Filem India Netflix terbaru yang baharu sahaja disiarkan di Netflix pada 13 September, “Sector 36” adalah diilhamkan daripada kisah benar berdasarkan kes pembunuhan Nithari di Noida, Uttar Pradesh.
Berikut adalah semua yang anda perlu tahu tentang kes tersebut sebelum mula menonton filem ”Sector 36” ini. Menurut laporan, pembunuhan kanak-kanak dan wanita dari kampung Nithari mendapat perhatian umum dan mencipta gambaran menakutkan pada Disember 2006.
Nama orang yang disebut dalam filem ini telah ditukar untuk melindungi identiti sebenar pelaku. “Sector 36”, diarahkan oleh Aditya Nimbalkar dan ditulis oleh Bodhayan Roychaudhury dan dibintangi Vikrant Massey sebagai watak utama dan Deepak Dobriyal memainkan watak Inspektor Ram Charan Pandey.
Apakah kes pembunuhan Nithari?
Jenayah kejam ini berlalu di kampung Nithari yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar Noida, di Uttar Pradesh kira-kira 20km dari Delhi.
Tetapi apa yang mengejutkan dalam kes ini ialah, apa yang mengambil masa yang begitu lama untuk memberikan keadilan kepada keluarga yang anak-anak serta beberapa wanita yang hilang secara misteri?
Tidakkah tangisan keluarga ini sampai ke telinga polis atau hanya diabaikan kerana mereka ini datang dari keluarga buruh migran yang miskin. Kehilangan wanita muda dan kanak-kanak menghantui keluarga Nithari selama hampir dua tahun dari 2005 hingga 2006.
Menurut laporan yang diterbitkan dalam Lifestyle Asia, yang menyatakan bahawa Jhabbu Lal dan Pappu Lal, dua penduduk Nithari, menemui mayat manusia berhampiran tangki air di belakang sebuah rumah. Mereka mendakwa mayat adalah kanak-kanak yang hilang secara misteri dari kampung.
Nampaknya, ramai penduduk Nithari telah melaporkan kehilangan anak mereka berkali-kali lebih awal tetapi tidak diendahkan oleh pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan.
Apabila aduan mereka tidak didengari, mereka mendekati SC Mishra, bekas presiden Persatuan Kebajikan Penduduk (RWA). Dengan bantuannya, mereka menemui tangan yang reput dan kemudian hanya siasatan akhir dimulakan, dan operasi pencarian besar-besaran bermula.
Sebilangan besar bahagian badan telah diambil dari dalam dan sekitar kampung Nithari. Kes itu membabitkan dakwaan merogol, membunuh, menculik dan memotong anggota badan terutamanya kanak-kanak dan wanita.
Ia adalah salah satu kes pembunuhan paling kejam dan kanibalisme. Mereka yang terlibat ialah Moninder Singh Pandher, seorang ahli perniagaan kaya dan hambanya Surinder Koli. Polis menahan dia dan hambanya Surinder Koli.
Semasa soal siasat, Koli mengaku seperti yang ditunjukkan dalam filem Netflix Sector 36. Bahawa dia memberikan butiran bagaimana dia membunuh wanita dan kanak-kanak, dan juga memakan daging mereka. Koli mengaku melakukan jenayahnya dan menerangkan secara terperinci bagaimana dia melakukan jenayah itu.
Dia juga menyebut bahawa dia suka makan badan manusia terutamanya wanita muda. Pandher adalah seorang kaki perempuan dan pedofil, dan jenayah kejam ini pula berlaku di rumahnya.
Menurut laporan yang diterbitkan dalam Lifestyle Asia yang menyatakan bahawa pada 12 Februari 2009, Moninder Singh Pandher dan Surinder Koli telah disabitkan dengan kesalahan membunuh Rimpa Haldar pada 2005 oleh mahkamah Ghaziabad.
Kedua-duanya menerima hukuman mati pada 13 Februari 2009, dalam kes yang dianggap “rarest of rare.” Koli kemudiannya dijatuhi hukuman mati kerana beberapa pembunuhan lain. Walaubagaimanapun, sabitan Pandher telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Allahabad pada 10 September 2009.
Mahkamah Agung India mengekalkan hukuman mati Koli pada Februari 2011, tetapi ia kemudian ditukar kepada penjara seumur hidup kerana kelewatan dalam petisyen belas kasihannya. Koli dijatuhi hukuman mati sekali lagi dalam sabitan berikutnya, dengan yang terbaru pada 2019.
Laporan Hindu menyatakan, “Pembunuhan Nithari tidak lain merupakan pengkhianatan terhadap kepercayaan orang ramai.” Malangnya, pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Allahabad membebaskan Moninder Singh Pandher dan Surinder Koli daripada semua pertuduhan berkaitan pembunuhan bersiri itu, 17 tahun selepas jenayah itu terbongkar.
Kembali kepada filem Netflix “Sektor 36”
Filem thriller jenayah ”Sector 36” ini diilhamkan berdasarkan pembunuhan bersiri Nithari 2006 yang terkenal di Delhi, filem ini menyelidiki butiran mengerikan kes yang pernah menggemparkan India ketika itu.
Walaupun jalan cerita “Sector 36” berlangsung agak perlahan dan aksi thriller itu tidak menyengat, namun plot ditampilkan dalam “Sektor 36” sangatlah menarik! Kisahnya mampu mengheret kita sama ke dalam dunianya yang gelap dan meresahkan.
Bermula dengan watak Prem (Vikrant Massey) seorang lelaki misteri yang menduduki sebuah Villa besar di bandar kecil, Sector 36. Ternyata gambaran awal yang menunjukkan seolah Prem adalah seorang ahli perniagaan berjaya, dengan menyara isteri dan anak di kampung, hanyalah dusta semata-mata!
Rupanya, Prem memiliki identiti dan sisi gelap lain penuh kengerian yang dia simpan di dalam Villa itu. Kebenaran yang mengerikan terus didedahkan, dengan visual berdarah yang boleh membuatkan kita merasa tidak selesa namun tidak juga dapat mengalihkan pandangan.
Kemudian kita dibawa kepada Deepak Dobriyal sebagai Inspektor Ram Charan Pandey. Sama seperti apa yang diberitakan apabila banyak kes kehilangan wanita dan kanak-kanak dilaporkan oleh keluarga mangsa, Inspector Ram acuh tak acuh melayan aduan keluarga mangsa.
Hinggalah pada satu malam, anak perempuannya (mungkin dalam lingkungan usia 10 tahun), hampir diculik oleh Prem dan rakan sejenayahnya yang bekerja di hospital.
Seolah “karma”, kejadian itu benar-benar menyentap hati dan jiwanya kerana ia telah benar-benar berlaku di depan matanya sendiri. Dia terus teringat semula keluarga mangsa yang kehilangan anak-anak mereka. Akhirnya, dia bertekad untuk menyelidik dan mencari pelaku ke atas semua jenayah yang dilaporkan sebelumnya.
Namun, ia tidak mudah kerana cabaran di hadapan Inspector Ram penuh liku-liku dan tipu daya apabila kes ini telah melibatkan orang kenamaan yang berpengaruh. Nyawanya juga terancam!
Anda ingin tahu bagaimana kisah selanjutnya? Boleh tonton dan strim “Sector 36” di Netflix, lengkap dengan sarikata BM.
Pada pendapat peribadi, sorotan utama filem “Sector 36” ini adalah bagaimana Inspector Ram harus berdepan cabaran ketika menyelidiki kes tersebut. Kemudian peranan Prem sebagai pembunuh bersiri kejam tidak berhati perut, dengan menjadikan daging mangsa-mangsanya sebagai makanan adalah agak menganggu.
Penceritaannya “Sector 36”’ditulis dengan baik memandangkan ia diambil dari kes jenayah sebenar, mampu membuatkan kita terus terlibat dalam kes yang diselidik
Jika anda menyukai filem yang diambil dari kejadian jenayah sebenar, dengan kejutan yang tidak dijangka (rasanya ia ditokok tambah bagi menambah rasa trauma dan kesan dramatik), filem thriller jenayah “Sector 36” ini boleh dijadikan pilihan tontonan anda di hujung minggu ini.
🔞Tidak sesuai ditonton bersama anak-anak dibawah umur kerana ia mengandungi gambaran grafik penderaan s€ksval kanak-kanak dan melibatkan pembunuhan yang kejam.
Kerana kurangnya sensasi thriller (memandangkan ia adalah genre thriller), min beri 7/10 kerana jalan ceritanya menarik.