Bagi peminat filem genre perang dan berkisarkan dari kisah benar sudah pasti tidak asing dengan filem perang “AMERICAN SNIPER” yang mula ditayangkan pada tahun 2014 arahan oleh Clint Easwood.
Filem berdurasi 2 jam 12 minit ini dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat terdiri dari Bradley Cooper, Luke Grimes, Sienna Miller, dan ramai lagi.
Filem arahan Clint Eastwood ini diterajui oleh Bradley Cooper membawa watak utama sebagai Navy SEAL Chris Kyle, yang merupakan penembak tepat lagenda paling maut dalam sejarah tentera AS dengan rekod 255 pembunuhan. Namun setelah empat lawatan perang di Iraq, trauma peperangan yang dibawa kembali ke AS telah menjejaskan kehidupan peribadi serta keluarganya, akhirnya membawa kepada tragedi.
Chris Kyle digambarkan sebagai seorang askar elit yang unik dan berbeza dari mana-mana askar Amerika sebelum dia. Ini kerana Chris Kyle sangat komited melaksanakan tugasnya tanpa sebarang kesilapan dan kesempurnaan adalah penting dalam kerjayanya.
Sebagai penembak tepat yang berkhidmat di Iraq, pekerjaan itu membawa hasil yang sangat lumayan. Pentagon telah mengkreditkan Kyle dengan lebih 160 pembunuhan tetapi jumlah sebenar mungkin hampir dua kali ganda.
Chris Kyle ialah anak kepada seorang pembantu gereja dan guru sekolah. Dia dibesarkan di Texas bersama bapa dan abangnya. Selepas dua tahun belajar di kolej dan bekerja sebagai penjaga ladang, Kyle yang berusia 24 tahun ketika itu nekad berhenti kolej dan menyertai SEAL.
Selepas berkhidmat dalam beberapa operasi sulit, Kyle telah dikerahkan bersama anggota platun “Charlie” Pasukan SEAL 3 untuk berperang di Perang Iraq. Selepas mendarat di Semenanjung Al-Faw pada permulaan perang pada Mac 2003, SEAL menyertai Marin dalam konvoi mereka ke utara menuju ibu kota Baghdad. Dengan menjadikan bumbung sebagai tempat perlindungan serta pemantauan, Kyle dan rakan-rakan SEAL lain melindungi skuad Marin dari pintu ke pintu daripada diserang hendap oleh pemberontak.
Selepas memasuki bandar Nasiriya pada hari-hari awal perang, Kyle menempatkan dirinya di atas sebuah bangunan yang dirampas oleh SEAL. Melalui skop bolt-action .300 Winchester Magnum, Kyle menjadi pemerhati ketika konvoi Marin menghampiri.
Dari jarak 50 ela jauhnya, tiba-tiba dia dapat melihat pintu sebuah rumah kecil terbuka dan seorang wanita melangkah keluar bersama anaknya sambil berjalan mendekati Marin. Kyle memerhati melalui palang ketika wanita itu mencapai bahagian bawah jubahnya dan mengeluarkan bom tangan berwarna kuning.
Terus kedengaran suara ketua platun Kyle memerintahkan Kyle untuk melepaskan tembakan. Namun Kyle masih teragak-agak apabila Marin terus berarak lebih dekat.
“Tembak!” jerit ketua platun.
Kali ini Kyle terus memicit picu dua kali dan wanita itu pun jatuh rebah di bumi dan mati bersama-sama dengan bom tangan yang meletup. Ia adalah pembunuhan pertama Kyle dengan senapang sniper.
Dalam salah satu halaman autobiograginya, Kyle berkata, “Adalah tugas saya untuk menembak, dan saya tidak menyesalinya. Wanita itu sudah pun mati. Saya hanya memastikan dia tidak membawa mana-mana Marin bersamanya,” tulis Kyle dalam memoir perangnya pada 2012, bertajuk “American Sniper: The Autobiography of the Most Lethal Sniper in U.S. Military History.”
Misi tunggal Kyle di Iraq adalah untuk menyelamatkan rakan-rakan askarnya, dan dia telah membuktikan kepada dunia bahawa dia adalah penembak tepat yang paling digeruni sehinggakan pemberontak Iraq meletakkan hadiah bernilai $20,000 ke atas kepala lelaki yang mereka panggil “Al-Shaitan Ramad,” atau “Syaitan Ramadi.” Walau bagaimanapun, Kyle tetap dikenang dan dikenali sebagai “The Legend” oleh rakan-rakan seperjuangannya.
Selepas penempatan awal Kyle ke Iraq pada 2003, dia kembali berperang di Fallujah pada 2004, Ramadi pada 2006 dan Baghdad pada 2008. Pada setiap lawatan tugas, peperangan semakin sengit dan tugas Kyle semakin sukar.
Pemberontak yang pernah membawa senjata kini membawa bom tangan yang digerakkan oleh roket. Dengan kemahiran menembak Kyle, dia berjaya membuktikan kehebatannya di medan perang yang huru-hara itu dengan membunuh pejuang musuh sejauh 1.2 batu atau sejauh 21 padang bola sepak hanya dengan sekali tembakan.
160 pembunuhan yang dikreditkan kepada Kyle adalah lebih daripada untuk mana-mana penembak tepat dalam sejarah Amerika, tetapi Navy SEAL memberitahu D Magazine bahawa Kyle sebaliknya berharap boleh mengira bilangan orang yang dia selamatkan bukan orang yang dibunuh olehnya.
Selepas membuat 4 lawatan perang di Iraq dan sekembali ke AS, isterinya Taya memberitahunya bahawa perkahwinan mereka akan berakhir jika dia kembali berperang semula. Akhirnya Kyle dengan berat hati meninggalkan Marin dengan pelepasan terhormat pada 2009 selepas sedekad berkhidmat. Dia telah dianugerahi sepasang Bintang Perak dan Lima Bintang Gangsa selepas terselamat daripada dua luka tembakan dan enam serangan IED.
Dalam autobiografinya dia juga menulis, “Saya suka apa yang saya lakukan. Jika keadaan waktu itu berbeza dan keluarga tidak memerlukan saya, pasti saya akan kembali bersama SEAL semula. Saya mempunyai masa dalam hidup saya sebagai SEAL.”
Dalam masa yang sama Kyle juga turut bergelut dengan peralihan kehidupan sebagai warga AS dan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada dua anaknya yang masih kecil. Dia mendapati bahawa walaupun dia telah meninggalkan medan perang, perang tidak akan pernah meninggalkannya.
Sejak berhenti dari SEAL, dia mula minum banyak dan kerap mabuk, mengalami kemurungan dan berhenti bersenam. Kyle berasa tidak berdaya tanpa misi dan kehidupannya bersama keluarga SEAL.
Tidak berapa setelah itu, dia mendapat panggilan baru untuk bertugas dengan membantu veteran perang yang sakit mengalami parut fizikal dan psikologi akibat trauma perang. Selepas melihat faedah terapeutik senaman dalam kehidupannya sendiri, dia membantu mewujudkan Yayasan FITCO Cares pada tahun 2011 dengan menyediakan peralatan senaman dan kaunseling kepada veteran perang.
Pada tahun berikutnya dia menerbitkan “American Sniper,” yang menjadi buku terlaris New York Times dan asas untuk filem blockbuster itu. Kyle mendermakan bahagiannya daripada keuntungan buku itu kepada keluarga rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia dalam peperangan dan kepada badan amal untuk membantu veteran yang cedera.
Siapa sangka itulah misi terakhir Kyle untuk membantu rakan veterannya kerana pada 2 Februari 2013, dia menjemput Eddie Ray Routh, seorang veteran Marin berusia 25 tahun ke lapangan tembak di Glen Rose, Texas, Routh bagi menjalani terapi menembak akibat dari gangguan tekanan selepas trauma perang ketika berkhidmat di Iraq dan Haiti. Namum Eddie Ray didakwa menembak dan membunuh Kyle yang berusia 38 tahun dan rakannya Chad Littlefield dari jarak dekat.
Bagi memberi penghormatan berkabung kepada mendiang keluarga dan warga yang mengenali Kyle, pengebumian Kyle telah diadakan di dalam stadium bola sepak Dallas Cowboys, di mana keranda yang dibalut bendera veteran diletakkan di garisan 50 ela.
Dari pandangan berbatu-batu jauhnya, orang ramai membanjiri laluan perarakan pengebumian untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seorang askar Amerika lagenda yang telah bertahan bertahun-tahun dalam peperangan hanya untuk ditembak mati di negara yang dia lindungi. Benar-benar satu tragedi yang mengejutkan dan menyayat hati.
Baca Lagi: Kisah Sedih Robin Williams
Baca Juga: Chris Evans Bakal Menamatkan Zaman Bujang