Drama Korea Selatan sering menampilkan pelbagai jalan cerita yang menarik, dan ada antaranya mengangkat tema yang jarang sekali diterokai, salah satunya ialah misi pencarian harta karun. Walaupun genre ini tidak sepopular kisah cinta atau jenayah, ia tetap mampu memberi kelainan kepada penonton yang menggemari aksi dan misteri.
Antara drama yang membawa tema ini termasuklah Undercover High School (2025). Selain itu, terdapat juga beberapa drama serta filem Korea Selatan lain yang mengetengahkan kisah pencarian harta dengan cara yang cukup unik. Jom lihat senarai cadangan menarik ini!
1. Stealer: The Treasure Keeper
Mengisahkan seorang pencuri terkenal bernama Sigung (lakonan Joo Won), yang bukan pencuri biasa, sebaliknya beliau dikenali kerana mencuri kembali aset budaya yang pernah dicuri atau dijual secara haram. Secara tidak sengaja, beliau bekerjasama dengan kumpulan pemulihan aset budaya yang dinamakan Karma.
Watak Hwang Dae Myeong (juga dilakonkan oleh Joo Won) ialah seorang penjawat awam di Bahagian Siasatan Khas Pentadbiran Warisan Budaya. Hidupnya agak santai dan sering mencari peluang menambah pendapatan sambil gemar tidur semasa waktu kerja. Namun, dia mula disyaki terlibat dengan pencuri misteri Sigung, dan akhirnya menyertai kumpulan Karma.
Drama Korea ini membuktikan bahawa harta karun tidak semestinya berupa emas atau wang, bahkan warisan budaya juga merupakan khazanah berharga yang perlu dipelihara. Boleh ditonton di Viu!
2. Undercover High School
Jung Hae Seong (Seo Kang Joon), seorang ejen elit dari Agensi Perisikan Kebangsaan, diturunkan pangkat selepas satu insiden dalam misi. Beliau kemudiannya ditugaskan untuk mencari emas batangan milik Raja Gojong yang telah lama hilang.
Untuk misi ini, Jung Hae Seong menyamar sebagai pelajar di Sekolah Menengah Byeongmoon. Di situ, dia bertemu Oh Soo A (Jin Ki Joo), seorang guru sejarah yang penyayang dan penuh dedikasi. Tanpa disangka, mereka pernah berkongsi kisah cinta zaman kanak-kanak yang menyimpan luka dalam hati masing-masing.
Diselitkan dengan elemen komedi dan konflik emosi, drama Korea ini semakin popular dan mencatat peningkatan penonton setiap episod. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya di Viu!
3. Low Life
Oh Hee Dong (Yang Se Jong) dibesarkan oleh bapa saudaranya, Oh Gwan Seok (Ryu Seung Ryong), yang membawanya ke dunia jenayah sejak kecil. Gwan Seok sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang, tanpa mengira halal atau haram.
Satu hari, beliau menerima tawaran untuk mendapatkan harta karun dari kapal yang karam di perairan Shinan, Wilayah Jeolla Selatan. Peluang ini dilihat sebagai jalan pintas untuk memperoleh kekayaan, namun khabar angin tentang kapal tersebut mula menarik perhatian ramai pihak.
Drama Korea ini bakal membawa penonton menyaksikan dilema moral seorang penjenayah apabila diminta menjalankan misi menyelamatkan harta karun. Low Life dijangka akan ditayangkan dalam tahun ini.
4. The Pirates: The Last Royal Treasure
Filem Korea ini membawa penonton mengembara ke lautan luas dalam usaha mencari harta karun diraja dari zaman Goryeo yang dikatakan hilang tanpa kesan.
Wu Mu Chi (Kang Ha Neul) merupakan bekas ketua kumpulan samseng yang kini menetap di kapal lanun bersama pembantunya, Kang Seop (Kim Sung Oh). Kapal itu diketuai oleh Hae Rang (Han Hyo Joo), seorang lanun wanita hebat, bersama kru unik seperti Mak Yi (Lee Kwang Soo), Hae Geum (Chae Soo Bin), Han Goong (Sehun), dan A Gwi (Park Ji Hwan).
Mereka terpaksa berdepan dengan Bu Heung Su (Kwon Sang Woo) dalam usaha merebut harta yang hilang. Aksi lanun mencari harta menjadi nadi utama filem ini, diperkaya dengan watak-watak hebat dan pelakon terkenal.
Harta Bukan Sekadar Emas dan Permata
Setiap karya Korea di atas membuktikan bahawa harta karun bukan hanya berkisar tentang emas atau kekayaan semata-mata, tetapi boleh berbentuk sejarah, budaya, dan hubungan peribadi yang mendalam. Kepelbagaian tema ini menjadikan setiap drama dan filem tersebut penuh dengan nilai dan daya tarikan tersendiri.
Jadi, anda rasa nak mula dengan yang mana dulu?