Jenama pakaian sukan, NEPA enggan memperbaharui kontrak dengan aktres Jun Ji-hyun lapor Sports Chosun.
Khabar ini mengejutkan media hiburan Korea kerana NEPA dan aktres itu sudah hampir 10 tahun bekerjasama. Tambahan pula, Jun Ji-hyun merupakan ratu iklan dan menjana pendapatan tertinggi hasil menjadi muka depan jenama-jenama komersial.
Ji-hyun pertama kali muncul sebagai duta jenama yang sekian lama dikuasai model lelaki itu pada tahun 2013. Sejak itu, aktres berkenaan membantu menaikkan jualan dengan populariti dan pengaruhnya.
Pihak industri menganalisis dan berpendapat perpisahan itu berpunca daripada kontroversi ‘Product Placement’ (PPL) berlebihan dalam drama ‘Jirisan’ yang ditayangkan pada tahun lalu. Syarikat pakaian sukan tersebut dikhabarkan berhabis duit bagi menaja drama itu namun tidak mendapat hasil yang diinginkan.
Baca lagi: Penonton K-Drama Serabut Dengan ‘Product Placement’ Berlebihan
Baca lagi: Pelakon Ternama Bukan Lagi Gerenti Kejayaan K-Drama? Ini Topik Hangat Perbincangan Netizen Korea
Drama Korea itu dilaporkan tidak mencapai jangkaan untuk menjadi epik meskipun terdiri daripada barisan penulis dan pelakon hebat-hebat. Semasa mula-mula ditayangkan, drama ini dikritik kerana grafik komputer yang kelihatan janggal dan PPL berlebihan.
Salah satu jenama yang menyertai PPL dalam drama tersebut adalah NEPA yang menaja pakaian sukan selepas melihat Ji-hyun turut berlakon. Bagaimanapun kekerapan Ji-hyun bertukar-tukar baju sukan berlogo NEPA di gunung mengundang rasa kurang senang di kalangan penonton Korea Selatan.
Berkenaan penamatan kontrak ini, NEPA enggan mengulas lanjut mengenainya. Sementara aktres Jun Ji-hyun sedang berehat selepas membintangi drama ‘Jirisan’.