Lee Jong Suk dan Go Min Si membatalkan hasrat untuk membintangi drama romantik bersama.
Kedua-dua pelakon ini mendapat tawaran dari pengarah terkenal iaitu Lee Eung Bok yang merupakan watak penting disebalik kejayaan besar drama siri Korea Descendants of the Sun, Goblin, dan juga Mr. Sunshine.
Sebelum ini, pada bulan November lalu, Lee Jong Suk dikhabarkan sedang mempertimbangkan tawaran untuk menjadi pelakon utama dalam drama Lee Eung Bok iaitu My Relationship That I Also Oppose.
Pada bulan September lalu, Go Min Si dan Choi Hyun Wook juga dalam perbincangan bersama untuk membintangi drama romantik terbaru tersebut. Namun, Choi Hyun Wook terpaksa menolak tawaran tersebut disebabkan oleh jadualnya yang terlalu padat.
Baru-baru ini pada 26 Disember 2023, Star News melaporkan bahawa Lee Jong Suk dan Go Min Si telah menolak tawaran untuk membintangi drama siri My Relationship That I Also Oppose. Studio Dragon, selaku syarikat penerbitan drama tersebut juga sudah mengesahkan laporan tersebut.
“Lee Jong Suk telah memutuskan untuk tidak membintangi drama ini kerana jadualnya yang padat dengan penggambaran filem,” demikian kenyataan dari syarikat penerbitan Studio Dragon, seperti dipetik dari Soompi.
Sementara itu, Studio Dragon membantah bahawa proses produksi My Relationship That I Also Oppose telah dibatalkan.
“Kami sedang berbincang pelbagai pilihan yang ada untuk jadual siaran dan menyambung proses casting. Khabar angin yang menyatakan bahawa produksi telah dibatalkan itu tidak benar,” kata wakil Studio Dragon dalam kenyataannya.
My Relationship That I Also Oppose akan menceritakan tentang persoalan adakah perjumpaan semula dengan bekas kekasih merupakan sambungan dari hubungan lebih akrab atau permulaan sebuah hubungan yang tidak dijangkakan. Drama ini fokus kepada tema menghidupkan kembali perasaan cinta pertama.
Pengarah Lee Eung Bok bekerjasama dengan penulis skrip Kim Eun, yang menggarap skrip drama Something in the Rain.
Lee Jong Suk juga telah menamatkan kontrak dengan agensi lamanya iaitu HighZium Studio pada bulan September yang lalu. Pelakon ini dikhabarkan merancang untuk mendirikan syarikat penerbitannya sendiri dan juga mendapat tawaran kontrak dari agensi baru iaitu ACE FACTORY.