Kepada Kpoppers, jangan kecil hati ya. Tulisan ini tidak bermaksud untuk hentam mana-mana artis K-pop, bersikap tidak peka atau rasis. Sekadar mahu meneroka persoalan dan realiti di sebalik dunia glamor K-pop ini.
Mungkin bagi yang dah biasa tengok video, sekilas boy band NCT 127 di pentas, anda boleh tahu mana satu Jaehyun dan Taeyong.
Namun bagi orang yang tak minat K-pop atau sekurang-kurangnya pendengar K-pop atas pagar seperti penulis, sejujurnya agak sukar untuk membezakan mereka. Malah mungkin ada yang rasa bagaikan diberi cabaran cari perbezaan dalam gambar kalau disuruh teka mana satu.
Pada mulanya penulis sangka artis K-pop nampak sama itu benda biasa dan lain orang lain matanya, sehinggalah penulis terbaca artikel Iluminasi ini. Ternyata ia realiti apabila menteri mereka sendiri di Korea pun konfius bila tengok artis-artis K-pop ini:
Usaha Menteri Korea Untuk Limit Artis K-Pop Masuk TV Kalau Nampak Sama
Pihak kerajaan di Korea Selatan pernah mahu menggariskan peraturan untuk menghadkan kemunculan banyak bintang K-Pop yang nampak terlalu sama di kaca TV.
Menurut Korea Times, ini adalah usaha untuk mengekang ‘lookism’ atau diskriminasi ke atas penampilan seseorang di samping nak hentikan mempromosi standard kecantikan yang sempit itu kepada muda-mudi yang meminati kumpulan K-Pop.
“Adakah penyanyi-penyanyi di rancangan muzik TV ini kembar? Mereka serius nampak sama, kebanyakannya ahli grup. Ramai di antara mereka yang kurus, mempunyai sama stail rambut dan mekap serta berpakaian yang mendedahkan tubuh.”
Namun usaha menteri itu dibangkang oleh penggiat industri hiburan sehingga peraturan itu tidak dijadikan mandatori untuk orang TV ikut. Begitulah kuatnya pengaruh industri hiburan di sana sehingga pemerintah pun dilawannya.
Berikut teori atau penjelasan lain mengapa artis K-Pop kelihatan seperti kembar berlainan keluarga ini:
Fenomena ‘Cross-Race Effect’
Menurut artikel Forbes, rupa setiap orang sebenarnya tidak semua sama. Sebagaimana rambut tidak sama hitam hati lain-lain, begitu juga dengan wajah berbeza dari segi lebar, panjang, saiz hidung dan warna mata.
Antara faktor seseorang individu itu struggle mengenal wajah artis K-pop mungkin ‘Cross-Race Effect’, iaitu fenomena kognitif atau proses mental yang menyukarkan seseorang dari sesuatu bangsa untuk kenal pasti individu lain kerana kurang pendedahan kepada kumpulan kaum tertentu.
Hal ini tidak terhad kepada orang Korea sahaja tetapi juga global. Misalnya kalau kita pergi ke Zimbabwe, orang sana tanya “Kamu dari Indonesia? Filipina? Malaysia?”, persoalan itu biasa kerana bagi mereka orang Nusantara ni lebih kurang sama.
Standard K-Beauty
Seorang pengguna Quora, Jo Sosna pelajar pengajian Asia Timur ini pula berpandangan kumpulan wanita K-Pop digayakan dengan fesyen sama dan perlu mengikut standard K-beauty yang ketat seperti body kena slim, muka berbentuk v, kelopak mata berlapis, hidung dan bibir kecil.
Mekap dan fesyen sering digunakan untuk menepati piawaian itu malah paling ekstrem sampai buat pembedahan plastik.
Menurut portal Suara, difahamkan doktor bedah plastik di sana pula sudah ada formula dan topografi wajah yang macam mana pelanggannya nak mengikut trend dan standard beauty. Mereka sudah ada ukuran jarak mata, lebar bola mata berapa dan jarak hidung-bibir dan mata. Misalnya 10 pesakit nak muka mirip Jisoo, maka hasilnya pun sama.
Apa pun manusia sebenarnya sudah diciptakan Tuhan dengan karakter dan kecantikannya yang tersendiri walau macam mana pun rupa seseorang itu.
Begitulah serba sedikit maklumat yang boleh dikorek dan dikupas. Untuk tambah atau betulkan mana-mana info, dipersilakan buka perbincangan secara sihat di ruangan komen.