Home Movie Barat Empat Adaptasi Filem Seram Stephen King di Netflix yang Mendebarkan

Empat Adaptasi Filem Seram Stephen King di Netflix yang Mendebarkan

0

Dikenali sebagai maestro dalam genre seram psikologi dan ngeri, Stephen King merupakan antara penulis paling prolifik dan berpengaruh di dunia.

Sejak menerbitkan cerpen pertamanya pada tahun 1967, beliau telah menghasilkan hampir seratus buah novel dan novella, yang merangkumi tema-tema seperti kedukaan, ketakutan, dan ketabahan manusia dalam berdepan dengan trauma dan cabaran luar biasa.

Buat anda yang sudah lama mengagumi karya-karya Stephen King ataupun baru ingin mengenali dunia penulis legenda ini, berikut adalah empat adaptasi filem yang boleh anda tonton di Netflix, setiap satunya menjanjikan debaran yang mendalam dan tidak mudah dilupakan:

 

1. Gerald’s Game – Terperangkap Dalam Ketakutan Sendiri

Stephen King

Gerald (Bruce Greenwood) dan Jessie Burlingame (Carla Gugino) sedang berusaha menyelamatkan perkahwinan mereka yang semakin hambar. Mereka memilih untuk bercuti di rumah persinggahan demi menyemarakkan semula hubungan, dengan Gerald membawa borgol sebagai percubaan meningkatkan keintiman.

Namun, ketika Jessie mula rasa tidak selesa dan mahu berhenti, Gerald enggan melepaskannya. Segalanya berubah apabila Gerald tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri — meninggalkan Jessie terborgol di katil, sendirian tanpa makanan, minuman, atau sebarang cara untuk mendapatkan bantuan.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila bayangan dan suara misteri mula menghantui Jessie. Terperangkap antara mimpi ngeri dan realiti, Jessie harus melawan ketakutan terdalamnya untuk terus hidup.

 

2. Mr. Harrigan’s Phone – Pesanan dari Alam Lain

Filem

Kisah ini mengisahkan Craig (Jaeden Martell), seorang remaja yang tinggal di bandar kecil di Maine. Suatu hari, selepas mendengar Craig membaca kitab semasa upacara gereja, seorang lelaki tua kaya, John Harrigan (Donald Sutherland), mengupahnya untuk membacakan novel di rumah mewahnya tiga kali seminggu.

Hubungan mereka semakin akrab. Pada suatu hari, Craig menghadiahkan iPhone kepada Harrigan menggunakan wang yang diberi lelaki itu sebagai hadiah. Namun, setelah Harrigan meninggal dunia, Craig menyimpan telefon itu bersama jenazahnya semasa pengebumian.

Beberapa hari kemudian, Craig mula menerima balasan mesej daripada nombor Harrigan, dan kejadian aneh mula berlaku—termasuk dendam-dendam yang Craig simpan, kini mulai terlaksana. Apakah mesej itu benar-benar datang dari Harrigan… atau sesuatu yang lebih gelap?

Baca juga: 7 Filem Seram Kegemaran Stephen King, Penulis Novel Supernatural yang Terkenal

3. 1922 – Dosa yang Tidak Dapat Dikuburkan

da8e02f5 4150 41bc 9100 c92e50653037

Berlatar di Nebraska pada tahun 1922, kisah ini mengikuti Wilfred James (Thomas Jane), seorang petani yang nekad membunuh isterinya, Arlette (Molly Parker), kerana tidak mahu menjual tanah pusaka yang diwarisi isterinya dan berpindah ke bandar.

Lebih tragis, Wilfred memanipulasi anak mereka, Henry (14 tahun), untuk turut serta dalam rancangan jahat itu. Selepas jenayah dilakukan, mereka berjaya menutup kes itu daripada pengetahuan orang kampung.

Namun, segala-galanya mula merosot. Hubungan Wilfred dan Henry renggang, dan Henry pula mula bercinta dengan gadis jiran. Kesan psikologi daripada pembunuhan itu mula menghantui mereka, bukan sahaja dari luar, malah dari dalam diri sendiri.

1922 adalah sebuah kisah tentang penyesalan, keruntuhan moral, dan bayaran yang harus ditanggung apabila seseorang memilih jalan kejahatan.

 

4. In the Tall Grass – Tersesat Dalam Rerumput Kematian

bd3de66f 269c 4e5f 8dfe 9c6a1baa49db

Becky (Laysla De Oliveira) yang sedang hamil dan abangnya Cal (Avery Whitted) dalam perjalanan merentasi Amerika menuju San Diego. Ketika berhenti di kawasan ladang di Kansas, mereka terdengar suara seorang budak lelaki meminta tolong dari dalam ladang rumput tinggi.

Tanpa teragak-agak, mereka masuk untuk membantu dan tidak pernah menemui jalan keluar.

Rumput tinggi itu bukan biasa-biasa. Mereka terpisah, waktu dan arah menjadi tidak menentu, dan suara mereka saling menjauh. Mereka menemui budak lelaki bernama Tobin, serta bapanya Ross (Patrick Wilson), yang kelihatan seolah-olah telah lama terperangkap, malah terpesona oleh sebuah batu misteri di tengah ladang.

Apa yang sebenarnya berlaku di ladang itu? Dan adakah mereka benar-benar akan menemui jalan keluar atau tersesat selama-lamanya?

Adaptasi karya Stephen King tidak pernah mengecewakan, naskhah-naskhah ini bukan sahaja mencengkam dari segi cerita, malah memaksa penonton menyelami sisi gelap emosi manusia. Jadi, jika anda bersedia untuk malam yang penuh debaran, Netflix kini menjadi pintu masuk anda ke dunia ngeri hasil minda penulis legenda ini. Selamat menonton dan jangan lupa tutup langsir.

Baca lagi: 7 Filem Seram Kegemaran Stephen King, Penulis Novel Supernatural yang Terkenal
Baca juga: 7 Filem Seberang Bertema Keagamaan yang Menyentuh Jiwa