Ramai yang masih tidak tahu kebaikan kopi ini, dan ada juga yang berdebat sehingga ke hari ini sama ada kopi itu menyihatkan atau memudaratkan. Ini fakta mengenai kopi yang mungkin orang ramai belum tahu.
1. Kandungan Kopi
Kopi mengandungi lebih daripada 1,000 bahan kimia. Kuantiti dan rumusannya bergantung kepada jenis kopi, cara kopi ditanam dan kaedah yang digunakan untuk memproses. Secara umumnya, biji kopi hanya mengandungi karbohidrat, lemak, protein dan air. Bahan lain yang terkandung dalam biji kopi termasuk asid (klorogenik dan kafeik), alkaloid (termasuk kafein), mineral, vitamin dan lain-lain.
Kajian yang dijalankan oleh Instituto del Frio, Sepanyol mendapati kopi yang sedia diminum mengandungi roughage atau pelawas sebanyak 1 hingga 1.5 gram dalam setiap cawan. Semua makanan yang dibuat daripada tepyng bijirin gandum mengandungi secara purata 6 gram roughage bagi setiap 100 gram produk. Roughage ini merupakan sejenis bahan serat dalam diet yang tidak boleh dihadam oleh tubuh dan boleh membantu aktiviti pergerakan usus.
2. Kafein
Dos kafein yang tinggi boleh menyebabkan kesan toksik pada badan, sama seperti bahan alkaloid yang lain. Sekiranya anda minum 3-4 cawan kopi (bersamaan 300-400 gram kafein) setiap hari, sebenarnya ia tidak menjadi masalah bagi orang dewasa yang sihat secara umunya. Jika seseorang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap kafein, maka tiada sebab kukuh dari segi perubatan yang boleh digunakan agar dia berhenti minum kopi. Kesan penerimaan kafein bagi seseorang individu berbeza-beza.
Jadi kenali tubuh anda sendiri dan ketahui hadnya, jika mula rasa kepala berdenyut-denyut dah boleh berhenti minum.
3. Kopi Boleh Membantu Meningkatkan Pencapaian Kognitif Individu
Kajian oleh penyelidik dari RMIT University, Melbourne, Australia mendapati kopi berupaya bertindak sebagai perangsang otak apabila individu memberikan respon. Satu kajian lain oleh seorang ahli psikofarmakologi dari University of Groningen, Netherlands juga mendapati seseorang menjadi lebih peka dan pantas menyelesaikan tugasan setelah meminum kopi.
Bagaimanapun, kedua-dua kajian ini tidak memberikan bukti yang kuat kerana ujian dijalankan dalam skala kecil. Kajian yang lebih menyeluruh dan berskala besar perlu dibuat untuk benar-benar mengaitkan kopi sebagai agen rangsangan otak.
4. Mengurangkan Risiko Penyakit Berbahaya
Harvard Medical School telah menulis tentang kebaikan dan keburukan kopi, atau secara spesifiknya kafein dalam kopi, berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat oleh universiti itu. Artikel yang dikeluarkan pada tahun 2012 itu menyatakan kafein boleh membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti Alzeimer, kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular dan Parkinson’s.
5. Kopi Mengandungi Agen Pengantioksidaan
Kopi dikatakan mengandungi asid klorogenik yang merupakan sesuatu agen antipengoksidaan. Namun menurut Dr. Tina M. St. Johns, kandungan asid klorogenik ataupun CGA dalam kopi akan berkurangan apabila kopi dibakar. Eksperimen yang dijalankan dalam makmal sememangnya menunjukkan bahawa CGA memberi kesan yang kuat dalam anti pengoksidaan di mana ia meneutralkan bahan kimia yang boleh merosakkan tisu dalam badan.
Namun pada saintis masih memerlukan kajian mendalam untuk tahu sejauh mana CGA daripada kopi ini bertindakbalas dengan manusia.
Para penyelidik sebenarnya masih berwaspada apabila memberi kenyataan berkaitan kopi dan kesihatan orang awam. Belum ada kajian yang benar-benar kukuh untuk mendakwa sama ada kopi ini baik untuk kesihatan atau memudaratkan.
Walaubagaimanapun, kopi sememangnya suatu minuman yang selamat untuk diminum setiap hari, tetapi jika ingin lebih selamat minumlah sekadar yang perlu- lebih kurang satu atau dua cawan sehari.
Jika anda mengandung, menyusukan anak, mempunyai penyakit darah tinggi ataupun mengalami rasa berdebar-debar dan jantung berdenyut laju selepas meminum kopi, sila jumpa doktor anda segan segera untuk nasihat lebih lanjut.
Semoga info ini bermanfaat untuk anda!
PERHATIAN: Pihak Daebaking tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Daebaking juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.
Sumber: Iluminasi