masanya. Ini merupakan kali pertama Park Hyung Sik membawa watak serius dan berani, berbeza daripada karakter yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
Dalam sidang media Buried Hearts, Park Hyung Sik menyatakan bahawa penyertaannya dalam drama ini bertujuan untuk menunjukkan sisi dirinya yang belum pernah ditampilkan sebelum ini. Sebelum ini, dia lebih dikenali menerusi drama komedi romantik dengan lakonan yang lebih santai, humoris, dan positif.
2. Menurut Heo Joon Ho, Ini Adalah Watak Paling Jahat Yang Pernah Dilakonkannya
Heo Joon Ho sekali lagi mempamerkan karismanya dengan membawakan watak Yeom Jang Seon dalam Buried Hearts. Karakternya adalah seorang profesor ternama di fakulti undang-undang yang kelihatan intelektual dan dihormati, namun sebenarnya seorang yang penuh dengan keangkuhan.
Watak ini juga digambarkan sebagai power broker yang menguasai aspek kewangan dan kuasa secara rahsia. Dia sanggup menjatuhkan orang lain demi mengekalkan kekuasaannya.
Heo Joon Ho sememangnya sudah biasa membawakan watak antagonis, antaranya dalam drama Why Her? (2022) dan Come and Hug Me (2018).
Namun, untuk peranannya kali ini, pelakon veteran itu mengakui bahawa Yeom Jang Seon adalah karakter paling kejam yang pernah dilakonkannya. Malah, dia sendiri tertanya-tanya tentang bagaimana manusia seperti ini boleh wujud! Dia turut berkongsi bahawa dia perlu memberikan sepenuh tumpuan bagi memahami dan menghayati watak tersebut dengan lebih mendalam.
3. Heo Joon Ho Menghabiskan Lebih Sejam Bersama Pasukan Solekan Sebelum Setiap Penggambaran
Bagi menjayakan watak Yeom Jang Seon, Heo Joon Ho bukan sahaja perlu menjiwai skrip dengan penuh penghayatan, tetapi juga menjalani transformasi fizikal. Antaranya, dia perlu mewarnakan dan memotong rambutnya mengikut gambaran watak seorang lelaki berambut putih berusia hampir 70 tahun.
Dia turut mendedahkan bahawa setiap hari sebelum penggambaran bermula, dia dan pasukan solekan mengambil masa lebih dari satu jam untuk menyiapkan penampilannya. Sungguh berdedikasi!
4. Hong Hwa Yeon Berjaya Mengalahkan 100 Calon Lain Untuk Mendapatkan Peranan Ini
Hong Hwa Yeon merupakan seorang pelakon baharu yang memulakan kerjayanya pada tahun 2022. Buried Hearts menjadi peluang pertamanya untuk memegang watak utama wanita di samping Park Hyung Sik.
Dia membawakan watak Yeo Eun Nam, seorang wanita yang menjalinkan hubungan romantik dengan Seo Dong Ju (Park Hyung Sik). Namun, dia sebenarnya menyembunyikan identitinya sebagai cucu kepada pengerusi Daesan Group. Dalam episod kedua, dia membuat keputusan mengejutkan dengan mengkhianati Seo Dong Ju dan berkahwin dengan lelaki lain.
Menariknya, Hong Hwa Yeon terpaksa melalui proses uji bakat yang sangat mencabar untuk mendapatkan watak ini. Dia berjaya terpilih selepas menewaskan lebih 100 calon lain!
Dalam sidang media, dia menzahirkan rasa syukur kepada pengarah dan menganggap dirinya bertuah dapat bekerja bersama barisan pelakon hebat serta berbakat besar.
Sementara itu, Buried Hearts kini mengisi slot drama yang sebelum ini ditempati oleh Love Scout. Buried Hearts ini disiarkan setiap hari Jumaat dan Sabtu serta boleh ditonton menerusi platform Disney+ Hotstar. Dah tonton ke belum?