Baru-baru ini kehadiran Yoon Seok Yeol, calon Presiden Korea Selatan sebagai tetamu undangan rancangan temu bual popular, ‘You Quiz on the Block’ menjadi berita panas dan hangat diperkatakan oleh netizen Korea.
Kemunculan ahli politik dalam program TV tersebut mengundang kecaman ramai kerana sesetengahnya berpendapat politik tidak patut bercampur dengan rancangan hiburan.
Mengikut beberapa sumber, dua orang hos iaitu Yoo Jae Suk dan Jo Se Ho yang mengendalikan rancangan tersebut dilaporkan tidak tahu-menahu perihal calon presiden itu jadi tetamu jemputan sehinggalah hari rakaman. Sebahagian besar staf dan kru penggambaran juga tidak sedar tentang hal itu, merancakkan lagi kontroversi tersebut.
Dalam siaran ‘You Quiz on the Block’ baru-baru ini, Yoo Jae Suk tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kedatangan calon presiden.
“Sebenarnya, ini situasi yang janggal. Saya rasa keliru. Mood di sini sangat tidak menyenangkan, semua orang serius sahaja.” kata pengacara tersohor Korea itu.
Di samping itu, kedua-dua hos Yoo Jae Suk dan Jo Se Ho kelihatan jarang senyum, reaksi mereka kaku, gurauan dan ketawa pun hambar.
Selepas disiarkan kepada umum, #RiakMukaYooJaeSuk mula trending di Korea Selatan. Tanpa mengira perbezaan fahaman politik, rata-rata netizen bersetuju yang ekspresi muka Jae Suk amat ketara kecewanya. Mereka komen:
“Saya tak pernah nampak Jae Suk dengan muka ketat, tak selesa macam tu.”
“Bila MC paling berpengalaman pun tak dapat kawal air mukanya, itu dah cukup menunjukkan betapa teruknya situasi tersebut.”
“Walau apa pun sebabnya, kenyataan yang pengacara dan kru produksi tidak dimaklumkan tentang situasi itu terlebih dahulu adalah sangat biadab dan bermasalah.”
“Jarang sungguh nampak Jae Suk dengan ekspresi macam tu.”
“Jae Suk memang nampak betul-betul marah kali ini.”