Nampaknya perang online antara netizen Korea dan China masih belum tamat dan aman.
Sebelum ini, selebriti seperti RM BTS, Park Shin Hye dan Hyoyeon SNSD dikecam netizen dari China kerana mengulas isu berkaitan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, China secara halus atau terang-terangan.
Baca lagi: Kerana Hanbok, Ruangan Komen Park Shin Hye Diserang Netizen China
Sebuah kelab peminat Yoo Jae Suk di China telah memutuskan untuk tutup buat selama-lamanya. Ramai membuat spekulasi penutupan tersebut disebabkan oleh komen Jae Suk mengenai kontroversi Sukan Olimpik itu dalam rancangan ‘Hangout with Yoo’.
Menerusi rancangan itu, para bintang ‘Hangout with Yoo’ mengemukakan pendapat masing-masing tentang insiden peluncur ais Korea Selatan, Hwang Dae Heon dan Lee Jun Seo yang kedua-duanya hilang kelayakan pada separuh akhir perlumbaan 1000 meter.
Lantaran itu, peluncur China iaitu Ren Ziwei dan Li Wenlong yang memperoleh pingat emas dan perak dalam perlumbaan itu.
Mengenai insiden tersebut, Shin Bong Sun pun komen, “Pada mulanya saya sangat marah.”
“Saya tak dapat kawal kemarahan saya pada hari itu. Marah sangat ni. Tetapi beberapa hari kemudian, Hwang Dae Heon pula memenangi pingat emas, meremang bulu roma saya.” balas Jae Suk.
Sehari selepas siaran ‘Hangout With Yoo’ iaitu pada 20 Februari, kelab peminat ‘Yoo Jae Suk Yooniverse’di China mengumumkan bahawa kelab itu akan ditutup buat selama-lamanya.
Pengumuman kelab itu berbunyi “Sesiapa yang tengah melalui masa sukar akan bersama kami. Tiada kata yang dapat membuatkan kamu bertenang sekarang ini, namun jangan sesekali menyesal kerana pernah menyokong dia (Jae Suk) dan keseronokan yang pernah kita alami.”
Netizen China beramai-ramai mengkritik Jae Suk kerana komennya itu dan mendakwa bahawa keputusan pengadil dalam Sukan Olimpik adalah adil dan tidak berat sebelah.
Sumber: Allkpop