Buli merupakan isu yang amat sensitif di Korea Selatan. Sekiranya anda mengikuti dunia hiburan Korea Selatan, pasti biasa dengar karier seseorang idol K-Pop atau mana-mana artisnya yang hancur sekiranya terpalit dengan skandal buli, walaupun itu kisah silam atau berlaku semasa zaman sekolah dulu.
Masyarakat di sana menghukum sesiapa sahaja yang terlibat—atau dikhabarkan terbabit dalam perbuatan tersebut. Malah isu ini juga sering dipaparkan dalam drama Korea dan ada kalanya adegannya agak keterlaluan bagi sesetengah penonton.
Berdasarkan pengalaman sebenar, seorang YouTuber dan bekas guru warga asing yang dikenali sebagai Queentiwa dan mengajar bahasa Inggeris di negara K-pop itu mendedahkan adegan buli dalam banyak-banyak K-Drama itu sebenarnya realistik.
Ketika bekerja di sebuah sekolah swasta di Korea, Queentiwa bercerita yang hampir semua pelajarnya anak orang kaya, di mana ibu bapa mereka adalah selebriti terkenal, anak doktor dan VIP.
Katanya, adegan buli dalam K-drama itu bukan sekadar cereka kerana pernah berlaku di depan matanya.
“K-Drama itu tak ada tipu-tipu punya! Semua yang ada babak pembuli taik tu? Itu seratus peratus benar!” katanya di YouTube.
Queentiwa turut meluahkan kekecewaannya kerana tidak dapat membantu pelajar yang dibuli meskipun belas kasihan menggunung dalam diri.
“Dia macam… kami ni tak boleh buat apa-apa. Jika cuba masuk campur, tunggu masa lah kena lapor. Setiap kali saya cuba campur tangan, mesti berdepan dengan masalah.”
“Malah pelajar di sekolah itu bukan mengganas pada sesama rakan sebaya, cikgu pun kena! Pernah sekali ada pelajar acu gunting ke leher saya, memang culture shock sungguh.” katanya mengimbas kembali ancaman yang diterimanya ketika membantu mangsa buli.
Ceritanya lagi, walaupun dia ikut campur cuba menghalang setiap kali menyaksikan kejadian buli, itu tidak bermakna guru-guru lain sanggup buat perkara sama. Mereka malas mahu melayan lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan ibu bapa selebriti yang dikatakan marah-marah kepada guru kerana isu yang dianggap remeh.