Anggota kumpulan APINK, Eun-ji mendedahkan kerjayanya sebagai penyanyi pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada keluarga.
Pendedahan tersebut dibuat secara langsung menerusi program terbitan SBS, My Little Old Boy baru-baru ini sempena debut tahun kesebelas bersama kumpulan itu tidak lama lagi.
Ditanya, bilakah dia mula menyedari bakat seninya dalam nyanyian, Eun-ji ada cerita sendiri.
“Dahulu saya sering ke pusat karaoke dengan ibu bapa pada hujung minggu. Mereka memang suka menyanyi, jadi saya mewarisi minat itu daripada mereka.”
“Bila saya kata nak jadi penyanyi, mereka berdua menentang habis-habisan kerana tidak suka saya hambakan diri dalam bidang nyanyian sebagai sumber pendapatan,” katanya.
Eun-ji juga menambah, walaupun ditentang, dia tetap dengan impiannya untuk menjadi penyanyi dan meyakinkan kedua-dua ibu bapanya dengan cara tersendiri.
“Untuk meyakinkan mereka berdua, saya menulis perancangan hidup di atas kertas dan menerangkan satu persatu matlamat dan kemahuan saya kepada mereka,” katanya
Sumber: Kosmo