KUALA LUMPUR – Makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal untuk mendapatkan semula data daripada komponen memory puck dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan mengambil langkah pantas dengan menghantar komponen itu kepada syarikat pengilang komponen itu di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, komponen tersebut akan dihantar secepat mungkin selepas mendapat taklimat daripada Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) yang akan pulang dari Singapura petang ini.
“Makmal di Singapura turut gagal mendapat semula data daripada memory puck iaitu situasi sama yang dialami BSKU pada Sabtu lalu.”
“Justeru kita akan menghantarnya kepada syarikat pengilangnya di Florida seawal malam ini atau esok pagi. Ia selepas kementerian mendapat taklimat daripada BSKU yang pulang dari Singapura petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 di sebuah hotel di sini hari ini.
Semalam, Anthony memberitahu, BSKU berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam suara kokpit pesawat selepas keadaan luarnya rosak teruk.
Bagaimanapun, Anthony berkata, pihak berkuasa berjaya membuka CVR terbabit dan berjaya mengeluarkan komponen memory puck yang mengandungi data rakaman suara dalam pesawat terbabit.
Ditanya kenapa Malaysia tidak memiliki kepakaran untuk mendapat semula data itu, Anthony menjelaskan, tiada semua negara di dunia mempunyai semua kepakaran dalam dunia penerbangan.
Kata beliau, sebab itu semua akan menjalinkan kerjasama dalam dunia penerbangan dalam usaha melengkapi antara satu sama lain.
Malah ujarnya, kerjasama itu menjadi erat apabila insiden di mana ramai negara akan menawarkan kepakaran masing-masing.
Dalam insiden Khamis lalu, 10 individu disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuh Raya Gutrie dekat Shah Alam.
Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.
Sumber: Berita Harian
PERHATIAN: Pihak Daebaking tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Sinetron Malaya juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.