Pelakon wanita senior Korea Selatan iaitu Lee Young Ae menunjukkan keprihatinan dan rasa pedulinya kepada mangsa-mangsa konflik negara haram Israel dan negara Palestine.
Pada 21 November 2023 yang lalu, pelakon wanita yang kini berusia 52 tahun ini menyumbangkan sejumlah 50 juta won (RM200,000) untuk kanak-kanak yang terkesan akibat konflik dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestine.
Lee Young-ae menyalurkan sumbangan dermanya melalui Persatuan Palang Merah Korea Selatan dan sumbangan tersebut difahamkan akan digunakan untuk aktiviti bantuan kemanusiaan seperti sokongan perubatan untuk kanak-kanak di kawasan-kawasan yang terkena impak teruk dan sumbangan ini juga merupakan penghantaran barang keperluan melalui ahli jawatankuasa Palang Merah antarabangsa.
“Saya sedih dengan berita yang dipaparkan setiap hari,” kata Lee Young Ae dipetik dari laman Korea JoongAng Daily.
“Saya harap sumbangan ini boleh membantu kanak-kanak yang mengalami trauma dan kecederaan menyakitkan selepas kehilangan keluarga mereka akibat perang,” lanjutnya.
Lee Young Ae adalah pelakon wanita terkenal yang dilahirkan di Seoul pada 31 Januari 1971. Lee Young-ae memulakan kerjaya seni dalam dunia hiburan Korea Selatan sebagai model pada tahun 1991. Seterusnya bintang berbakat besar ini terjun ke dunia seni lakon pada tahun 1993 melalui drama How’s Your Husband?. Hasil lakonannya dalam drama tersebut, Lee Young-ae meraih Anugerah Pelakon Wanita Baru Terbaik di SBS Drama Awards.
Nama Lee Young Ae semakin bersinar sewaktu pelakon ini membintangi drama Dae Jang Geum pada tahun 2003. Lee Young Ae mendirikan rumah tangga dengan Jeong Ho Young pada tahun 2009, seorang ahli perniagaan berketurunan Korea-Amerika yang 12 tahun lebih tua darinya. Hasil perkahwinan tersebut, Lee Young Ae dikurniakan anak kembar pada 20 Januari 2011. Lee Young Ae dan sang suaminya memutuskan untuk bercerai pada tahun 2018 dan membawa haluan masing-masing.
Baru-baru ini Lee Young Ae sekali lagi meraih perhatian ramai apabila muncul sebagai bintang utama untuk drama siri popular Maestra: Strings of Truth yang menyaksikan Lee Young Ae membawa watak sebagai salah seorang konduktor orkestra terbaik dunia yang pulang ke Korea Selatan untuk memimpin pasukan orkestra The Hangang Philharmonic. Drama siri yang baru sahaja melabuhkan tirainya ini telah berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati para penonton kerana jalan cerita yang dipaparkan adalah cukup menarik!
Baca lagi: Mangsa-Mangsa yang Menjadi Sasaran dalam Maestra: Strings of Truth, Mati Dibunuh dan Sengsara Diracun
Baca juga: Maestra: Strings Of Truth, Menyajikan 5 Tema Mengujakan