Drama popular komedi romantik dan misteri JTBC “Miss Night and Day” memikat hati penonton dengan gabungan unik situasi kelakar dan detik-detik yang mengharukan.
Rancangan ini dengan cemerlang menceritakan tentang perjuangan yang boleh dikaitkan dengan orang muda yang gigih mencari kerja dan wanita pertengahan umur yang juga berjuang untuk hidup, membungkus cabaran kehidupan sebenar dalam naratif yang aneh tapi cukup menarik.
Miss Night and Day memperkenalkan kisah penuh imaginasi yang sangat luar biasa dimana Lee Mi-jin (Jung Eun-ji), seorang wanita muda berusia 20-an, mendapati dirinya menghadapi perubahan yang pelik selepas satu malam misteri semasa dia mengikuti seekor kucing terbiar.
Dia bangun dan mendapati bahawa dia telah berumur dalam lingkungan 50-an, segala-galanya berubah, dia bertukar menjadi tua. Kini, dia menjalani kehidupan berganda: pada siang hari, dia ialah Im Soon (Lee Jung-eun), seorang pelatih kanan di Pejabat Pendakwa Daerah Seohan, dan pada waktu malam, dia kembali kepada dirinya yang lebih muda.
Watak pendakwa raya Gye Ji-woong (Choi Jin-hyuk) menonjolkan unsur percintaan dan thriller kepada jalan cerita. Pada siang hari, Gye bekerja rapat dengan Im yang berusia 50-an di pejabat, dan pada waktu malam, dia mendapati dirinya terjerat secara romantik dengan Lee yang berusia lewat 20-an semasa Lee menjadi saksi utama pembunuhan dan mula bekerjasama dengan Gye dalam kes itu.
Miss Night and Day menggabungkan lawak jenaka dan kerumitan hidup dengan baik untuk menggambarkan kesukaran yang dihadapi oleh para pencari kerja muda dan wanita pertengahan umur yang sering dilihat sebagai kumpulan yang disisihkan dalam masyarakat Korea.
Lee, yang telah mencurahkan sepenuh hati dan jiwanya dalam mempersiapkan peperiksaan perkhidmatan awam sejak lapan tahun lalu, mendapati dirinya menghadapi satu lagi kegagalan yang menyedihkan dalam percubaan terakhirnya. Kegagalan ini menambah lagi beban di bahunya yang kini bergelut dengan masalah kewangan akibat penipu yang telah merampas wang titik peluh ibu bapanya.
Mencerminkan realiti keras pasaran kerja hari ini, Lee Mi-jin versi muda hidup dalam keadaan putus asa dan kecewa. Namun, dalam satu sentuhan ironi, perubahan mendadaknya menjadi seorang wanita dalam lingkungan 50-an menjadi tempat perlindungan daripada realiti pahit ini.
Semasa dia memulakan laluan baru sebagai pelatih senior, adegan dimana dia menangis sebak selepas akhirnya mendapat jawatan yang dipohon telah berjaya merakamkan perjuangan dan harapannya.
Bahagian yang menggambarkan Im sebagai seorang wanita muda yang terperangkap dalam penampilan wanita pertengahan umur, penuh dengan unsur komedi. Dengan tenaga muda yang mengalir melalui tubuhnya yang sudah tua, Im dengan mudah menyiapkan tugas, menghirup secawan Americano sambil menaip dengan sebelah tangan dan menterjemah frasa kata sukar yang digunakan oleh pelajar muda dengan sangat mahir.
Persembahan pelakon Lee Jung-eun amat menyerlah, pelakon ini menggunakan dialek Busan dan juga mempersembahkan lagu dan tarian Apink, kumpulan gadis K-pop milik Jung.
Pakar mengatakan bahawa kepelbagaian unsur komedi, percintaan dan thriller bersatu dengan baik dan telah berjaya menarik minat para penonton dari pelbagai peringkat umur, menyumbang kepada tarikan meluas untuk drama “Miss Night and Day.”
“Terdapat banyak elemen yang digemari oleh pelbagai lapisan umur, dari 20-an hingga 50-an. Komedi yang menonjolkan Lee Jung-eun sememangnya lucu, dan komedi romantik dan thriller misteri yang terungkap dari latar fantasi dipersembahkan dengan bijak, ” kata pengkritik seni Jung Duk-hyun. “Apabila jalan cerita mula menjadi sedikit hambar, sebuah kejadian misteri muncul dan menambah ketegangan pada jalan cerita tersebut.”
Penerokaan Miss Night and Day tentang hubungan antara orang dewasa yang lebih tua dan golongan muda belia menambah lagi lapisan kerumitan pada naratif drama ini. Elemen ini mencabar penonton untuk memikirkan dinamik antara generasi yang dimainkan dalam masyarakat.
Semua ini amat ketara dalam dinamik antara idola K-pop Go Won (Baek Seo-hoo), yang bekerja sebagai pekerja perkhidmatan awam di pejabat pendakwa raya, dan Im.
“Kisah ini adalah salah satu kisah yang boleh diterima oleh kedua-dua generasi muda dan lebih tua sambil turut menimbulkan persoalan tentang perkara yang harus dilakukan oleh generasi tua untuk generasi muda,” kata seorang lagi pengkritik seni, Kim Hern-sik.
“Miss Night and Day juga menyentuh mesej yang relevan dari segi sosial, menonjolkan realiti paradoks golongan muda yang bergelut untuk mencari pekerjaan ketika warga emas berjaya menjadi tenaga kerja.”
Miss Night and Day ialah drama Korea terbaru dengan genre komedi, romantik dan fantasi, dibintangi oleh Lee Jung Eun, Eunji Apink dan Choi Jin Hyuk. Bersiaran setiap Sabtu dan Ahad di Netflix. Jangan lupa menonton ya.