Baru-baru ini khabar angin bertiup kencang apabila dikatakan pihak istana telah mengarahkan pasangan suami isteri iaitu Putera Harry dan Meghan Markle untuk mengosongkan kediaman mereka di England yang dikenali sebagai Frogmore Cottage.
Secara tiba-tiba Frogmore Cottage menjadi bualan dan semua mata tertumpu kepada kediaman diraja tersebut. Tersebarnya khabar angin yang menyatakan Raja Charles Ke 3 meminta agar pasangan terkenal tersebut mengosongkan barang-barang dan kepunyaan mereka dari salah satu kediaman diraja itu.
Mengutip dari portal berita People, kebenaran khabar angin ini turut disampaikan oleh salah seorang wakil di Archewell Foundation (milik Putera Harry dan Meghan Markle).
“Kami mengesahkan bahawa Duke dan Duchess Of Sussex diminta untuk mengosongkan kediaman mereka di Frogmore Cottage,” katanya.
Ramai yang menjangkakan bahawa kediaman yang dikenali sebagai kediaman Grade II ini bakal ditawarkan kepada adik Raja Charles Ke 3 iaitu Putera Andrew.
Sejarah Frogmore Cottage sebenarnya menunjukkan bahawa harta milik keluarga monarki British ini adalah merupakan kediaman yang pertama yang dibangunkan pada tahun 1801.
Frogmore Cottage pernah menjadi tempat istirehat Ratu Charlotte iaitu isteri Raja George III. Pada tahun 2018, Ratu Elizabeth menjadikan kediaman ini sebagai hadiah perkahwinan untuk Putera Harry dan Meghan Markle.
Baca Lagi: Putera William Curang?
Terletak di dalam kompleks Istana Windsor
Secara terperincinya, Frogmore Cottage terletak di dalam sebuah taman kebun Frogmore yang masih berada dalam kompleks Istana Windsor, England.
Pada awalnya, bangunan tersebut bernama Double Garden Cottage, namun nama kediaman tersebut diubah sekitar tahun 1875. Nama baru kediaman tersebut telah diberikan oleh Ratu Victoria yang pada waktu itu sering bersarapan dan selalu melihat katak-katak kecil yang sangat banyak. Katak-katak yang baginda kerap temui itulah yang menjadi inspirasi buatnya untuk menukar nama kediaman tersebut kepada Frogmore Cottage.
Frogmore Cottage termasuk sebagai properti Crown Estate
Dalam data pemilikan, Frogmore Cottage termasuk dalam daftar properti Crown Estate. Namun kediaman tersebut digunakan sebagai tempat tinggal peribadi keluarga diraja yang tidak terbuka untuk umum.
Semua sudah maklum bahawa pemilikannya diwariskan daripada satu raja kepada raja yang lain dan telah beberapa kali dipinjamkan kepada anggota keluarga lainnya. Pada tahun 2019, Putera Harry dan isterinya Meghan Markle telah menjadikan Frogmore Cottage sebagai kediaman rasmi mereka sewaktu mereka berada di England.
Pengubahsuaian secara besar-besaran sempat dilakukan pasangan ini, mereka mengubah suai kediaman tersebut supaya Frogmore Cottage menjadi kediaman yang sesuai dengan selera mereka berdua. Akhirnya pasangan ini membuat keputusan untuk meninggalkan kediaman tersebut dan mengumumkan untuk berundur dari tugas-tugas rasmi diraja.
Pasangan itu telah berpindah ke California, Amerika Syarikat untuk memulakan hidup baru. Setelah menimbulkan huru-hara dan menggegar dunia monarki British, pasangan Putera Harry dan Meghan Markle telah kembali tinggal di kediaman tersebut pada tahun 2022 ketika pulang ke England untuk menghadiri upacara sambutan Platinum Jubilee Ratu Elizabeth.
Selain itu, mereka turut menyambut ulang tahun kelahiran pertama anak kedua mereka iaitu Lilibet Diana di Frogmore Cottage tanpa kehadiran anggota keluarga diraja yang lain.
Rekod penghuni Frogmore Cottage pada masa dulu
Menurut rekod, sebenarnya Frogmore Cottage pertama kali telah dihuni oleh Ratu Charlotte dan puterinya yang tidak berkahwin. Seorang warga Amerika iaitu Henry James Sr dan keluarganya pernah menyewa properti itu pada pertengahan 1840-an.
Kemudian sekitar tahun 1897, setiausaha peribadi Ratu Victoria iaitu Abdul Karim telah berpindah ke kediaman tersebut bersama isteri dan ayahnya. Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa kediaman itu juga menjadi tempat perlindungan bagi Grand Duchess Xenia Alexandrovna, yang tinggal di sana pada tahun 1920-an sewaktu diasingkan dari Rusia.
Pada awal abad ke-21, Frogmore Cottage dibahagikan menjadi lima unit rumah terpisah dan didiami oleh pekerja kebun dan taman Windsor. Sepupu Putera Harry iaitu Putri Eugenie dan suaminya Jack Brooksbank pernah tinggal sementara di sana pada tahun 2021 setelah kelahiran anak pertamanya.
Ubah suai besar-besaran oleh Putera Harry dan Meghan Markle
Ketika pertama kali dibangunkan, Frogmore Cottage mempunyai 10 buah bilik tidur. Apabila Putera Harry melakukan ubah suai kediaman itu, Frogmore Cottage kini hanya memiliki lima buah bilik tidur dengan dua bidang kebun buah, kebun sayur dan juga studio yoga.
Tidak hanya itu, mereka juga membuat perubahan kepada rekaan dalaman bangunan yang disesuaikan dengan selera pasangan tersebut sewaktu bersama-sama memberi buah fikiran bersama pereka hias dalaman iaitu Vicky Charles. Bahagian dalam kediaman tersebut, sekilas dapat ditonton oleh orang ramai melalui siri dokumentari Netflix yang bertajuk Harry & Meghan yang dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas.
Nampaknya adakah hubungan antara pasangan ini akan kembali pulih dengan keluarga diraja British?
Setelah kemangkatan Ratu Elizabeth, Putera Harry dan Meghan Markle dilihat semakin berani tampil ke depan dan bercerita tentang kisah peribadi mereka kepada umum.
Kelantangan mereka membuatkan keluarga diraja British tidak senang duduk dan menyebabkan sering timbul khabar angin yang tidak enak melibatkan pasangan tersebut dan keluarga monarki British.
Baca Juga: Putera Harry dan Meghan Markle Isytihar Muflis?